Topik diikuti
Pergi ke BHkuShanmugam: Pelantikan AGC siasat kes rentas sempadan boleh timbul bantahan negara asing
Shanmugam: Pelantikan AGC siasat kes rentas sempadan boleh timbul bantahan negara asing
Shanmugam: Pelantikan AGC siasat kes rentas sempadan boleh timbul bantahan negara asing
Pelantikan Pejabat Peguam Negara (AGC) atau mana-mana agensi pemerintah untuk menjalankan kerja rentas sempadan boleh menimbulkan bantahan daripada negara asing atas alasan kedaulatan negara, kata Menteri Kanan, Encik K. Shanmugam.
Justeru, pemerintah telah melantik sebuah firma guaman bagi menyelaraskan kerja panel pakar bagi memastikan mereka dapat menjalankan pertanyaan dan siasatan yang diperlukan dengan sewajarnya merentasi pelbagai bidang kuasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) Cik Sylvia Lim (GRC Aljunied) semasa perbahasan Rang Undang-Undang bagi meminda Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA) di Parlimen pada 4 November.
Cik Lim bertanya mengapa AGC tidak diberikan tugas menyelaraskan kerja panel pakar, memandangkan pejabat itu mempunyai bahagian khusus bagi hal ehwal antarabangsa serta kepakaran berkaitan.
Menjawab soalan itu, Encik Shanmugam berkata agensi pemerintah seperti Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) atau Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mungkin tidak diberikan akses ke negara asing atau menjalankan siasatan.
Ini kerana agensi-agensi ini dianggap sebagai agensi pemerintah Singapura.
Oleh itu, beliau berkata THPA yang dipinda itu telah dirangka supaya syarikat yang sedang disiasat melantik penilai dan firma penyiasatan swasta bagi menjalankan kerja berkaitan.
“Jika AGC yang menyelaraskan kerja itu, kita mungkin berdepan bantahan daripada negara asing yang mendakwa bahawa ia melanggar kedaulatan mereka,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa penglibatan AGC tetap penting kerana pejabat itu akan meneliti fakta dan bukti yang dikumpulkan melalui laporan penilai bagi menentukan tindakan lanjut yang boleh diambil di Singapura.
Sebelum ini, Kementerian Undang-Undang (MinLaw) menjelaskan bahawa sebuah firma guaman dilantik untuk menyelaraskan kerja panel pakar kerana kepakarannya dalam memastikan pertanyaan dan siasatan dapat dijalankan merentasi bidang kuasa berbeza.
Cik Lim turut meminta penjelasan mengenai pihak yang perlu menanggung bayaran firma guaman penyelaras itu di bawah peruntukan THPA yang dipinda.
Encik Shanmugam berkata bayaran tersebut tidak sepatutnya ditanggung pembayar cukai kerana firma itu menjalankan kerja bagi pihak syarikat yang melantik firma guaman dan penyiasatan.
“Adalah wajar syarikat yang membayarnya, dan peruntukan perlu dibuat bagi tujuan itu,” katanya.