Topik diikuti
Pergi ke BHkuSFA kaji kemungkinan derma makanan selepas tarikh ‘Baik Sebelum’
SFA kaji kemungkinan derma makanan selepas tarikh ‘Baik Sebelum’
Agensi Makanan Singapura (SFA) sedang memulakan satu kajian untuk menilai keselamatan dan kebolehlaksanaan membenarkan makanan yang telah melepasi tanda tarikh berdasarkan kualiti untuk didermakan.
Ini sementara mengekalkan standard keselamatan makanan, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Cik Goh Hanyan.
Tanda tarikh berdasarkan kualiti merujuk kepada label pada pembungkusan makanan, seperti ‘Baik jika Digunakan Sebelum’’ (Best if Used By) dan ‘Baik Sebelum’ (Best Before), yang menganggarkan berapa lama sesuatu produk itu mengekalkan rasa, kesegaran dan teksturnya yang optimum.
Ini berbeza dengan tanda tarikh berdasarkan keselamatan, seperti ‘Tarikh Luput’ (Expiry Date), yang memaklumkan pengguna apabila makanan tidak lagi selamat dimakan.
“Ini akan membolehkan lebih banyak makanan yang boleh dimakan diagihkan semula dan bukannya dibuang,” kata Cik Goh di Parlimen pada 9 September.
Butiran lanjut mengenai kajian itu akan dikongsi pada 2027.
Cik Goh berkata demikian dalam respons kepada satu usul berkenaan mengenai menjamin masa depan makanan negara di Parlimen yang dikemukakan oleh empat Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) – Cik Poh Li San, Cik Nadia Ahmad Samdin, Encik Ng Shi Xuan dan Cik Valerie Lee, yang merupakan anggota Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Kemampanan dan Sekitaran.
Mereka telah menyeru pemerintah untuk mempertingkat daya tahan makanan dan menyokong usaha mengurangkan pembaziran makanan melalui kerjasama dengan segenap lapisan masyarakat.
Ini demi memastikan rakyat Singapura mempunyai akses kepada bekalan makanan yang boleh dimampui di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dan risiko berkaitan iklim.
Antaranya, Cik Poh (Sembawang West) menyarankan agar lebih banyak sokongan diberikan kepada kumpulan amal makanan, seperti Food Bank, Food Rescue Seng Kang dan Fridge Restock Community, yang secara kolektif ‘menyelamatkan’ sekitar 2,400 tan makanan setiap tahun – sekali gus membebaskan kapasiti di loji pembakaran.
Cik Goh berkata pada masa ini, tidak ada garis panduan antarabangsa tentang berapa lama makanan kekal selamat untuk dimakan selepas tarikh luputnya.
Secara berasingan, Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) berkata sejak penggubalan Akta Derma Makanan Good Samaritan dan Akta Keselamatan dan Jaminan Makanan, pihaknya telah mempelajari isu tersebut.
Bahkan, sepanjang 2026, SFA telah meningkatkan pendekatannya dengan perniagaan untuk lebih memahami amalan tanda tarikh bagi makanan yang dijual di Singapura.
“SFA kini dalam peringkat akhir semakannya tentang sama ada makanan yang telah melepasi tanda tarikh berdasarkan kualiti boleh didermakan.
“Semakan ini akan mengimbangi pertimbangan keselamatan makanan, di samping menyokong usaha derma makanan.
“Kami menyasar untuk mengumumkan butiran lanjut mengenai derma makanan yang telah melepasi tarikh kualiti pada 2027 selepas semakan tersebut selesai,” kata MSE.
