Memang kita maklum Singapura merupakan sebuah pulau kecil yang terletak dekat garisan khatulistiwa.
Ia hanya setitik merah dalam peta dunia.
Namun semangat membantu negara ini dan kemurahan hati rakyatnya adalah besar.
Ibarat kecil-kecil cili padi, bantuan yang dihulurkan kita, sekecil mana sekali pun, dapat terasa di banyak negara.
Terbaru merupakan bantuan yang dicurahkan kepada mangsa gempa bumi di Myanmar.
Sebuah kontinjen 80 pegawai dari Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang pertama tampil membantu.
Mereka menyahut seruan junta Myanmar untuk membantu usaha menyelamat mangsa di negara yang sebelum ini kurang ‘interaksi’ dengan dunia luar.
Apa yang lebih terkesan, mereka ke sana menjelang sambutan Aidilfitri.
Bagi lebih separuh anggota Kontinjen Operasi Lionheart itu yang beragama Islam, pemergian untuk membantu merupakan satu pengorbanan besar.
Ini memandangkan mereka terpaksa berkorban meninggalkan keluarga dan sanak saudara pada hari mulia yang penuh syahdu itu.
Namun semangat mereka untuk sentiasa bersedia membantu menyentuh jiwa.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, menyifatkan dedikasi pegawai SCDF itu lambang semangat kewarganegaraan aktif Singapura di persada dunia.
Mereka mengorbankan Hari Raya mereka dan berjauhan daripada keluarga tersayang untuk menyahut seruan tugas untuk membantu mereka yang memerlukan.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, pula menambah: “Pergi ke sana dan membantu orang lain adalah satu tindakan yang amat mulia.”
Beliau mengucapkan terima kasih kepada 48 pegawai Muslim itu serta keluarga mereka atas pengorbanan mereka.
Kontinjen Operasi Lionheart itu, yang bekerja siang malam, berjaya menyelamatkan seorang lelaki terperangkap di bawah runtuhan di Myanmar.
Mereka sudah pun selamat pulang ke tanah air.
Menyusuli pengerahan pasukan tersebut, beberapa pihak lain turut tampil membantu.
Ini termasuk Pertubuhan Palang Merah Singapura (SRC) yang menambah bantuan mereka hingga lebih setengah juta dolar; OCBC Bank menderma $50,000; Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), bekerjasama dengan SRC, menjalankan kempen mengumpul dana buat masyarakat Myanmar; Kementerian Kesihatan (MOH) mengerahkan Pasukan Perubatan Kecemasan Singapura (SGEMT); manakala dua pesawat Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) menghantar lebih 9 tan bantuan buat mangsa.
Badan amal setempat, Humanity Matters, pula menyediakan kemudahan perlindungan sementara bagi menempatkan sekitar 600 keluarga yang kehilangan tempat berteduh di Naypyitaw.
Kemudahan itu meliputi tandas mudah alih, bekalan air minuman yang selamat, dan kawasan untuk memasak dan mencuci.
Pendek kata, bantuan yang dicurahkan Singapura itu datang dari pelbagai sudut – dari agensi pemerintah hingga ke peringkat akar umbi dan masyarakat.
Bantuan tersebut mencerminkan naluri kita yang amat bermurah hati untuk membantu mereka yang dilanda bencana dan memerlukan bantuan.
Sifat ini juga terserlah dalam kita membantu mangsa perang Israel-Hamas di Gaza.
Dalam hal ini, masyarakat setempat telah menyumbang hampir $2 juta untuk mangsa di sana dalam satu kempen kutipan derma terbaru untuk Gaza yang bermula sejak 24 Februari.
Diterajui RLAF dengan rakan kongsi M³, ia sumbangan tambahan kepada lebih $20 juta yang telah dikumpul Singapura setakat ini bagi bantuan kemanusiaan buat penduduk Palestin yang ditimpa kezaliman dan kehancuran.
Bantuan ini juga melibatkan pelbagai peringkat, baik dari agensi pemerintah hinggakan ke peringkat masyarakat dan orang perseorangan.
Bahkan, akhbar ini pernah melaporkan tentang usaha seorang warga Singapura, Encik Gilbert Goh, 63 tahun, pengasas Love Aid Singapore, yang menerajui projek membina sebuah poliklinik di kawasan tengah Gaza.
Tapak poliklinik seluas 500 meter itu bakal menyediakan perkhidmatan perubatan kepada penduduk jaluran tersebut.
Satu lagi usaha yang dapat menyinari kegelapan warga Palestin itu ialah usaha untuk memberi peluang pendidikan kepada mereka demi masa depan yang lebih cerah.
Demikian yang dilakukan sekumpulan warga Singapura yang merancang untuk menaja pelajar Palestin melanjutkan pengajian di Singapura dengan sasaran biasiswa $400,000.
Sejak dimulakan pada Oktober 2024, Inisiatif Biasiswa Palestin itu meraih lebih 900 sumbangan individu.
Ia antara lain diterajui mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) dan usahawan sosial, Cik Anthea Ong dan mantan menteri Kabinet, Dr Yaacob Ibrahim.
Biasiswa itu diharap dapat menaja dua pelajar Palestin melanjutkan pendidikan di universiti Singapura, meliputi tajaan seperti yuran pengajian, penginapan, dan perbelanjaan harian.
Lebih 150 permohonan diterima daripada belia Palestin, kebanyakannya berusia bawah 25 tahun dan lebih separuh dari Gaza, yang universiti-universitinya musnah akibat konflik tersebut.
Pelajar pertama dijangka memulakan pengajian pada tahun akademik 2025.
Inisiatif itu melengkapi usaha pemerintah Singapura membantu warga Palestin dalam membangunkan kapasitinya termasuk dalam bidang pentadbiran dan pembinaan semula melalui Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (Etap).
Menjangkaui derma dan bantuan kemahiran, beberapa pihak, termasuk masjid setempat, juga merancang untuk mengagihkan sebahagian daging korban kepada warga Palestin di Gaza semasa musim haji nanti.
Sesungguhnya kita prihatin akan nasib malang yang menimpa rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.
Namun cara yang terbaik untuk membantu mereka bukan dengan bantahan dan rusuhan tetapi menerusi kerja-kerja amal yang dapat meringankan derita mereka.
Selain Myanmar dan Gaza, banyak lagi bantuan yang pernah kita hulurkan untuk meringankan sengsara warga dunia dalam pelbagai misi.
Di samping misi menyelamat, Singapura juga pernah menjalankan misi perubatan; pembangunan keupayaan dan pendidikan; pembangunan prasarana jangka panjang; kerja sukarela yang dijalankan belia dalam pelbagai projek masyarakat; dan kerjasama dengan agensi antarabangsa membantu masyarakat dunia yang memerlukan.
Sebagai negara kecil, sumbangan kita mungkin tidak sebanyak mana.
Namun kemurahan hati dan semangat membantu kita besar di hati mereka yang menerimanya.
Dalam dunia yang kini semakin bergolak dan tidak menentu, semangat kemanusian kita itu diharap dapat memberi sedikit perubahan dan kebahagian dalam kehidupan penerima.
Sedang kita bergelut mengharungi gelombang isu dunia, tawaran bantuan dari Singapura ibarat obor harapan manusiawi dari sebuah pulau kecil di khatulistiwa untuk warga seantero dunia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg