Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vivian: Undang-undang antarabangsa kian penting dalam geopolitik kini

Ini penting terutama bagi negara kecil seperti S’pura yang kemuka calon untuk pemilihan sebagai hakim ICJ
Jan 9, 2025 | 2:13 PM
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dan Duta Besar Rena Lee (kiri) menghadiri majlis untuk kor diplomatik di Singapura pada 8 Januari 2025. Majlis itu diadakan untuk menyampaikan pencalonan Cik Lee ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa ( ICJ).
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dan Duta Besar Rena Lee (kiri) menghadiri majlis untuk kor diplomatik di Singapura pada 8 Januari 2025. Majlis itu diadakan untuk menyampaikan pencalonan Cik Lee ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa ( ICJ). - Foto ST

Sokongan terhadap undang-undang antarabangsa dan satu sistem berasaskan peraturan yang kukuh adalah penting dan memberi kesan kepada kedaulatan dan keselamatan semua negara, terutama negara kecil yang terdedah seperti Singapura, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, pada 8 Januari.

Namun apabila perpecahan dan perbalahan geopolitik berterusan, terdapat juga kebimbangan besar kerana sistem pelbagai hala ini akan mengalami tekanan, kata Dr Balakrishnan.

“Kami percaya bahawa dalam keadaan sekarang, undang-undang antarabangsa menjadi lebih penting untuk mencegah keruntuhan aturan antarabangsa kerana jika ia runtuh, kita akan berada dalam situasi dengan yang berkuasa boleh berbuat sewenang-wenangnya, dan dunia seperti itu berbahaya untuk kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan pencalonan pakar undang-undang antarabangsa veteran, Cik Rena Lee, untuk menjadi hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague.

Bercakap kepada lebih 100 duta dan wakil diplomatik pada satu majlis pada 8 Januari di Singapura untuk memperkenalkan pencalonan Cik Lee bagi bangku ICJ untuk penggal 2027-2036, Dr Balakrishnan telah memuji pencapaian Cik Lee, lapor The Straits Times.

Ini termasuk pelantikan Cik Lee sebagai Duta Singapura bagi Undang-undang Antarabangsa pada 2023, dan peranannya sebagai Duta bagi Lautan dan Undang-undang Isu Laut, serta utusan khas Menteri Ehwal Luar.

Pencalonan ini penting, kata Dr Balakrishnan, kerana ia adalah kali pertama Singapura mengemukakan calon untuk pemilihan sebagai hakim ICJ sejak ia menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1965.

ICJ ialah organ kehakiman utama PBB dan pengaruh penting dalam usaha menyelesaikan pertikaian antara negara secara aman.

The Hague, tempat letaknya ICJ, adalah pusat pemerintahan Belanda dan bandar utama di Belanda.

ICJ terdiri daripada 15 hakim, semuanya daripada negara berbeza, yang dipilih untuk tempoh sembilan tahun oleh Perhimpunan Agung dan Majlis Keselamatan PBB.

“Singapura mengemukakan sangat sedikit calon kepada badan dan jawatan PBB, dan kami hanya berbuat demikian jika kami rasa kami boleh membuat sumbangan yang membina kepada platform-platform pelbagai hala yang penting ini,” kata Dr Balakrishnan.

Cik Lee mempunyai lebih tiga dekad pengalaman dalam undang-undang antarabangsa dan diplomasi.

Kerjaya beliau termasuk berkhidmat di Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Pertahanan, dan baru-baru ini, di Pejabat Harta Intelek Singapura, dengan beliau menjadi ketua eksekutif.

Salah satu pencapaian Cik Lee yang paling ketara ialah menerajui kejayaan perundingan dan penerimaan, secara konsensus, Perjanjian bagi Perlindungan dan Penggunaan Mampan Kepelbagaian Biologi Marin bagi Kawasan Melebihi Bidang Kuasa Negara (BBNJ) pada 2024.

Perjanjian laut bersejarah yang melibatkan lebih 190 negara ini meletakkan asas untuk kerjasama antarabangsa bagi melindungi kawasan di luar bidang kuasa negara dan untuk melindungi ekosistem dan biodiversiti di perairan antarabangsa.

Cik Lee berkata undang-undang antarabangsa telah lama menjadi minatnya.

Cik Lee berkata jika dipilih ke ICJ, beliau akan berusaha memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan undang-undang antarabangsa dan membawa pengalaman praktikalnya ke meja rundingan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg