Produk kopi yang dikenali sebagai Kopi Penumbuk didapati mengandungi ubat berbahaya yang digunakan untuk merawat mati pucuk, kata Agensi Makanan Singapura (SFA), sambil memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak membeli atau mengambil minuman tersebut.
Agensi itu berkata pada 10 Mac bahawa produk yang dibuat di Malaysia itu, yang dipasarkan di platform e-dagang tempatan dengan dakwaan memberi kesan peningkatan seksual lelaki, telah didapati mengandungi tadalafil, lapor The Straits Times (ST).
“SFA telah bekerjasama dengan pelbagai platform e-dagang dalam talian untuk mengeluarkan penyenaraian produk tersebut dan mengeluarkan amaran kepada penjual yang terlibat supaya berhenti menjual produk itu dengan serta-merta,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.
Tadalafil adalah ubat yang digunakan untuk mati pucuk dan hanya boleh diberikan di bawah pengawasan perubatan.
SFA berkata penyalahgunaan tadalafil boleh menyebabkan kesan sampingan serius, termasuk serangan jantung, strok, sakit kepala, migrain, rentak jantung tidak teratur dan lain-lain.
Agensi itu juga berkata tadalafil boleh membawa risiko serius kepada individu tertentu, termasuk mereka yang mempunyai masalah berkaitan jantung. Ia boleh menyebabkan tekanan darah rendah yang berbahaya, terutama kepada mereka yang mengambil ubat jantung yang mengandungi nitrat.
Mereka yang mengambil produk kopi itu dan mempunyai kebimbangan kesihatan disarankan supaya mendapatkan rawatan perubatan, kata SFA.
“Pengguna juga dinasihatkan agar berhati-hati dan peka terhadap risiko yang berkaitan dengan pengambilan makanan yang dibeli daripada sumber yang tidak diketahui atau tidak disahkan, dan disarankan supaya mendapatkan maklumat lanjut sebelum membuat sebarang pembelian,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg