Ketika bunyi tembakan meriam bergema sepanjang sempadan Kemboja-Thailand pada Julai, Asean bertindak pantas tetapi secara senyap, di sebalik tabir.
Campur tangan tersebut merupakan langkah penting dalam menghentikan konflik paling serius antara negara anggota Asean dalam lebih sedekad itu, kata Setiausaha Agung Asean, Dr Kao Kim Hourn, dalam wawancara eksklusif bersama The Straits Times (ST) pada 5 Ogos.
“Saya rasa apa yang dilakukan (campur tangan itu) ialah mengawal keadaan dan kemudian cuba meredakan ketegangan. Selepas itu... mereka kembali berunding,” kata Dr Kao merujuk pada kededua negara yang bertelagah itu.
Dr Kao berkata Asean memberi lebih tumpuan pada pengurusan konflik berbanding menyelesaikan punca politik masalah tersebut yang lebih mendalam.
Masalah dalaman Kemboja dan Thailand, yang dipertingkatkan oleh nasionalisme dan maklumat palsu dalam talian, telah menyukarkan usaha damai, tambah beliau.
Namun, Dr Kao tetap melihat perkembangan antara dua negara jiran itu sebagai satu pencapaian.
Gencatan senjata yang goyah antara Kemboja dengan Thailand telah dimeterai di Kuala Lumpur pada 28 Julai, susulan sesi usaha damai kecemasan oleh Malaysia selaku pengerusi Asean 2025, dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Rundingan yang disokong oleh Amerika Syarikat dan China itu menyatukan Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet; dengan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Encik Phumtham Wechayachai, dalam satu pertemuan.
Pertemuan tersebut berjaya menamatkan konflik selama lima hari yang mengorbankan lebih 40 nyawa dan menyebabkan lebih 300,000 rakyat kehilangan tempat tinggal.
Dr Kao berkata campur tangan Asean, khususnya oleh Datuk Seri Anwar, bertujuan memastikan keadaan tersebut tidak meruncing di luar kawalan.
Dalam tempoh hanya lima hari, usaha damai itu telah menunjukkan hasil, dan tindakan Asean membantu mengekang konflik tersebut daripada terus berlarutan, jelas Dr Kao.
“Perdana Menteri Malaysia bertindak pantas menangani isu ini secara langsung, dan ini menunjukkan bahawa Asean masih sangat relevan,” kata Dr Kao, sambil memuji usaha diplomatik pantas Malaysia.
Mengulas peranannya dalam rundingan itu, Dr Kao, yang berasal dari Kemboja, menegaskan:
“Saya perlu melaksanakan tugas saya sebagai Setiausaha Agung Asean, bukan sebagai wakil Kemboja. Saya mesti benar-benar bersikap berkecuali, tidak berpihak, dan jelas dalam pendirian.”
Sehubungan itu, beliau memastikan setiap urusan dengan menteri dan rakan sejawatan dari negara-negara Asean dilakukan secara telus.
Meskipun ketegangan berjaya diredakan, Dr Kao memberi amaran bahawa keadaan di Thailand dan Kemboja mendedahkan perkembangan membimbangkan, iaitu peningkatan nasionalisme dan maklumat palsu dalam talian.
Di media sosial, ‘meme’ nasionalis dan maklumat palsu tersebar meluas di kedua-dua negara, memburukkan lagi ketegangan meskipun gencatan senjata telah diumumkan.
Pengguna dalam talian saling menuding jari, mengungkit rasa tidak puas hati, malah dalam beberapa kes, menggesa tindakan balas.
Menurut Dr Kao, kenyataan sebegitu boleh membawa kesan serius.
Beliau turut menyatakan bahawa pihak berkuasa Kemboja telah mengeluarkan arahan jelas agar orang ramai tidak menyebarkan kandungan provokatif, dan memberi amaran bahawa setiap individu akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dimuat naik.
Dr Kao menambah, ketegangan antara Thailand dengan Kemboja itu sepatutnya menjadi satu “peringatan penting” kepada Asean supaya terus berusaha memelihara keamanan dan melayan semua pihak di rantau ini seperti rakan dan keluarga.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg