Tiada kesan buruk berkaitan pengambilan minuman berais ‘slushie’ mengandungi gliserol dilaporkan di sini, kata Agensi Makanan Singapura (SFA).
Namun, agensi itu akan terus memantau keadaan dan perkembangan antarabangsa mengenai penggunaan gliserol dalam minuman tersebut, kata SFA sebagai respons kepada pertanyaan The Straits Times (ST) mengenai keselamatan bahan tambahan itu.
Gliserol biasanya digunakan untuk menghasilkan tekstur separa cair dan berais dalam minuman seperti ‘slushie’.
Kebimbangan itu timbul selepas sekumpulan penyelidik di Britain dan Ireland memberi amaran bahawa kanak-kanak bawah lapan tahun tidak sepatutnya meminum ‘slushie’ kerana ia berpotensi meningkatkan risiko kesihatan, selepas beberapa kes melibatkan rawatan di hospital di dua negara itu.
Penyelidik itu mendapati beberapa minuman ‘slushie’ mengandungi gliserol, yang boleh menyebabkan keracunan gliserol pada kanak-kanak jika diambil dalam jumlah banyak.
Gejala keadaan itu termasuk pening, loya, serta penurunan gula dalam darah ke paras berbahaya, yang boleh menyebabkan seseorang itu mengantuk atau pitam.
Penyelidikan perubatan yang diterbitkan dalam jurnal Archives of Disease in Childhood (Arkib Penyakit ketika Kanak-Kanak) pada 11 Mac itu menonjolkan bahawa kanak-kanak lebih terdedah kepada kesan-kesan itu disebabkan berat badan mereka yang lebih ringan.
Gliserol, atau gliserin, adalah cecair tanpa warna, tanpa bau, dengan rasa sedikit manis, yang sering digunakan dalam produk makanan dan farmaseutikal.
Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), gliserol berfungsi sebagai bahan tambahan yang membantu mengekalkan kelembapan dan sering ditemui dalam makanan proses, serta produk penjagaan peribadi seperti ubat gigi dan losen.
Menurut peraturan keselamatan makanan Singapura, gliserol adalah bahan tambahan makanan yang dibenarkan untuk digunakan pada kadar yang mematuhi Amalan Pengilangan Baik (GMP), kata SFA.
GMP memastikan bahan tambahan makanan, termasuk gliserol, digunakan pada tahap serendah mungkin yang diperlukan untuk mencapai kesan yang diingini, sambil mengekalkan keselamatan makanan.
Menurut peraturan Kesatuan Eropah (EU) mengenai bahan tambahan makanan, tahap maksimum gliserol yang dibenarkan dalam minuman beku tertentu ialah 100 gram setiap kilogram.
Walaupun had khusus penggunaan gliserol dalam minuman ‘slushie’ di Singapura tidak tersedia bagi penelitian orang ramai, pengeluar wajib mematuhi prinsip GMP, yang menekankan penggunaan bahan tambahan secara minimum bagi mengelakkan risiko kesihatan, kata SFA.
Agensi tersebut berkata mereka telah berbincang dengan hospital tempatan dan pemain industri mengenai penggunaan gliserol dalam minuman ‘slushie’ yang dijual di Singapura.
Setakat ini tiada kesan buruk berkaitan pengambilan minuman ‘slushie’ mengandungi gliserol dilaporkan di sini.
Namun, SFA menasihatkan ibu bapa supaya berhati-hati dengan mengingatkan anak mereka agar bersederhana dalam mengambil minuman itu.
Ibu bapa juga harus mendapatkan rawatan perubatan segera jika anak mereka mengalami sakit kepala, kehilangan kesedaran secara mendadak, atau gejala akut lain selepas meminum minuman tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg