Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Seronok lihat pengantin baru ditandu dalam estet kejiranan

Jan 10, 2024 | 8:37 PM
SAMBUTAN MERIAH: Pasangan pengantin baru, Encik Nazran Zaiyani Ahmad Jufri, 26 tahun dan, Cik Nor Natisha Yusoff, 24 tahun (kiri) diusung tandu yang dibina sendiri oleh keluarga Encik Nazran (kanan).
SAMBUTAN MERIAH: Pasangan pengantin baru, Encik Nazran Zaiyani Ahmad Jufri, 26 tahun dan, Cik Nor Natisha Yusoff, 24 tahun (kiri) diusung tandu yang dibina sendiri oleh keluarga Encik Nazran (kanan). - Foto TikTok/sisrock4, HASLINI ABDUL JABAL

Umpama raja dan permaisuri sehari.

Memang sepatutnya mempelai diberi layanan terbaik bagi menyambut hari penuh bahagia itu.

Lebih bersejarah lagi apabila pengantin ditandu semasa berarak ke dewan walimah.

Begitulah nasib sepasang pengantin di sini yang bersanding pada petang 31 Disember lalu – diarak ke dewan walimah sambil ditandu ahli keluarga.

Lebih menarik lagi tandu yang digunakan hasil kerja tangan anggota keluarga sendiri.

RAJA DAN PERMAISURI: Pengantin baru, Encik Nazran Zaiyani Ahmad Jufri, 26 tahun dan, Cik Nor Natisha Yusoff, 24 tahun ditandu  ketika berarak masuk ke dewan acara di Yew Tee pada 31 Disember 2023.
RAJA DAN PERMAISURI: Pengantin baru, Encik Nazran Zaiyani Ahmad Jufri, 26 tahun dan, Cik Nor Natisha Yusoff, 24 tahun ditandu ketika berarak masuk ke dewan acara di Yew Tee pada 31 Disember 2023. - Foto HASLINI ABDUL JABAL

Beberapa video yang tular di media sosial menunjukkan sepasang pengantin baru, berpakaian songket berwarna emas, duduk di atas tandu dan dipikul sanak saudara ketika berarak ke tempat acara.

Video tersebut, yang meraih lebih 492,000 tontonan, turut mendapat komen warga net, yang menyatakan seolah majlis tersebut penuh meriah, apatah lagi ia berlangsung dalam kawasan kejiranan dan dipenuhi adat kebudayaan.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) ibu pengantin lelaki, Cik Haslini Abdul Jabal, 50 tahun, berkata majlis itu merupakan persandingan antara anak sulungnya, Encik Nazran Zaiyani Ahmad Jufri, 26 tahun dengan menantunya, Cik Nor Natisha Yusoff, 24 tahun.

Ia berlangsung pada 31 Disember di sebuah dewan serba guna dalam kejiranan Yew Tee.

Ia merupakan majlis persandingan pihak keluarga pengantin lelaki selepas pasangan itu bernikah pada 30 Disember.

BERGAMBAR BERKELUARGA: Pengantin baru, Encik Nazran Zaiyani Ahmad Jufri, 26 tahun dan Cik Nor Natisha Yusoff, 24 tahun (berpakaian songket emas) bergambar bersama ayah dan ibu pengantin lelaki, Encik Ahmad Jufri Ahmad Jupar, 52 tahun dan Cik Haslini Abdul Jaman, 50 tahun (tengah) bersama adik Encik Nazran, Encik Nazir Zuhri, 21 tahun (paling kanan) dan Encik Nabil Zikry, 22 tahun (paling kiri).
BERGAMBAR BERKELUARGA: Pengantin baru, Encik Nazran Zaiyani Ahmad Jufri, 26 tahun dan Cik Nor Natisha Yusoff, 24 tahun (berpakaian songket emas) bergambar bersama ayah dan ibu pengantin lelaki, Encik Ahmad Jufri Ahmad Jupar, 52 tahun dan Cik Haslini Abdul Jaman, 50 tahun (tengah) bersama adik Encik Nazran, Encik Nazir Zuhri, 21 tahun (paling kanan) dan Encik Nabil Zikry, 22 tahun (paling kiri). - Foto HASLINI ABDUL JABAL

Menurut Cik Haslini, idea untuk mengadakan perarakan sebegitu datang daripada anak bongsunya selepas melihat amalan serupa di beberapa majlis walimah sanak saudaranya di seberang tambak.

Beliau berkata amalan tersebut merupakan adat istimewa keturunan keluarganya dari Negeri Sembilan dan beliau berharap dapat mengekalkannya di sini.

“Nenek saya orang Negeri Sembilan. Orang kampung di situ ada adat tersendiri di mana pengantin baru akan duduk di atas tandu, sambil diarak keliling kampung,” jelas ibu tiga anak itu.

“Sering bagi kami, bila saudara berkahwin di Johor dan sebagainya, mereka akan amalkan adat pikul ini.”

Memandangkan sukar untuk mereka mendapatkan tandu pengantin di sini, Cik Haslini sanggup menghasilkannya sendiri menggunakan bahan seperti buluh dan kerusi rotan.

BARANG SAMPAI: Buluh yang dihantar dari Johor (kiri) dan kerusi rotan dibeli dari Carousell (kanan) untuk dijadikan tandu usung bagi pengantin.
BARANG SAMPAI: Buluh yang dihantar dari Johor (kiri) dan kerusi rotan dibeli dari Carousell (kanan) untuk dijadikan tandu usung bagi pengantin. - Foto HASLINI ABDUL JABAL

Selama lebih 10 hari, dari 21 Disember, keluarga lima beranak itu giat membina tandu tersebut sewaktu masa lapang selepas tamat kerja masing-masing.

Cik Haslini yang gagal mencari bekalan batang buluh, mendapat bantuan daripada keluarganya di Johor Bahru, yang menghantar buluh itu menggunakan lori.

Suami beliau kemudian berjaya mendapat sepasang kerusi rotan daripada platform jual semula barang terpakai Carousell dan mereka memasang tandu itu dengan mengikat kedua-dua kerusi itu dengan getah tayar.

Mereka memasang tandu tersebut di ruang luar unit lima-bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mereka di Yew Tee.

PASANG DI LUAR RUMAH: Ayah pengantin lelaki Encik Ahmad Jufri Ahmad Jupar, 52 tahun, kelihatan mengikat kerusi rotan pada kayu buluh di luar halaman rumahnya.
PASANG DI LUAR RUMAH: Ayah pengantin lelaki Encik Ahmad Jufri Ahmad Jupar, 52 tahun, kelihatan mengikat kerusi rotan pada kayu buluh di luar halaman rumahnya. - Foto HASLINI ABDUL JABAL

Selepas tandu itu siap, mereka menjalankan pemeriksaan keselamatan agar ia tidak patah ketika diangkat dan berupaya menampung sepasang pengantin.

Meskipun sudah siap dan diuji selamat, terdapat pula cabaran seterusnya apabila pengantin perempuan pula menolak tawaran untuk duduk di atas tandu itu beberapa hari sebelum majlis.

SIAP SEDIA: Tandu usung pengantin kelihatan sudah siap dilengkapkan beberapa batang kayu buluh dan dua kerusi rotan.
SIAP SEDIA: Tandu usung pengantin kelihatan sudah siap dilengkapkan beberapa batang kayu buluh dan dua kerusi rotan. - Foto HASLINI ABDUL JABAL

Pengantin lelaki, Encik Nazran, seorang jurutera keselamatan, berkata pada awalnya isteri beliau tidak mahu menyertai kegiatan itu sebab takut dikecam warga net di media sosial.

Namun akhirnya, isteri beliau setuju selepas dipujuk.

“Sebab isteri saya juga tahu ini satu tradisi yang diamalkan keluarga saya dan kebetulan saya cucu pertama dalam keluarga yang berkesempatan untuk mencubanya,” katanya.

Pengalaman diusung itu juga merupakan satu pengalaman istimewa dan tidak dapat dilupakan bagi beliau dan isterinya.

“Kami sudi lakukan lagi kalau ada peluang sebab kami berdua betul-betul berasa kami seolah raja dan permaisuri sehari,” ujar Encik Nazran lagi yang baru sahaja pulang daripada berbulan madu di Phuket, Thailand.

View post on TikTok
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg