Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempelbagaikan dan mengembangkan sumber makanan Singapura, negara ini tidak lama lagi akan mendapatkan produk daging dan telur daripada tiga negara anggota Kesatuan Eropah (EU) yang baru diluluskan – Greece, Lithuania dan Latvia.

Negara-negara itu dimasukkan ke dalam senarai negara yang diluluskan sebagai sebahagian daripada semakan berterusan permohonan eksport negara anggota EU, kata Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Kesatuan Eropah di Singapura dalam satu kenyataan bersama pada 16 April.

Sebanyak 15 negara anggota EU yang sudah boleh mengeksport produk tersebut ke Singapura ialah Austria, Belgium, Czechia, Denmark, Finland, Perancis, Jerman, Hungary, Ireland, Italy, Belanda, Poland, Portugal, Sepanyol dan Sweden.

Ini berdasarkan Perjanjian Perdagangan Bebas EU–Singapura, yang berkuat kuasa pada November 2019 dan melibatkan usaha bersama antara negara anggota EU dan Suruhanjaya Eropah dengan kerjasama SFA dan Lembaga Taman Negara (NParks).

Satu analogi yang mudah ialah, seekor ayam yang dilahirkan di Jerman, dibesarkan di Belanda, disembelih di Hungary, dan diproses di Perancis, kini boleh dieksport ke Singapura.

Berbeza dengan dahulu di mana ayam tersebut perlu melalui proses tersebut di satu negara yang khusus sahaja.

“Perkembangan ini merupakan hasil usaha bersama antara Negara Anggota EU dengan Suruhanjaya Eropah bagi kerjasama erat dengan SFA serta NParks untuk mendapatkan pengiktirafan terhadap sistem kawalan EU yang komprehensif dan pelbagai peringkat.

“Sistem ini memenuhi piawaian tertinggi bagi keselamatan makanan dan kesihatan haiwan,” tambah kenyataan itu.

Untuk mengelakkan sekatan di seluruh negara dan gangguan perdagangan yang tidak perlu kepada eksport, Singapura telah mengiktiraf langkah-langkah penyerantauan seluruh EU bagi penyakit haiwan seperti demam babi Afrika, selesema burung yang sangat patogenik dan penyakit kaki dan mulut.

Ini bermakna, jika berlaku wabak di sesebuah kawasan di EU, Singapura hanya akan menyekat kawasan tersebut dan tetap membenarkan import dari kawasan lain yang tidak terjejas.

Langkah ini dapat mengelakkan sekatan menyeluruh terhadap sesebuah negara serta menghalang gangguan perdagangan.

Kenyataan bersama itu menekankan bahawa EU akan terus memastikan standard keselamatan makanan yang tertinggi bagi produk daging dan telur yang dieksport ke Singapura.

Mengulas mengenai langkah pengiktirafan pengasingan kawasan, Ketua Pengarah bagi Keselamatan Makanan SFA, Dr Abdul Jalil Abdul Kader, berkata, Singapura mengalu-alukan kerjasama dengan EU untuk melaksanakan langkah pengasingan itu di seluruh EU dan pengecualian pada syarat lahir-dan-pelihara bagi daging dan telur yang diimport.

Memandangkan Singapura mengimport 90 peratus daripada bekalan makanannya, penting untuk mempelbagaikan sumber import agar dapat menghadapi situasi gangguan bekalan makanan.

Beliau berkata:

“Langkah ini membolehkan eksport makanan dari kawasan yang tidak terjejas di EU diteruskan semasa berlakunya wabak kesihatan haiwan, sambil tetap mengekalkan piawaian keselamatan makanan.

“Ini akan memperkukuh usaha Singapura untuk mempelbagaikan sumber import kita bagi menghadapi gangguan bekalan makanan, serta memastikan bekalan makanan selamat yang boleh dipercayai untuk Singapura.”