Setiausaha Tetap (Tenaga Manusia), Encik Ng Chee Kern, akan bersara pada 1 Disember, menandakan tamatnya 41 tahun dalam perkhidmatan awam dengan kerjaya yang penuh kecemerlangan.
Encik Ng, 60 tahun, memulakan kerjayanya pada 1984, dan telah dinaikkan pangkat kepada Panglima Tentera Udara dari 2006 hingga 2009, kata Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) dalam satu kenyataan pada 30 Oktober.
Pada 2010, beliau dilantik sebagai Pengarah Divisyen Keselamatan dan Perisikan, kemudian pada 2014, beliau menjadi Setiausaha Tetap (Pembangunan Pertahanan), menurut laporan akhbar The Straits Times (ST).
Antara 2014 dengan 2016, Encik Ng juga merupakan Setiausaha Tetap Kedua (Kesihatan), sebelum dilantik sebagai Setiausaha Tetap Pertama (Negara Bijak dan Pemerintah Digital) di Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 2017.
Dalam peranan itu, beliau mengetuai usaha pemerintah untuk membangunkan penyelesaian digital bagi warga dan perniagaan, seperti Singpass dan MyInfo, kata PSD.
Pembayaran digital di Singapura berkembang di bawah pengawasannya, dengan pengenalan Kod Respons Pantas Singapura (SGQR) – kod QR tunggal yang standard untuk pembayaran elektronik yang menggabungkan berbilang skim pembayaran di bawah satu label – serta sistem tempat jualan (POS) bersepadu.
Melahirkan penghargaan kepada Encik Ng atas perkhidmatannya, Menteri Pertahanan yang juga Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing, berkata:
“Beliau telah berkhidmat dengan cemerlang dan membuat banyak sumbangan penting serta memberi kesan kepada Perkhidmatan Awam.”
Selain persaraan Encik Ng, PSD mengumumkan beberapa perubahan dalam pelantikan Setiausaha Tetap lain mulai 1 Disember.
Encik Leo Yip, 61 tahun, akan meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Tetap (Keselamatan Negara dan Penyelaras Risikan) di PMO.
Namun, beliau akan kekal sebagai Ketua Perkhidmatan Awam, dan Setiausaha Tetap (Strategi) di PMO serta Setiausaha Tetap di PMO.
Encik Chan Heng Kee, 56 tahun, akan menggantikan Encik Yip sebagai Setiausaha Tetap (Keselamatan Negara dan Penyelaras Risikan) di PMO.
Pada masa yang sama, beliau akan kekal sebagai Setiausaha Tetap (Pertahanan) dan Setiausaha Tetap (Tugas Khas) di PMO.
Encik Stanley Loh Ka Leung, 54 tahun, akan menggantikan Encik Ng sebagai Setiausaha Tetap (Tenaga Manusia), dan meletakkan jawatannya sebagai Setiausaha Tetap (Kemampanan dan Sekitaran).
Encik Melvyn Ong Su Kiat, 50 tahun, akan mengambil alih sebagai Setiausaha Tetap (Kemampanan dan Sekitaran), dan kekal sebagai Setiausaha Tetap (Pembangunan Pertahanan).
Beliau, bagaimanapun, akan meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Tetap (Pembangunan) untuk Kementerian Pembangunan Negara.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg