Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Setiap individu guna 142 liter air sehari pada 2024

PUB: Perlu kurangkan kepada 130 liter sehari jelang 2030, sejajar sasaran Pelan S’pura Menghijau
Mar 8, 2025 | 7:33 PM
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, berucap pada acara pelancaran kempen pemuliharaan air tahunan di Our Tampines Hub (OTH) pada 8 Mac.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, berucap pada acara pelancaran kempen pemuliharaan air tahunan di Our Tampines Hub (OTH) pada 8 Mac. - Foto ST

Pada 2024, penggunaan air setiap isi rumah meningkat sedikit, dengan setiap penghuni menggunakan 142 liter air sehari, berbanding 141 liter pada 2023.

Walaupun penggunaan air domestik masih lebih rendah berbanding semasa tempoh Covid-19, setiap penghuni masih perlu berusaha mengurangkan penggunaan air mereka kepada 130 liter sehari menjelang 2030, sejajar dengan sasaran Pelan Singapura Menghijau 2030.

Agensi air negara PUB, mendedahkan penggunaan jumlah air harian untuk 2024 pada 8 Mac, semasa pelancaran kempen pemuliharaan air tahunan di Our Tampines Hub (OTH).

Peningkatan penggunaan air sebanyak satu liter setiap individu mungkin disebabkan oleh cuaca lebih panas dan kering pada 2024, kata PUB, dengan suhu mencapai purata tahunan 28.4 darjah Celsius.

Bagi membantu isi rumah menjimatkan air, PUB akan melancarkan inisiatif menggantikan peralatan air kurang berkesan menjimat air dengan peralatan yang lebih mempu mengurangkan penggunaan air bagi unit Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) satu hingga tiga bilik terpilih.

PUB berkata butiran lanjut mengenai inisiatif ini akan diumumkan pada masa akan datang, lapor The Straits Times (ST).

Kempen pemuliharaan air 2025, yang diadakan sempena Hari Air Sedunia Singapura dan sambutan 60 tahun kemerdekaan Singapura (SG60), membawa pengunjung mengimbau kisah bekalan air negara ini.

Pada 8 hingga 9 Mac, orang ramai juga boleh meninjau pameran di OTH yang memaparkan sejarah air Singapura, termasuk inovasi seperti AirBaru dan proses penyahgaraman.

Berucap pada pelancaran acara itu pada 8 Mac, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, berkata Singapura perlu terus mengukuhkan ketahanan airnya, lebih-lebih lagi dengan perubahan iklim yang mengakibatkan peningkatan suhu, tempoh kemarau berpanjangan, dan corak hujan tidak menentu.

Beliau merujuk kepada kemarau yang berpanjangan selama 27 hari pada 2014 yang menyebabkan penurunan paras air di dalam kolam air.

Ketika itu, sehingga 113.7 juta liter AirBaru terpaksa dipam ke dalam kolam air setiap hari.

“Kita mesti bersedia kerana tempoh cuaca kering seperti ini mungkin akan berlaku lagi, dan mungkin lebih kerap serta lebih panjang,” kata DPM Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

DPM Gan turut menggesa isi rumah untuk menggunakan baucar iklim yang diberi pemerintah bagi membeli peralatan penjimatan air, seperti peralatan mandian dan paip lebih cekap air.

Semua isi rumah HDB telah menerima baucar iklim bernilai $300 pada 2024, yang boleh digunakan sehingga 31 Disember 2027, dan akan menerima tambah nilai $100 pada pertengahan April.

Baucar $400 ini juga akan diberi kepada keluarga Singapura yang tinggal di hartanah privet mulai 15 April.

“Walaupun kita tidak perlu bimbang setiap hari tentang sama ada kita akan mempunyai air yang mencukupi, kita tidak boleh lupa betapa bernilainya air, dan perlu memainkan peranan kita untuk menggunakan air dengan bijak dan cermat dalam rutin harian kita,” kata DPM Gan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg