SFA tarik balik 2 lagi produk susu formula kandung toksin ‘cereulide’
SFA tarik balik 2 lagi produk susu formula kandung toksin ‘cereulide’
Agensi Makanan Singapura (SFA) telah menarik balik dua lagi produk susu formula selepas didapati mengandungi toksin cereulide.
Langkah itu melibatkan produk:
- Nestle NAN HA2 milk formula (for infants) 800g, dengan nombor 52750017C1 dan tarikh luput 31 Oktober 2027, dari Switzerland
- Nature One Dairy Premium Toddler Milk Formula – Stage 3 900g, dengan nombor 326251110 serta tarikh luput 10 Novemeber 2027 dan 11 Nov 2027, dari Australia
Demikian menurut kenyataan media bersama oleh SFA dan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) pada 15 Mac.
Menurut kedua-dua agensi itu, proses penarikan balik produk tersebut masih sedang dijalankan.
Pada Januari, SFA mengarahkan dua produk Dumex Dulac ditarik balik daripada pasaran susulan penarikan balik susu formula bayi jenama Nestle dan Dumex di Singapura serta di peringkat sejagat.
Ketika itu, terdapat dua lagi kes yang telah mengambil produk terjejas dan mengalami gejala ringan, mungkin disebabkan oleh keracunan cereulide.
Ini menjadikan jumlah kes di Singapura meningkat kepada tiga, kata SFA dan CDA.
“Sejak kemas kini terakhir kami pada 30 Januari, tiada kes tambahan yang dilaporkan mengalami gejala ringan, yang mungkin berkait dengan pendedahan kepada cereulide selepas mengambil produk terjejas,” kata mereka.
Mereka menambah bahawa buat masa ini tiada ujian makmal klinikal yang dapat mengesahkan keracunan cereulide.
Cereulide ialah toksin yang dihasilkan oleh bakteria Bacillus cereus dan hampir mustahil dikeluarkan daripada makanan kerana ia tahan haba dan alkali serta terlalu kecil untuk ditapis.
Antara gejala keracunan cereulide termasuk loya, muntah, kekejangan perut dan cirit-birit.
CDA pada 15 Mac berkata mereka sedang bekerjasama rapat dengan SFA bagi menjalankan pemantauan bersama pengamal perubatan untuk mengesan kemungkinan kes keracunan cereulide dalam kalangan kanak-kanak.
Pelanggan yang telah membeli produk terjejas dinasihati agar tidak memberikannya kepada anak-anak mereka.
Mereka boleh menghubungi tempat pembelian untuk sebarang pertanyaan mengenai produk.
Bagi pelanggan yang telah memberi anak mereka produk berkenaan, kemudian anaknya didapati mengalami masalah kesihatan, SFA dan CDA menasihati agar mereka mendapatkan nasihat perubatan dengan segera.
“Kumpulan produk susu formula bayi yang terlibat merangkumi sekitar 5 peratus daripada jumlah import susu formula bayi kita, dan ia hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan produk susu formula bayi yang didapati di Singapura,” kata SFA dan CDA.
“Bagi kumpulan produk susu formula yang terlibat bagi kanak-kanak berusia lebih setahun, ia mewakili bahagian yang sangat kecil daripada keseluruhan pasaran, dengan pilihan alternatif tersedia (di pasaran).”

