Topik diikuti
Pergi ke BHkuSFA bantu lebih 200 kakitangan, pekerja bebas True Fitness, True Yoga yang terjejas cari kerja
SFA bantu lebih 200 kakitangan, pekerja bebas True Fitness, True Yoga yang terjejas cari kerja
SFA bantu lebih 200 kakitangan, pekerja bebas True Fitness, True Yoga yang terjejas cari kerja
Pakatan Kecergasan Singapura (SFA) sedang membantu lebih 200 pekerja dan pekerja bebas True Group yang terjejas untuk mendapatkan pekerjaan baharu, susulan penutupan mengejut rangkaian gimnasium itu.
Dalam satu kenyataan pada 13 September, Presiden dan Pengasas Bersama SFA, Encik Sean Tan, berkata badan itu mendahului inisiatif ini dengan kerjasama Persatuan Instruktor dan Jurulatih Nasional (Nica) – sebuah persatuan yang ditubuhkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) – serta e2i, Institut Pekerjaan dan Daya Kerja NTUC.
Setakat 13 September, kira-kira 235 kakitangan dan pekerja bebas yang terjejas telah menghubungi SFA, kata Encik Tan.
Satu senarai lengkap individu-individu itu, termasuk butiran hubungan dan deskripsi kerja terkini mereka, akan dihantar kepada ahli-ahli SFA pada 14 September, yang merangkumi Fitness First, Virgin Active, Anytime Fitness dan Yoga Movement.
Beberapa gimnasium ahli SFA telah pun menyatakan minat untuk mengambil pekerja yang terjejas, tambah Encik Tan.
Sementara itu, NICA dan e2i akan membantu dalam padanan pekerjaan yang berpotensi, serta latihan semula kemahiran bagi mereka yang memerlukannya.
Namun begitu, Encik Tan berkata badan industri bukan keuntungan itu tidak akan terlibat dalam usaha mendapatkan semula gaji atau komisen yang belum dibayar.
Pada 11 September, rangkaian gimnasium True Fitness dan True Yoga menghentikan operasi mereka, dengan syarikat induknya di Hong Kong, Kontafarma, mengisytiharkan penggulungan perniagaan itu berikutan persaingan pasaran dan tekanan kos.
True Fitness dan True Yoga berada di bawah True Singapore Group, yang turut mengendalikan pusat kecergasan dan yoga TFX serta Yoga Edition di sini.
Secara keseluruhannya, jenama-jenama itu mengendalikan tujuh cawangan di Singapura.
Persatuan Pengguna Singapura (Case) berkata setakat 6 petang pada 11 September, ia telah menerima 241 aduan daripada pengguna yang terjejas, dengan kerugian dilaporkan melebihi $609,000 melibatkan keahlian, pakej dan perkhidmatan yang belum digunakan.
SFA sedang berbincang dengan gimnasium ahlinya untuk mempertimbangkan menawarkan yuran keahlian konsesi kepada pelanggan yang terjejas, walaupun mengiktiraf atau memberi kredit bagi keahlian atau pakej latihan peribadi yang belum digunakan dilihat tidak berkemungkinan, kata Encik Tan pada 13 September.
Pekerja yang bercakap dengan The Straits Times (ST) berkata mereka dimaklumkan mengenai penutupan mengejut itu menerusi e-mel pada kira-kira 10.30 malam pada 10 September — hanya sejam sebelum penutupan rasmi.
Dalam e-mel yang dilihat oleh ST, jabatan sumber manusia syarikat itu menyatakan bahawa “semua cawangan akan ditutup dengan serta-merta dan tidak akan dibuka esok (11 September).”
Berita itu mengejutkan kakitangan di Singapura.
Seorang pekerja dan jurulatih peribadi berusia 28 tahun, Encik Mani Jr, memberitahu ST:
“Pihak pengurusan pernah membincangkan tentang menaik taraf sesetengah cawangan sedia ada.”
Beliau merupakan salah seorang daripada kira-kira 50 bekas pekerja True Fitness dan True Yoga yang menghadiri mesyuarat penggulung syarikat di Claymore Hill pada 11 September, di mana beliau berkata mereka hanya diminta menandatangani borang penamatan.
