SGSecure pergiat usaha bendung radikalisasi, tingkat kewaspadaan rakyat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SGSecure pergiat usaha bendung radikalisasi, tingkat kewaspadaan rakyat

MHA seru warga S’pura agar teroka cara perkukuh langkah cegah, kesan, dan tindak balas terhadap ancaman pengganasan
Mar 5, 2026 | 4:25 PM

SGSecure pergiat usaha bendung radikalisasi, tingkat kewaspadaan rakyat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
SGSecure, radikalisasi, anti-pengganasan
Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong (tengah), meninjau pelancaran kempen baharu SGSecure di pusat beli-belah di Bishan, Junction 8, pada 5 Mac. - Foto ST

Buat kali pertama dalam mesej antipengganasan, pihak berkuasa menampilkan seorang wanita sebagai pengganas untuk menekankan sesiapa sahaja boleh terdedah kepada ancaman radikalisasi.

Semasa melancarkan kempen SGSecure baru pada 5 Mac, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyeru warga Singapura agar meneroka cara memperkukuh langkah pencegahan, pengesanan, dan respons mereka terhadap ancaman pengganasan.

Kempen ‘Play Your Role’ (Mainkan Peranan Anda) di bawah SGSecure dilancarkan di pusat beli-belah di Bishan, Junction 8, bagi menggalakkan warga Singapura agar bersikap proaktif sebelum, semasa dan selepas serangan pengganas berlaku.

Kempen itu merupakan siri pertama bagi ‘SGSecure Roadshow’ baharu, yang akan diadakan di serata negara pada 2026.

MHA berkata ancaman pengganasan terhadap Singapura kekal tinggi, terutama didorong oleh radikalisasi sendiri secara dalam talian.

Radikalisasi dalam kalangan belia juga menjadi satu kebimbangan bagi negara.

Kempen ini juga turut memaparkan sebuah filem pendek yang bertajuk Closer Than We Think (Lebih Dekat Dari Yang Disangka).

Filem itu bermula dengan seorang wanita meledakkan bom di sebuah estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan kemudian menyingkap kembali peristiwa yang membawa kepada kejadian itu – termasuk peluang yang tidak dimanfaatkan anggota keluarga dan orang di sekeliling untuk campur tangan.

Proses radikalisasi yang dilalui wanita itu secara dalam talian turut didedahkan, seiring tanda amaran tidak disedari.

Merujuk kepada pengganas wanita dalam filem tersebut, pengarah pejabat program SGSecure, Encik Matthias Chew, berkata kepada The Straits Times (ST):

“Kami memilih profil yang tidak dijangka kerana kami ingin sampaikan mesej bahawa sesiapa sahaja boleh terdedah kepada radikalisasi, justeru semua orang perlu berwaspada.”

MHA berkata mesej utama filem itu adalah, sesiapa sahaja – tanpa mengira umur, jantina, agama atau bidang kerjaya – boleh terdedah kepada radikalisasi.

MHA menambah laporan awal kepada pihak berkuasa mengenai tingkah laku yang disyaki radikal membolehkan individu tersebut menerima bantuan tepat pada masanya.

Majlis itu dihadiri Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong; serta Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Cik Sim Ann.

Encik Tong berkata: “Eksperimen sosial SGSecure yang dijalankan pada 2025 menunjukkan ramai tidak berwaspada, mungkin kerana ramai warga Singapura tidak berasa serangan pengganas boleh berlaku di Singapura.

“Melalui kempen baharu, ‘Play Your Role’, kami berharap dapat mengalihkan tumpuan daripada kesedaran semata-mata, kepada galakan supaya warga Singapura mengambil tindakan dan memastikan Singapura selamat daripada pengganasan.

“Serangan pengganas di Singapura bukan sesuatu yang mustahil. Dengan siri baru, SGSecure Roadshow, kami berharap dapat menekankan pengganasan mungkin lebih dekat daripada yang disangka, dan ia sebenarnya bukan soal ‘jika’, tetapi ‘bila’ (ia akan berlaku).”

Gerakan SGSecure telah melibatkan anggota masyarakat sejak 2016 – untuk memupuk kesedaran, melatih, dan mengerah warga Singapura supaya memainkan peranan dalam mencegah dan menangani serangan pengganas.

Kempen baru itu menekankan enam peranan yang boleh dimainkan warga Singapura dalam pelbagai keadaan bagi memastikan keselamatan negara.

Ia termasuk menjadi penjaga yang tenang dan pantas memimpin orang lain keluar daripada bahaya; pemeriksa fakta yang menangkis berita palsu bagi menghentikan penyebarannya; serta penyelamat yang dilatih dengan kemahiran kecemasan bagi bertindak sewajarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg