Topik diikuti
Pergi ke BHkuSG Enable tubuh panel baru semak mutu latihan buat golongan kurang upaya
Syed Harun: Jawatankuasa baharu itu antaranya bertujuan bantu pastikan latihan diberi seiring keperluan pelajar, majikan
SG Enable tubuh panel baru semak mutu latihan buat golongan kurang upaya
Sebuah jawatankuasa baharu akan menyemak program latihan merentasi penyedia perkhidmatan bagi orang kurang upaya untuk memastikan program berkenaan memenuhi piawaian konsisten, selain melengkapi mereka dengan kemahiran kehidupan harian dan kerjaya.
Ditubuhkan oleh agensi kebangsaan bagi memperkasa golongan kurang upaya, SG Enable, jawatankuasa 15 orang anggota itu merangkumi pakar daripada agensi perkhidmatan sosial, penjaga dan majikan.
Jawatankuasa berkenaan bertujuan memperkasa pendidikan serta latihan buat golongan kurang upaya berumur 18 tahun dan ke atas, yang sering berdepan fasa ketidaktentuan selepas tamat pengajian.
Penubuhan Jawatankuasa Penasihat bagi Pendidikan dan Latihan Berterusan bagi Orang Kurang Upaya itu diumumkan di Festival Pembelajaran Sepanjang Hayat Inklusif 2026 yang berlangsung di Enabling Village di Redhill pada 12 Oktober.
Acara satu hari itu meneroka pelbagai langkah untuk memperkukuh sokongan pekerjaan bagi golongan kurang upaya.
Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, berkata jawatankuasa baharu itu akan membantu memastikan latihan yang diberikan seiring dengan keperluan pelajar dan majikan.
Pengarah Enabling Academy di pusat pembelajaran orang kurang upaya SG Enable, Cik Nirmala Palaysamy, pula berkata jawatankuasa itu akan memastikan kriteria minimum untuk latihan inklusif dipenuhi.
Cik Nirmala memimpin jawatankuasa berkenaan bersama Ketua Kumpulan Program Keperluan Khas Khidmat Masyarakat Touch, Cik Ang Chiew Geok.
Penyedia latihan yang membimbing golongan kurang upaya dalam kemahiran hidup berdikari dan kerjaya buat masa ini menggunakan program serta kaedah penilaian berbeza-beza, jelas Cik Nirmala.
Kemahiran sedemikian merangkumi aktiviti asas seperti memasak, menggunakan pengangkutan awam, menguasai kemahiran digital serta berinteraksi dengan rakan sejawat.
Jawatankuasa itu akan memastikan semua kursus diselaraskan dengan Rangka Kerja Memperkasa Kemahiran dan Kecekapan oleh SG Enable.
Garis panduan tersebut menetapkan kemahiran yang diperlukan golongan kurang upaya untuk hidup berdikari dan bekerja.
Pengumuman itu dibuat kira-kira seminggu selepas Pasukan Petugas Jaminan bagi Keluarga dengan Ahli Kurang Upaya mengeluarkan laporan pada 4 Oktober.
Laporan berkenaan menggariskan beberapa cadangan, termasuk meningkatkan sokongan pekerjaan serta latihan bagi kakitangan barisan hadapan poliklinik mengendalikan individu dengan ketidakupayaan intelektual dan autisme.
Pada 12 Oktober, Dr Syed Harun, yang juga anggota pasukan petugas tersebut, mengumumkan bahawa dua sekolah pendidikan khas (Sped) bagi pelajar autisme yang menawarkan kurikulum kebangsaan kini sedang membangunkan program untuk membantu pelajar menimba pengalaman kerja.
Dua sekolah tersebut ialah Sekolah Misi St. Andrew dan Sekolah Pathlight.
Memandangkan semakin ramai lepasan sekolah Sped melanjutkan pelajaran ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan politeknik, satu program sokongan peralihan akan diperkenalkan.
Ini meskipun sekolah dan institusi pengajian tinggi sudah mempunyai perancangan peralihan sedia ada, namun tahap sokongan yang diberikan berbeza-beza, kata Dr Syed Harun.
Melalui program sokongan baharu itu, kakitangan ITE dan politeknik antaranya akan membawa pelajar kurang upaya melawat sekitar kampus sebelum hari pertama persekolahan bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan pegawai sokongan pelajar serta persekitaran bilik darjah, tambahnya.
Bagi menyediakan sokongan lebih berstruktur, program Latihan dan Penempatan Pekerja Sektoral oleh SG Enable – yang dirintis pada 2025 untuk melatih golongan kurang upaya bagi pekerjaan dalam sektor layanan tamu – akan diperluas ke lima lagi sektor.
Sektor berkenaan merangkumi bidang makanan dan minuman (F&B) serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Festival Pembelajaran Sepanjang Hayat Inklusif 2026 dianjurkan bersama oleh Enabling Academy, Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA) serta Pembelajaran Sepanjang Hayat Singapura.