Individu yang meninggal dunia akibat bunuh diri sering menunjukkan tanda amaran seperti perubahan mood, kemarahan dan kelakuan yang berbeza dalam minggu sebelum kematian mereka.
Demikian menurut kajian terkini oleh Institut Kesihatan Mental (IMH).
Mereka lebih cenderung berbanding orang awam untuk memuat naik kandungan luar biasa di media sosial sebelum kematian dan mempunyai sejarah cubaan bunuh diri, lapor The Straits Times (ST).
Berdasarkan penemuan itu, IMH berkata terdapat keperluan untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental di Singapura agar anggota keluarga, rakan-rakan dan masyarakat dapat mengenal pasti tanda amaran dan menghulurkan bantuan dengan lebih awal.
Kajian bertajuk, ‘Mencari Jawapan: Autopsi Psikologi bagi Meneroka dan Menganalisis Faktor Risiko’ (Seeking Answers: A Psychological Autopsy of Exploring and Analysing Risk Factors) itu adalah yang pertama di Singapura menggunakan kaedah autopsi psikologi.
Ini melibatkan pemeriksaan terperinci tentang kehidupan dan keadaan fikiran individu yang meninggal dunia berdasarkan maklumat daripada mereka yang masih hidup, seperti anggota keluarga, rakan rapat dan penjaga.
Kajian itu mengenal pasti faktor utama yang dikaitkan dengan tindakan membunuh diri di Singapura dan tanda amaran yang boleh diperhatikan oleh anggota keluarga dan rakan-rakan.
Tujuannya adalah untuk memahami keadaan, personaliti dan kesihatan individu bagi mengetahui apakah yang mungkin menyebabkan kematian mereka.
Penyelidik menemu bual individu yang rapat dengan 73 orang yang meninggal dunia akibat bunuh diri antara 2021 dengan 2024, serta memilih 73 individu daripada penduduk umum sebagai perbandingan.
Melalui temu bual dan perbandingan, kajian itu mengenal pasti faktor unik yang mungkin dikaitkan dengan tindakan membunuh diri.
Kes bunuh diri tersebut menunjukkan lebih banyak tanda amaran daripada 10 yang dikenal pasti oleh Persatuan Amerika Syarikat bagi Kajian Bunuh Diri iaitu idea bunuh diri, penyalahgunaan bahan, ketiadaan tujuan hidup, kebimbangan, rasa terperangkap, rasa putus asa, menyepikan diri, kemarahan, berkelakuan cuai dan perubahan mood.
Sekitar 40 peratus daripada kes yang dikaji mempunyai sejarah percubaan bunuh diri, dengan lebih daripada satu perempat daripada mereka cuba membunuh diri dalam tempoh setahun sebelum kematian mereka.
Dalam kenyataan pada 17 September, IMH berkata terdapat keperluan untuk meningkatkan kefahaman mengenai kesihatan mental.
Mereka yang rapat dengan individu yang meninggal dunia akibat bunuh diri berkata mereka tidak dapat membezakan tekanan daripada masalah kesihatan mental serius seperti kemurungan atau psikosis, menyebabkan kelewatan dalam rawatan.
Mereka lebih tertumpu kepada mengurangkan tekanan tanpa menyedari pentingnya rawatan profesional atau mendesak individu tersebut untuk mendapatkan bantuan.
Bagi mereka yang kehilangan orang tua, masalah kesihatan mental sering dipandang ringan jika individu tersebut sedang menerima rawatan untuk keadaan perubatan lain.
Seorang Perunding Kanan di IMH, Profesor Chong Siow Ann, berkata:
“Tanda amaran seperti menyepikan diri, rasa putus asa, atau perubahan mood kadangkala sukar dikesan atau disalah anggap sebagai tekanan normal.
“Ia tidak selalu jelas, namun ini bermakna terdapat peluang untuk melihat perubahan jika orang di sekeliling tahu apa yang perlu dicari.”
Dengan kefahaman kesihatan mental yang lebih baik, anggota keluarga, guru, majikan dan rakan sebaya dapat mengenal pasti apabila ada sesuatu yang tidak kena dan mengambil langkah untuk campur tangan awal, tambahnya.
Satu salah tanggapan biasa ialah bercakap tentang bunuh diri mungkin memberi idea tersebut kepada seseorang.
Profesor Chong menegaskan kajian menunjukkan perkara itu tidak benar.
“Sebaliknya, pemikiran bunuh diri biasanya wujud lama sebelum diungkapkan, dan tidak bercakap mengenainya boleh menyebabkan mereka berasa terasing,” katanya.
Jika seseorang yang disayangi kelihatan menyepikan diri, putus asa, terlalu cemas atau meluahkan bahawa dirinya membebankan, itu adalah masa untuk menghulurkan sokongan.
“Melakukannya (menghulurkan sokongan) memberi kelegaan, mengiktiraf kesakitan mereka dan membuka ruang untuk hubungan.”
Sekiranya anda atau seseorang yang anda kenali memerlukan sokongan kesihatan mental, berikut adalah talian bantuan yang boleh dihubungi:
• Talian bantuan nasional: 1771 (24 jam) / 6669-1771 (WhatsApp)
• Samaritans of Singapore: 1767 (24 jam) / 9151-1767 (CareText 24 jam melalui WhatsApp)
• Persatuan Kesihatan Mental Singapura: 1800-283-7019
• Reben Perak Singapura: 6386-1928
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg