Pertempuran bersenjata baru-baru ini antara Kemboja dengan Thailand bukan sahaja menjejas usaha mencapai keamanan di rantau ini, malah turut mencalar kebolehpercayaan Asean, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Pertikaian wilayah itu menimbulkan persoalan tentang keupayaan Asean dalam mencegah dan mengurus krisis, dan meskipun kejadian sebegitu bukan sesuatu yang luar biasa di Asia Tenggara, Dr Balakrishnan menegaskan bahawa keganasan itu masih boleh dielakkan.
Apabila keganasan berlaku, ia mencerminkan kegagalan kepimpinan, kata menteri itu, sambil memberi amaran agar keadaan tersebut tidak dibiarkan terus meruncing hingga mencetuskan bencana – khususnya ketika rantau ini berdepan ketegangan geopolitik yang meningkat dan landskap ekonomi sejagat yang kian tidak menentu.
Berucap semasa Forum Asean dan Asia ke-17 anjuran Institut Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA) pada 5 Ogos, Dr Balakrishnan menyifatkan konflik Kemboja-Thailand sebagai satu tamparan hebat bagi kumpulan itu.
“Ini adalah satu rintangan, rintangan besar, bukan sahaja bagi keamanan dan kestabilan, malah bagi kebolehpercayaan Asean,” katanya kepada sekitar 300 diplomat, ahli akademik dan pemimpin perniagaan di Parkroyal, Beach Road.
Negara di rantau ini telah lama menghadapi pertikaian wilayah yang masih belum diselesaikan antara satu sama lain, namun kewujudan pertikaian sebegitu tidak bermakna ia perlu melibatkan keganasan, kata Dr Balakrishnan.
“Hanya kerana terdapat kawasan yang masih belum ditentukan sempadannya atau menjadi pertikaian, ia tidak bermakna (perkara itu) harus membawa kepada keganasan.
“Apabila keganasan berlaku, ia mencerminkan kegagalan diplomasi dan menjadi lebih rumit apabila kepimpinan lumpuh,” ujar Dr Balakrishnan.
Menurutnya, jalan penyelesaian adalah untuk negara-negara terlebih dahulu menjaga kebajikan rakyat masing-masing, sejajar dengan pendirian beliau bahawa dasar luar bermula dari dalam negara.
Beliau turut berkata reaksi negatif terhadap penyejagatan dan perdagangan – termasuk penggunaan tarif dan rantaian bekalan sebagai senjata – sering berpunca daripada ketidakstabilan dalaman dan kehilangan keyakinan rakyat terhadap keadilan sistem sedia ada bagi semua lapisan masyarakat.
“Jika keadaan dalam negara sendiri tidak stabil, amat sukar untuk melaksanakan (dasar) ekonomi atau diplomasi,” kata Dr Balakrishnan.
Kenyataan Dr Balakrishnan itu dibuat susulan gencatan senjata yang dimeterai pada 28 Julai di Malaysia, selepas pertempuran lima hari antara Kemboja dengan Thailand.
Konflik itu telah meragut lebih 40 nyawa dan menyebabkan lebih 300,000 penduduk di sepanjang sempadan kedua-dua negara terpaksa dipindahkan, lapor The Straits Times (ST).
Kejadian tersebut kekal sebagai antara pertempuran bersenjata paling serius antara negara anggota Asean dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Setiausaha Agung Asean, Encik Kao Kim Hourn, yang berucap dalam sesi berasingan pada forum tersebut, berkata peranan Malaysia selaku pengerusi Asean 2025 penting dalam meredakan ketegangan antara kedua-dua pihak.
“Keputusan tegas oleh Pengerusi Asean untuk campur tangan (dalam konflik ini) amat memberangsangkan,” katanya, sambil menambah bahawa menteri-menteri pertahanan dari kedua-dua negara telah menyambung semula rundingan di Kuala Lumpur dan telah menunjukkan kemajuan.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pada 5 Ogos bahawa Putrajaya bersedia menghantar pasukan pemantau ke sempadan sekiranya Thailand dan Kemboja memerlukannya.
Namun, buat masa ini, keadaan sedang dipantau dari jauh menerusi satelit dan diselaraskan melalui atase pertahanan Malaysia.
Ketegangan antara Kemboja dengan Thailand itu berlaku ketika Asean masih berusaha menangani kesan krisis di Myanmar, yang terus mencetus keganasan dan ketidakstabilan politik sejak rampasan kuasa tentera pada 2021.
Asean telah mengenakan sekatan ke atas junta pimpinan Myanmar daripada menghadiri mesyuarat utama, susulan kegagalan mereka melaksanakan usaha damai dan menghentikan keganasan yang melanda negara itu sejak rampasan kuasa tersebut.
“
“Hanya kerana terdapat kawasan yang masih belum ditentukan sempadannya atau menjadi pertikaian, ia tidak bermakna (perkara itu) harus membawa kepada keganasan. Apabila keganasan berlaku, ia mencerminkan kegagalan diplomasi dan menjadi lebih rumit apabila kepimpinan lumpuh.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg