Jika lebih banyak negara gagal menegakkan tadbir urus, lebih ramai orang akan hilang kepercayaan terhadap institusi, badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang sedia ada.
Demikian menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, pada 14 Januari.
Beliau menambah bahawa sehingga pemerintah memperbaiki tadbir urus mereka, kedaulatan undang-undang akan terus terhakis.
Kenyataan itu dibuat ketika menjawab soalan yang diajukan semasa perbincangan dalam persidangan yang diadakan sempena ulang tahun ke-10 Mahkamah Komersial Antarabangsa Singapura (SICC), dipengerusikan Peguam Kanan, Encik Cavinder Bull, lapor The Straits Times (ST).
Hakim antarabangsa SICC, Encik Jonathan Hugh Mance, berkata dunia kini seolah-olah terbahagi kepada negara yang mempunyai pandangan ‘tradisional’ terhadap kedaulatan undang-undang, seperti yang dipegang Singapura, dan negara dengan pandangan yang sama sekali berbeza.
Hakim asal Britain itu bertanya apa yang boleh dilakukan untuk menyokong mereka yang percaya kepada kedaulatan undang-undang.
Menjangkau kedaulatan undang-undang, terdapat satu masalah lebih besar hari ini iaitu tadbir urus, kata Encik Shanmugam.
Malah negara yang secara tradisional dilihat mempunyai piawai kedaulatan undang-undang yang baik juga gagal menegakkan tadbir urus, ujar beliau.
Beliau memberi contoh Britain, yang digambarkan sebagai “penanda aras bagi kedaulatan undang-undang,” di mana seorang menteri telah mengatakan secara terbuka bahawa negara itu mungkin akan melanggar undang-undang antarabangsa.
Menteri itu merujuk kepada pengenalan Rang Undang-Undang baru yang akan mengatasi beberapa bahagian dalam perjanjian Brexit dengan Kesatuan Eropah (EU).
Encik Shanmugam menambah bahawa Amerika Syarikat juga dianggap sebagai contoh bagi kedaulatan undang-undang.
Namun, “anda tidak mendengar lagi ungkapan yang sama mengenai kedaulatan undang-undang dalam politik Amerika hari ini,” tambahnya.
“Jadi, saya rasa masalah yang lebih besar adalah keabsahan pemerintah,” tambah beliau.
Encik Shanmugam berkata tahap keyakinan rakyat Amerika terhadap pemerintah yang dipilih dan Kongres berada pada “angka satu digit”, manakala kedudukan Mahkamah Agung Amerika berada pada “belasan rendah”.
Beliau turut menekankan bahawa pelaksanaan dasar pemerintah sering mendapat tentangan daripada kumpulan yang terjejas, walaupun ia memberi manfaat kepada sebahagian besar rakyat.
“Selagi demokrasi tidak perbaiki tadbir urus dan menyediakan tadbir urus yang lebih baik, saya rasa kedaulatan undang-undang akan terus terhakis,” katanya.
Seorang lagi hakim antarabangsa SICC, Hakim Mary Howarth Arden, mengemukakan persoalan tentang sama ada media sosial – terutama hantaran jutawan Encik Elon Musk yang mengkritik kerajaan Britain – mengancam institusi demokrasi.
Encik Shanmugam menjawab “ya”, tetapi menekankan bahawa media tradisional di Britain juga sering menyerang badan kehakiman dengan tajuk utama yang melabel para hakim “bodoh”.
“Media sosial hanya mempercepatkan proses itu. Semua orang adalah pakar. Semua orang mempunyai teori konspirasi,” tambahnya.
Beliau menegaskan bahawa kepercayaan dan pemahaman bersama terhadap kebenaran dan fakta asas adalah kunci kejayaan masyarakat.
Namun, menurut Encik Shanmugam, sukar mencapai kata sepakat pada hari ini dan perkara itu “menyedihkan dan berbahaya”.
Beliau menambah bahawa syarikat teknologi besar meraih keuntungan daripada penyebaran maklumat tidak sahih kerana perkara yang mencetuskan kemarahan biasanya menarik perhatian lebih ramai orang.
Menurutnya, Amerika mempunyai potensi memimpin perubahan bermakna dalam tadbir urus.
“Negara yang sebenarnya mampu membuat perubahan dalam isu ini bukanlah United Kingdom, tetapi Amerika, dan kita perlu berharap (mereka mempamerkan) kebijaksanaan, serta pentadbiran baru yang terus (menonjolkan) kebijaksanaan dalam hal ini,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg