Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shanmugam: MND teliti isu pembiak sebabkan haiwan terabai

Dec 10, 2025 | 8:21 PM
 K. Shanmugam, Animal Lovers League, animals, abandoned, MND
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, berkata pembiak yang akhirnya mengabaikan haiwan peliharaan mereka telah menyumbang kepada tekanan yang dihadapi kumpulan kebajikan haiwan seperti Animal Lovers League (ALL). Beliau berkata demikian selepas lawatannya ke kemudahan syarikat tersebut di Sungei Tengah pada 10 Disember. - Foto ST

Kementerian Pembangunan Negara (MND) sedang meneliti isu bekalan haiwan peliharaan oleh pembiak yang telah membawa kepada pengabaian haiwan apabila tiada lagi pihak yang mampu menjaganya, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.

Bercakap kepada media pada 10 Disember selepas melawat kemudahan kumpulan kebajikan haiwan, Animal Lovers League (ALL), di Sungei Tengah, Encik Shanmugam berkata, beliau telah berbincang dengan Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan, mengenai isu tersebut yang kini “sedang ditangani” oleh beliau.

Kenyataan itu menyusuli laporan bahawa ALL kehilangan hak penyewaannya selepas sewa tertunggak selama lebih 50 bulan.

Isu lain yang turut dihadapi ALL termasuk dakwaan haiwan di bawah jagaannya tidak menerima rawatan veterinar segera atau mencukupi, serta siasatan yang sedang dijalankan oleh Pesuruhjaya Pertubuhan Amal (COC) atas syarikat tersebut.

Setakat ini, ALL telah diarahkan memulangkan lapan unit miliknya kepada Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS), sebuah badan di bawah Lembaga Taman Negara (NParks) yang menguruskan kemudahan tersebut.

Menurut Encik Shanmugam, masalah ALL bukan sahaja disebabkan kekangan operasi kumpulan itu sendiri, malah, turut berpunca daripada aliran berterusan haiwan peliharaan yang sering diabaikan oleh pembiak.

“Kumpulan kebajikan haiwan selama ini berusaha menangani masalah di peringkat hiliran, termasuk menjaga haiwan peliharaan yang tidak lagi diingini oleh pemiliknya.

“Namun, jika aliran haiwan ini berterusan dan kemudian diserahkan, badan bukan pemerintah (NGO) akan menghadapi kesukaran menampung dan menjaga kesemuanya,” jelas beliau.

Pengasas ALL, Encik Mohan Div Sreedharan dan Cik Catherine Lee Sai Lang Strong, yang juga tiba di The Animal Lodge dalam van berwarna perak, akur sebahagian besar sumbangan awam digunakan untuk perubatan haiwan, bukan sewa atau operasi lain.

Ini, katanya, telah menyebabkan tunggakan sewa mereka meningkat sehingga mencecah anggaran setengah juta dolar.

“Kami percaya setiap haiwan yang diselamatkan perlu dijaga dan disokong hingga ke penghujungnya,” kata Cik Lee.

Lantas, sebahagian besar dana yang diterima disalurkan kepada rawatan perubatan haiwan, tambahnya.

Menurut Cik Lee, ALL sedang merangka pelan bagi membayar balik lebih 50 bulan sewa yang tertunggak, selain mengecilkan operasi mereka.

Dalam pada itu, mereka turut melahirkan penghargaan kepada kumpulan kebajikan haiwan (AWG) lain yang tampil membantu, termasuk menyediakan makanan bagi haiwan-haiwan di tempat perlindungan itu.

Encik Shanmugam berkata usaha seperti itu telah mencerminkan pengasas ALL dan pasukan mereka sebagai individu yang berusaha dengan niat baik.

“Encik Mohan dan pasukannya mempunyai hati yang baik serta niat yang murni.

“Namun, dari segi usaha lebih menyeluruh, khususnya dalam pengumpulan dana bagi menyokong matlamat mereka, kumpulan itu tidak begitu berjaya.

“Keadaan inilah yang akhirnya membawa mereka kepada keadaan yang dihadapi sekarang,” ujar Encik Shanmugam.

Sebelum ini, Encik Shanmugam turut menulis di Facebook pada 9 Disember bahawa Encik Mohan “seorang yang baik hati, penuh belas kasihan dan rendah hati, serta sentiasa melangkah lebih jauh untuk membantu haiwan”.

Menurutnya, beliau mengenali Encik Mohan selama lebih sedekad.

Namun begitu, Encik Shanmugam berkata AVS adalah sebuah agensi pemerintah dan perlu membuat tindakan berdasarkan peraturan yang berstruktur dan tekal.

“Persoalan boleh timbul, dan pasti akan ditimbulkan, tentang mengapa ia tidak mengutip sewa yang sepatutnya dibayar (oleh ALL) apabila penyewa lain, termasuk AWG yang lain telah membayar sewa.

“Kita mesti berlaku adil. Jadi saya rasa pendekatan yang diambil adalah wajar,” kata Encik Shanmugam.

AVS tambah beliau, mengambil pendekatan yang “amat lembut” dengan ALL selama lebih empat tahun, meskipun pihak awam memberikan maklumat yang membimbangkan.

“Jika AVS tidak bertindak pula, ia boleh dianggap cuai,” katanya.

ALL diasaskan bersama oleh Cik Lee dan Encik Mohan pada 2002, setelah kedua-duanya giat menyelamatkan haiwan secara bersendirian sebelum mereka bergabung.

Syarikat tersebut beroperasi sebagai tempat perlindungan ‘no-kill’ atau tidak membunuh, yang bertujuan mendidik masyarakat supaya memilih mengambil angkat haiwan peliharaan dan bukan membeli.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg