Agensi Makanan Singapura (SFA) telah mengarahkan pemberhentian penjualan lima kumpulan susu tepung bayi Nestle sebagai langkah berjaga-jaga sementara ia memeriksa kehadiran toksin cereulide dalam produk itu.
Arahan itu akan berkuat kuasa sementara siasatan dijalankan, kata SFA dan Agensi Penyakit Berjangkit dalam satu kenyataan bersama pada lewat 8 Januari.
Pengguna yang telah membeli produk yang terjejas dinasihatkan supaya tidak memberinya kepada kanak-kanak, tambah kenyataan itu.
Mereka yang anaknya telah menggunakan produk tersebut dan tidak sihat harus segera mendapatkan nasihat perubatan.
Pengguna boleh menghubungi tempat pembelian mereka jika mereka mempunyai soalan tentang produk tersebut.
Sistem Amaran Pantas Suruhanjaya Eropah untuk Makanan telah mengeluarkan pemberitahuan tentang susu tepung bayi berkenaan pada 7 Januari dan Rangkaian Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Antarabangsa melakukan perkara yang sama pada 8 Januari.
Produk yang terjejas semuanya dari Switzerland. Ia adalah:
- NAN HA 3 SupremePro 800g, Kumpulan 53030017C1
- NAN HA 2 SupremePro 800g, Kumpulan 51420017C4
- NAN HA 1 SupremePro 800g, Kumpulan 51460017C2
- NAN HA 1 SupremePro 800g, Kumpulan 51470017C1
- NAN HA 3 SupremePro 32g, Kumpulan 53030017B1
Cereulide ialah sejenis toksin yang dihasilkan oleh beberapa jenis bakteria Bacillus cereus, yang boleh menyebabkan simptom seperti loya, muntah, kekejangan perut dan cirit-birit, kata kenyataan itu.
Ia menambah: “Simptom-simptom tersebut, yang biasanya muncul antara 30 minit dengan enam jam dari pengambilan makanan yang terjejas, biasanya akan hilang dalam masa 24 jam.
“Golongan yang terdedah seperti bayi dan orang yang mengalami imunokompromi berisiko lebih tinggi mengalami komplikasi.”
Tiada piawaian antarabangsa mengenai tahap yang boleh diterima untuk toksin cereulide dalam susu tepung bayi dan makanan lain.
Setakat ini, tiada kes penyakit yang disahkan berkaitan dengan penggunaan susu tepung bayi Nestle yang terjejas di Singapura, kata kenyataan itu.
“Agensi Penyakit Berjangkit sedang bekerjasama rapat dengan SFA dan sedang menjalankan pengawasan bersama-sama hospital untuk memantau potensi kes keracunan cereulide pada kanak-kanak,” tambahnya.
Nestle pada 5 Januari berkata ia mengeluarkan penarikan balik kumpulan susu tepung bayi di beberapa negara Eropah, termasuk Perancis, Jerman, Austria, Denmark, Italy dan Sweden.
Penarikan balik itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga selepas syarikat gergasi makanan Switzerland itu berkata ia mengesan “isu kualiti” dalam bahan yang diperoleh daripada salah satu pembekal utamanya.
Pada 8 Januari, penarikan balik produk itu diperluaskan ke Afrika, Amerika dan Asia.
Sekurang-kurangnya 37 negara telah mengeluarkan amaran kesihatan berkaitan susu formula bayi tersebut, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pencemaran.
Setakat ini, tiada laporan mengenai sesiapa yang jatuh sakit di negara-negara berkenaan.
Nestle berkata ia telah menarik balik beberapa kumpulan produk susu formula jenama SMA, BEBA, NAN dan Alfamino berikutan kemungkinan pencemaran dengan cereulide.
Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST) pada 8 Januari, Nestle Singapura berkata, tiada stok produk yang ditarik balik di Singapura.
Ia menambah, selepas pemeriksaan menyeluruh ke atas semua stok, “hanya dua kumpulan produk yang memerlukan semakan lanjut”.
Ujian makmal tambahan mendapati bahawa kedua-dua kumpulan tersebut serta semua produk lain yang dijual oleh Nestle Singapura adalah selamat untuk dimakan.
Nestle turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang bekerjasama dengan SFA bagi “memberikan gambaran penuh mengenai situasi tersebut”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg