Sistem penggredan keselamatan makanan di Singapura akan digantikan mulai 19 Januari dengan rangka kerja baru yang meletakkan lebih penekanan terhadap rekod prestasi sesebuah perusahaan dalam memastikan keselamatan makanan.
Ini berbanding penilaian tahunan yang kurang menyeluruh.
Agensi Makanan Singapura (SFA) mengumumkan pada 7 Januari ia telah memperkenalkan rangka kerja baru yang diberi nama Jaminan Keselamatan untuk Premis Makanan (Safe).
Menurut SFA, rangka kerja baru itu akan melibatkan sekitar 45,000 perusahaan makanan berlesen SFA, termasuk pengendali katering, restoran, kedai bakeri, gerai penjaja dan kereta sorong makanan, atau food cart.
Di bawah sistem penggredan sedia ada, perusahaan makanan diberi gred A, B, C atau D berdasarkan penilaian tahunan SFA.
Sistem semasa itu telah digunakan selama hampir tiga dekad, lapor The Straits Times (ST).
Perusahaan makanan diberi gred berdasarkan tahap kebersihan, penjagaan dan standard pengurusan premis secara keseluruhan melalui penilaian sekali imbas, atau snapshot.
Menurut laporan media sebelum ini, premis makanan yang memperoleh markah 85 peratus dan ke atas akan diberikan gred A.
Perusahaan yang mendapat markah antara 70 dengan 84 peratus diberikan gred B; manakala markah 50 hingga 69 peratus diberi gred C; dan 40 hingga 49 peratus diberi gred D.
Skim itu memberikan gambaran tentang tahap keselamatan makanan sesebuah perusahaan pada saat penilaian dijalankan, namun tidak mencerminkan sama ada standard tersebut dikekalkan secara tekal sepanjang masa.
Di bawah rangka kerja baru Safe, perusahaan makanan yang mempunyai rekod keselamatan makanan yang baik secara tekal, akan menerima gred lebih tinggi, kata SFA.
Mereka yang mempunyai rekod keselamatan makanan yang lemah pula akan diberikan gred lebih rendah dan perlu menjalani pemeriksaan lebih kerap, tambah agensi itu.
Sebagai contoh, sebuah perusahaan makanan akan menerima gred A jika ia mempunyai rekod prestasi baik selama lebih tiga tahun.
Sekiranya terdapat kelemahan besar dalam memastikan keselamatan makanan di sesebuah perusahaan, seperti menerima sabitan mahkamah atas kesalahan berkaitan keselamatan makanan, gred perusahaan itu akan segera diturunkan ke gred C.
Perusahaan makanan yang beroperasi kurang dari setahun akan bermula dengan gred baru (New) untuk membezakan mereka daripada pengendali yang mempunyai rekod prestasi lebih lama.
Ketua Pengarah Pentadbiran Makanan SFA, Dr Tan Lee Kim, berkata rangka kerja baru itu menawarkan cara lebih berkesan untuk menilai prestasi keselamatan makanan.
“Dengan mengiktiraf perusahaan makanan yang mengekalkan standard tinggi secara konsisten, kita memperkukuh keselamatan makanan dalam industri sambil memperkasa pengguna agar membuat pilihan lebih bijak,” kata Dr Tan.
“Ini adalah hasil daripada penglibatan meluas dengan pihak berkepentingan dalam industri, dan SFA akan bekerjasama dengan perusahaan makanan sepanjang tempoh peralihan ini,” jelasnya.
SFA akan menetapkan gred permulaan bagi premis makanan sedia ada secara automatik di bawah rangka kerja Safe, berdasarkan rekod prestasi keselamatan makanan semasa mereka.
Perusahaan makanan dan orang ramai boleh mengakses maklumat tersebut mulai 19 Januari.
Orang ramai boleh mengetahui gred keselamatan sesebuah perusahaan dengan mengimbas kod QR pada lesen SFA yang dipamerkan di sesebuah perusahaan makanan atau dengan menyemak laman web go.gov.sg/sfa-track-records
Menurut SFA, di bawah rangka kerja baru itu, hampir 80 peratus premis makanan dijangka memperoleh sekurang-kurangnya gred B.
Sementara itu, lebih 20 peratus perusahaan dijangka menerima gred ‘New’, manakala kurang daripada 1 peratus dijangka menerima gred C kerana mencatat kelemahan besar pada 2025, tambah SFA.
Rangka kerja baru itu diperkenalkan menyusuli pengumuman SFA pada 2021 tentang pengenalan sistem penggredan keselamatan makanan baru mulai 2023.
Pada masa itu, SFA berkata sistem baru berkenaan akan mengambil kira rekod prestasi perusahaan dan menggantikan sistem gred huruf sedia ada dengan anugerah gangsa, perak dan emas.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg