Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 pelajar di bawah Inisiatif Biasiswa Palestin mula pengajian di S’pura

Oct 8, 2025 | 6:33 PM
Inisiatif Biasiswa Palestin, PSI
Inisiatif Biasiswa Palestin (PSI), satu daya utama yang dimulakan oleh warga Singapura pada 26 Oktober 2024, telah berjaya mencapai sasaran awal sebanyak $400,000 dan telah mengumpul lebih $510,000 secara keseluruhan. - Foto fail

Tiga pelajar Palestin yang merupakan penerima biasiswa Inisiatif Biasiswa Palestin (PSI) telah tiba di Singapura untuk memulakan pengajian sepenuh masa di universiti tempatan, umum PSI dalam satu kenyataan pada 8 Oktober.

Ketiga-tiga mereka merupakan seorang wanita dan dua lelaki, yang berasal dari Gaza, Palestin dalam lingkungan usia antara 19 dengan 29 tahun.

Dua daripada mereka, masing-masing sedang mengikuti pengajian ijazah Sarjana di Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), manakala seorang lagi mengikuti program ijazah Sarjana Muda di Institut Pengurusan Singapura (SIM), kongsi PSI.

PSI adalah satu inisiatif yang dimulakan oleh warga Singapura pada 26 Oktober 2024 yang bertujuan menyediakan biasiswa kepada pelajar warga Palestin yang pengajiannya terjejas akibat konflik yang berterusan.

Dana itu akan menyokong mereka membayar yuran tuisyen, penginapan dan perbelanjaan sara hidup, menyediakan peluang untuk mengubah kehidupan mereka.

Jawatankuasa Pentadbiran Biasiswa dipengerusikan bersama oleh mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) dan usahawan sosial, Cik Anthea Ong; dan mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.

Menurut PSI, inisiatif itu telah mencapai sasaran awalnya sebanyak $400,000 dan telah mengumpul lebih $510,000 secara keseluruhan.

“Ini termasuk lebih $370,000 melalui kempen pengumpulan dana, Ray of Hope, dan tambahan $140,000 daripada penderma persendirian,” ujar mereka dalam kenyataan itu.

Menjawab pertanyaan ketika dihubungi Berita Harian (BH), PSI berkata mereka tidak dapat mendedahkan nama atau butiran peribadi penerima biasiswa sedemikian bagi melindungi identiti mereka.

Menzahirkan kegembiraan atas ketibaan selamat ketiga-tiga pelajar tersebut, Cik Ong berkata:

“Keutamaan kami sekarang adalah memastikan mereka rasa selamat dan seperti di rumah sendiri di Singapura dengan menyokong mereka sepenuhnya agar mereka dapat menamatkan pengajian mereka dengan cemerlang.

“(Ini) supaya mereka dapat menyumbang secara bermakna kepada pembinaan semula tanah air mereka apabila kembali,” ujar beliau.

Mengambil kira keadaan pelajar Palestin tersebut yang meninggalkan keluarga mereka untuk meneruskan pengajian di sini, PSI turut menawarkan sokongan emosi, sosial dan budaya menerusi Program Sokongan Pelajar.

Usaha tersebut melibatkan mereka dipasangkan dengan dua rakan pendamping, iaitu seorang daripada masyarakat umum dan seorang lagi daripada universiti tuan rumah mereka.

Sementara itu, PSI turut menyatakan bahawa seorang penerima biasiswa keempat tidak dapat berangkat dari Gaza untuk memulakan pengajiannya pada tahun akademik 2025.

Penerima tersebut adalah seorang wanita yang juga berasal dari Gaza, Palestin, dan akan mengikuti pengajian ijazah Sarjana di NUS.

“NUS dengan baik hati telah bersetuju untuk mengekalkan tempat bagi pelajar tersebut pada tahun akademik akan datang,” ujar PSI.

Menjawab pertanyaan BH mengenai penggunaan dana yang telah dikumpulkan, PSI berkata sebahagian dana masih disimpan untuk menyokong pelajar keempat yang mereka harap dapat menyertai programnya pada 2026.

“Dengan dana yang telah dikumpulkan, ia kini mampu menyokong empat pelajar, termasuk pelajar keempat yang masih berada di Gaza.

“Kami berharap beliau dapat menyertai kami tahun depan dan pengajiannya di sini akan dibiayai dengan dana sedia ada,” kata PSI.

Konflik di Gaza yang berlarutan sejak tercetus pada 7 Oktober 2023, telah meragut lebih 67,000 nyawa rakyat Palestin, dengan sepertiga daripada mereka merupakan kanak-kanak.

Sementara itu, sekitar 90 peratus rumah di Gaza dianggarkan telah musnah atau rosak, dengan sekolah, hospital dan rumah ibadah diserang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg