Mutu terjemahan laman web rasmi pemerintah bakal dipertingkat melalui fungsi terjemahan nasional baru, SG Translate 2.0, yang baru dilancarkan pada 26 September.

Mengumumkan perkara tersebut semasa sidang Jawatankuasa Terjemahan Kebangsaan (NTC) 2026 pada 26 September, Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How, berkata fungsi tersebut telah disesuaikan untuk Singapura dan boleh mengenal pasti istilah dan konteks setempat.

Semasa berucap dalam upacara pembukaan sidang itu di Hotel Grand Hyatt di Scotts Road, beliau berkata:

“Terjemahan yang baik bukan sekadar pemilihan perkataan yang tepat.

“Ia juga adalah berkenaan bagaimana makna serta konteks itu disampaikan dengan betul. Itulah falsafah di sebalik SG Translate 2.0.

“Ia fungsi yang sangat berguna, dan kami (pemerintah) ingin meluaskan penggunaannya kepada semua laman web umum supaya semua rakyat Singapura dapat mengakses maklumat pemerintah serta maklumat penting dalam bahasa yang paling selesa.”

Encik Tan berkata buat masa ini, pemerintah mengendalikan sekurang-kurangnya 230,000 laman web awam, namun tidak semua laman web tersebut dapat diterjemahkan dalam kesemua empat bahasa rasmi di sini iaitu bahasa Inggeris, Melayu, Mandarin dan Tamil.

Justeru, fungsi SG Translate 2.0 ini kini diguna pakai di laman web Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dan laman web Negara Bijak, dengan fungsi ini bakal diperkenalkan kepada lebih banyak laman web pemerintah, tambah beliau.

Beliau berkata dalam era di mana kecerdasan buatan (AI) membuat proses terjemahan lebih pantas dan mudah diakses, Singapura ingin menggunakan teknologi itu untuk memperkukuh masyarakat yang berbilang bahasa.

Namun, lebih daripada sekadar kepantasan dan akses kepada terjemahan yang dipacu teknologi dan AI, penilaian terjemahan kian menjadi aspek utama – merangkumi ketepatan dan makna keseluruhan sesebuah terjemahan, ujar Encik Tan.

Oleh demikian, beliau berkata keterlibatan manusia sebagai penilai terjemahan memainkan peranan penting, meskipun terjemahan itu diterjemah oleh AI.

“Adakah terjemahan itu tepat? Adakah ia menyampaikan maksud yang sebenar? Adakah nadanya sesuai? Adakah ia memahami konteks budaya?

“Dalam bidang penjagaan kesihatan, perundangan, kewangan, komunikasi awam serta bidang-bidang penting lain – apakah yang akan berlaku jika ia (teknologi dan AI) melakukan kesilapan?

“Ini adalah aspek yang memerlukan pertimbangan dan penilaian (seorang manusia),” kata beliau.

Oleh demikian, Encik Tan berkata peluang bagi penterjemah atau mereka yang terlibat dalam industri penterjemahan bukanlah untuk bersaing dengan AI, tetapi melihat pada bidang kuasa yang masih memerlukan campur tangan manusia – seperti memahami konteks, menghayati nuansa dan membuat pertimbangan wajar.

Sehubungan itu, beliau berkata NTC telah menubuhkan Kumpulan Kerja Industri Penterjemahan (TIWG) bagi meneroka bagaimana ekosistem penterjemahan Singapura harus berubah.

TIWG akan menjalankan tinjauan dalam talian dan rundingan bersama industri serta masyarakat umum untuk mengetahui model penterjemahan yang sesuai bagi Singapura, tambah beliau.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti