Menggalak hubungan dan kerjasama dalam kalangan ibu bapa, pengasuh, dan pendidik menerusi sesi perbincangan terbuka.
Itulah matlamat yang ingin dicapai menerusi sesi perbincangan yang menarik sekitar 100 peserta, dalam acara yang diadakan di Kafe OTC di Perpustakaan Negara pada 6 Julai.
Sesi itu turut dihadiri Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang.
Dipanggil ‘We’re Listening’, sesi perbincangan anjuran Kementerian Pendidikan (MOE) dengan sebuah badan bukan pemerintah, The Whitehatters, itu bertujuan menggalakkan perbincangan antara ibu bapa, pengasuh, dengan pendidik di sekolah rendah, sekolah menengah, maktab rendah dan Institut Millennia (MI).
Ia berfungsi sebagai wadah untuk berkongsi pandangan dan cadangan mengenai kerjasama yang lebih baik demi kepentingan kanak-kanak.
Apabila ditanya tentang hasil yang diharapkan melalui inisiatif itu, pengasas dan pengarah The Whitehatters, Cik Shahrany Hassan, berkata:
“Kami mahu mewujudkan peluang kepada ibu bapa dan pendidik untuk berkumpul dan berbincang, untuk benar-benar mendengar antara satu sama lain dan memahami bahawa kita semua berada di pihak yang sama.
“Sesi ini adalah untuk berbincang tentang apa kami mahukan untuk anak-anak kami... sesi ini diadakan supaya kami boleh mendengar dan menghormati semua pandangan, serta kami boleh mengambil langkah kecil supaya perubahan positif boleh berlaku.”
Antara pandangan yang paling dikongsi dalam kalangan ibu bapa adalah mereka bersetuju tentang keperluan untuk berkomunikasi dengan lebih baik dengan pendidik anak-anak mereka.
Mereka mengakui mereka mempunyai tanggungjawab untuk terlibat dalam kehidupan anak-anak mereka, kata Cik Shahrany.
Cik Shahrany juga berkongsi bahawa pendidik bersyukur kerana mendapat peluang untuk berbual dengan ibu bapa di luar persekitaran sekolah.
Menurutnya, ia merupakan “anjakan asas dalam dinamik” hubungan antara kedua-dua pihak.
Dalam sesi itu, para peserta dibahagikan kepada 10 kumpulan, dan setiap kumpulan berbincang dan saling berkongsi pandangan.
Di penghujung sesi, setiap kumpulan berkongsi satu perkara yang boleh diusahakan, bagi memainkan peranan mereka dalam memupuk perkongsian yang baik dengan pihak lain, sama ada pendidik atau ibu bapa.
Pandangan yang dikumpulkan daripada sesi itu akan digunakan untuk memaklumkan dan meningkatkan strategi MOE dalam memperkukuh kerjasama antara pendidik di sekolah dengan ibu bapa di rumah.
Antara peserta yang hadir ialah Cik Fazliana Pairin, guru Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan di Sekolah Menengah Kuo Chuan Presbyterian.
Cik Fazliana, yang telah menghadiri banyak sesi pendekatan selama 20 tahun berkata beliau menghargai suasana santai dan terbuka yang disediakan dalam acara tersebut, yang dirasakannya memudahkan perbualan yang jujur dan empati.
“Sesi ini sangat bermakna dan saya amat menghargai persekitaran yang membolehkan kami berkongsi secara terbuka.
“Saya percaya bahawa pendekatan yang digunakan dapat membantu dalam menggalakkan komunikasi yang jujur antara peserta, lantas memupuk apa jua perkongsian dan harapan yang boleh terjalin antara kedua-dua pihak,” ujar Cik Fazliana, 44 tahun.
Sementara itu, Cik Najma Beebi, seorang ibu berusia 48 tahun, mendapati bahawa sesi itu membuka matanya kepada sudut pandangan seorang pendidik.
Cik Najma, yang mempunyai tiga anak – seorang lelaki, 25 tahun, dan dua perempuan, 24 dan 15 tahun – menekankan kepentingan untuk ibu bapa mendengar pandangan pendidik tanpa prasangka.
Beliau juga yang merupakan sukarelawan dalam Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (PSG) di Sekolah Menengah Greenridge, berkata:
“Selesa benar apabila dapat mendengar terus daripada sudut pandangan seorang pendidik. Komunikasi terbuka adalah kunci.
“Ibu bapa dan pendidik harus bekerjasama, tetapi hasilnya mestilah demi kebaikan anak,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg