Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shanmugam: Bimbingan pemimpin masyarakat, agama penting dalam tangani masalah dadah

May 16, 2024 | 6:22 PM
 Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang, Encik K Shanmugam berkongsi pandangannya tentang isu dadah dan cara Singapura menanganinya dalam rakaman vodcast terkini tBH atau Temu Bual Berita Harian di Studio +65 di SPH Media.
 Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang, Encik K Shanmugam berkongsi pandangannya tentang isu dadah dan cara Singapura menanganinya dalam rakaman vodcast terkini tBH atau Temu Bual Berita Harian di Studio +65 di SPH Media. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Pemimpin masyarakat dan agama merupakan sumber penting dalam rangkaian sokongan bagi bekas pesalah dadah,

Ini khususnya dalam usaha menghalang mereka daripada terjebak dan mengulangi semula kesalahan mereka, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam.

Oleh itu, dalam menangani isu dadah, pihak berkuasa boleh dan patut mendapat bimbingan daripada ketua masyarakat dan pemimpin agama khususnya dari segi apa yang mereka rasa merupakan cara paling sesuai menghuraikan masalah tersebut.

Encik Shanmugam berkata demikian dalam vodcast terkini tBH atau Temu Bual Berita Harian ketika membincangkan isu dadah di Singapura.

Sejak sekian lama di Singapura, masyarakat minoriti merupakan majoriti penyalah guna dadah dan masalah ini masih berterusan sehingga hari ini.

“Bukan sahaja masyarakat Melayu/Islam. Saya akan katakan secara keseluruhan, golongan minoriti diwakili secara berlebihan. Itu adalah fakta.

“Dari satu sudut, ini sangat membimbangkan dan ini adalah sesuatu yang saya khuatiri sejak sekian lama.

“Saya mahu berikan tumpuan yang sangat mendalam terhadap hal ini dan saya telah meminta MOS Faishal (Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara) untuk menggalas tanggungjawab ini,” kata Encik Shanmugam.

Beliau berkata dalam menangani masalah dadah dalam masyarakat, tentunya pemerintah perlu campur tangan, tetapi lebih daripada itu, masyarakat, sekolah dan ibu bapa juga perlu ikut terlibat.

“Saya boleh katakan bahawa usaha-usaha ini telah membuahkan hasil, dan hasilnya baik,” kata Encik Shanmugam.

Menurutnya, jumlah penyalah guna dadah Melayu baru telah “turun dengan ketara”.

Pada 2011, bilangan penyalah guna dadah Melayu baru ialah sekitar 600 tetapi pada 2022, bilangannya sekitar 300.

“Jadi, usaha kami berkesan. Tetapi tidak wajar untuk mengatakan, ‘Oh, kami telah berjaya’ kerana anda tidak akan pernah berjaya sepenuhnya dalam hal ini,” ujarnya.

Encik Shanmugam turut memuji usaha Dr Faishal yang giat berjumpa dan berdialog dengan pemimpin masyarakat Melayu serta pertubuhan Melayu/Islam.

Bahkan beliau sendiri telah melakukan hal tersebut, kata Encik Shanmugam:

“Saya beritahu mereka, ini adalah masalah kita semua.

“Pemerintah akan campur tangan dan bekerjasama dengan anda, tetapi anda mesti terlibat.

“Anda mesti cuba melibatkan ibu bapa dan orang ramai termasuk AMP, Jamiyah (Persekutuan Seruan Islam Singapura), Pertapis (Persatuan Taman Pengajian Islam Singapura), Mendaki, Muis (Majlis Ugama Islam Singapura), madrasah – semuanya kami libatkan agar ia meningkatkan titik sentuh kami.”

Kempen Dadah Itu Haram juga telah menerima sambutan baik daripada masyarakat Melayu/Islam, kata Encik Shanmugam.

Beliau menambah bahawa masjid dan asatizah giat menyampaikan mesej antidadah kepada anggota jemaah termasuk dalam Ramadan melalui program, ‘Date Your Loved Ones Today’.

Ditanya sama ada dalam melangkah ke hadapan, pihak berkuasa akan mengambil pendekatan lebih tertumpu dari segi menggunakan budaya dan kaum dalam menangani isu dadah, apatah lagi kerana ia telah menunjukkan keberkesanan, Encik Shanmugam menjawab:

“Saya akan katakan bahawa setiap usaha membantu, dan dalam hal ini, kami harus dipandu oleh pemimpin masyarakat dan agama dan apa yang mereka rasakan akan menjadi cara yang lebih baik untuk menyampaikan mesej tersebut.

“Kami merupakan pegawai awam, kami memiliki satu cara untuk menangani ini. Itulah sebabnya kami bekerjasama dengan pemimpin masyarakat.

“Pemimpin masyarakat perlu memberitahu kami – khusus bagi masyarakat Melayu/Islam, menyampaikan mesej ini dengan cara ini atau menangani aspek-aspek isu budaya ini mungkin penting – jadi kami harus dipandu oleh mereka.”

“Saya akan katakan bahawa setiap usaha membantu, dan dalam hal ini, kami harus dipandu oleh pemimpin masyarakat dan agama dan apa yang mereka rasakan akan menjadi cara yang lebih baik untuk menyampaikan mesej tersebut.” 
Encik K Shanmugam, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang. 
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg