Topik diikuti
Pergi ke BHkuShanmugam dakwa soalan Fadli cuba papar sikap lembut pemerintah terhadap Israel
AP WP nafi soalan didorong faktor kaum, agama
Shanmugam dakwa soalan Fadli cuba papar sikap lembut pemerintah terhadap Israel
Hubungan luar Singapura tidak seharusnya dilihat melalui lensa kaum dan agama, kata Menteri Kanan, Encik K. Shanmugam, yang mendakwa Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Fadli Fawzi, menyampaikan dua mesej berlainan berhubung pertemuan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dengan sebuah delegasi Israel baru-baru ini.
Di Parlimen pada 4 November, Encik Shanmugam berkata Encik Fadli sedang menyampaikan dua mesej berlainan kepada dua khalayak yang berbeza secara serentak – mesej pertama ditujukan kepada masyarakat umum, bertujuan menampilkan WP sebagai parti yang memberi tumpuan kepada kepentingan nasional.
Mesej kedua pula, kata Encik Shanmugam, ditujukan khusus kepada masyarakat Melayu/Islam antaranya, untuk memberi gambaran bahawa pemerintah “tidak berprinsip dan bersikap lembut terhadap Israel”.
“Itulah tujuan sebenar soalan (beliau) dan selanjutnya, penjelasan susulan yang dibuatnya... membuatkan orang ramai melihat hubungan antarabangsa kita melalui lensa kaum dan agama.
“Perkara itu jelas salah sama sekali,” kata Encik Shanmugam, memberi respons kepada Encik Fadli.
Encik Shanmugam dan Encik Fadli bertikam lidah di Parlimen pada 4 November selepas AP pembangkang itu memohon untuk membuat penjelasan peribadi berhubung soalan Parlimen yang difailkannya pada Oktober lalu.
Ia berhubung pertemuan MHA dengan delegasi Israel dan sama ada isu petempatan haram dan keganasan penduduk petempatan di Tebing Barat dibincangkan.
Menyusuli sidang itu, Encik Shanmugam memberikan responsnya secara bertulis, dan mengajukan soalan susulan kepada Encik Fadli.
Menolak dakwaan Encik Shanmugam pada 4 November bahawa beliau mengajukan soalan kerana didorong faktor kaum dan agama, Encik Fadli, seorang peguam, berkata beliau berpegang pada prinsip untuk membangkitkan keprihatinan hanya apabila ia relevan, dan dalam kes ini, petempatan haram tersebut sememangnya relevan.
“Ini pada dasarnya merupakan isu mengenai bagaimana Singapura boleh menunaikan komitmennya terhadap undang-undang antarabangsa secara konsisten, tidak berat sebelah dan objektif,” tambahnya.
Encik Fadli menjelaskan bahawa kegiatan penduduk petempatan dan peluasan wilayah secara haram di Tebing Barat, terutama keganasan penduduk petempatan, merupakan pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa dan ancaman kepada keselamatan antarabangsa.
Kerjasama operasi dan teknikal Singapura dalam bidang penguatkuasaan undang-undang serta keselamatan mesti dijalankan dalam konteks kepentingan nasional secara menyeluruh dan prinsip asasi negara, termasuk komitmennya terhadap undang-undang antarabangsa, tambah beliau.
“Mengambil kira konteks ini, saya percaya adalah relevan untuk mengulangi dengan jelas dalam pertemuan ini mengenai pendirian berprinsip Singapura bahawa petempatan Israel di Tebing Barat adalah menyalahi undang-undang antarabangsa, serta kebimbangan mendalam kita terhadap keganasan penduduk petempatan ke atas orang awam Palestin di Tebing Barat,” kata Encik Fadli.
Encik Fadli menambah Singapura harus menangani isu-isu yang relevan dengan keprihatinan, komitmen serta kepentingannya, dan prinsip ini wajar diterapkan secara konsisten kepada semua negara yang berurusan dengan MHA.
“Saya juga percaya bahawa apabila berurusan dengan rakan sejawat asing, Singapura wajar mengekalkan pendekatan seluruh pemerintah dalam menjunjung komitmen kita terhadap undang-undang antarabangsa dan perintah antarabangsa berasaskan peraturan,” kata beliau.
Membalas, Encik Shanmugam berkata cadangan – bahawa setiap kementerian mesti membangkitkan “segala kemungkinan isu undang-undang antarabangsa” apabila bertemu dengan Israel atau mana-mana negara lain, serta segala kemungkinan isu dua hala – “pasti sesuatu yang baharu”.
Tambah beliau, Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Kabinet secara keseluruhannya yang menentukan pendirian menyeluruh pemerintah terhadap mana-mana negara tertentu, serta tahap pertemuan, termasuk sama ada pertemuan wajar diadakan sama sekali.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana Encik Fadli tahu isu keganasan penduduk petempatan itu relevan dengan pertemuan berkenaan, sedangkan AP itu tidak mengetahui kandungan perbincangan tersebut.
Encik Shanmugam menambah bahawa prinsip undang-undang antarabangsa yang dilihat melalui lensa kepentingan nasional Singapura adalah amat penting, lebih-lebih lagi sebagai sebuah negara kecil.
Ini tidak semestinya bermaksud ia perlu diulang dalam setiap pertemuan, ujar Encik Shanmugam.
“Perkara-perkara ini diuruskan secara munasabah dan menggunakan kemahiran.
“Sekiranya anggota itu berpendapat bahawa isu penduduk petempatan Tebing Barat perlu dibangkitkan dalam setiap pertemuan dengan Israel – failkan usul penangguhan dan kita boleh membahaskannya,” kata Encik Shanmugam.