Topik diikuti
Pergi ke BHkuShanmugam: Pemerintah pertimbang kastrasi kimia tangani jenayah seksual jika terbukti berkesan
Shanmugam: Pemerintah pertimbang kastrasi kimia tangani jenayah seksual jika terbukti berkesan
Shanmugam: Pemerintah pertimbang kastrasi kimia tangani jenayah seksual jika terbukti berkesan
Pemerintah terbuka untuk mempertimbangkan langkah termasuk rawatan anti-androgen secara farmakologi, yang juga dikenali sebagai pengebirian kimia, sekiranya jelas bahawa langkah sedemikian berkesan dalam mengurangkan kadar jenayah.
Menteri Kanan, Encik K. Shanmugam, berkata demikian dalam jawapan bertulis pada 8 September sebagai respons kepada soalan yang diajukan Encik Gerald Giam (GRC Aljunied) mengenai sama ada Kementerian Dalam Negeri (MHA) telah menilai langkah seperti rawatan anti-androgen secara farmakologi dan daftar pesalah seks bagi mencegah kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dan golongan muda.
Encik Shanmugam, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, berkata pemerintah memandang serius kesalahan seksual dan mengenakan hukuman berat, terutama apabila mangsa merupakan kanak-kanak bawah umur.
Beliau berkata hukuman berat yang sedia ada sudah berfungsi sebagai pencegah.
Antaranya, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat bagi kes rogol atau serangan seksual dengan penembusan terhadap kanak-kanak bawah 14 tahun tanpa persetujuan.
Mereka yang mencabul kanak-kanak bawah 14 tahun pula boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, didenda dan disebat.
Jika kanak-kanak tersebut dicederakan atau dikekang, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan disebat.
Encik Shanmugam menambah bahawa beberapa pindaan perundangan telah dibuat sejak beberapa tahun lalu.
Ini termasuk pengenalan kesalahan baharu iaitu penembusan seksual eksploitatif terhadap golongan bawah umur berusia antara 16 dengan 18 tahun pada 2019, serta peningkatan hukuman penjara maksimum bagi kesalahan mencabul pada 2021.
Terbaru, Hukuman bagi Perlindungan Awam Dipertingkat (SEPP) mula berkuat kuasa pada Julai lalu, yang membolehkan pesalah kesalahan seksual serius dan ganas hanya dibebaskan apabila dinilai tidak lagi menimbulkan ancaman kepada orang awam.
Encik Shanmugam berkata pemerintah terbuka untuk mempertimbangkan langkah seperti pemandulan kimia sekiranya jelas bahawa ia berkesan dalam mengurangkan kadar jenayah.
Namun, beliau berkata bukti mengenai keberkesanan langkah tersebut masih belum muktamad.
Kes serangan seksual di Singapura semakin meningkat, dengan 762 kes pencabulan dan 261 kes rogol dicatat dalam enam bulan pertama 2026.
Ini bermakna secara purata sekurang-kurangnya satu kes rogol dan empat kes pencabulan berlaku setiap hari.
Mengenai pengenalan daftar pesalah seks, Encik Shanmugam berkata polis sudah menyelenggara rekod sulit individu yang disabitkan kesalahan serius, termasuk kesalahan seksual.
Rekod tersebut dikongsi dengan agensi terpilih, termasuk Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) serta Kementerian Pendidikan (MOE), apabila pemeriksaan latar belakang dijalankan terhadap individu yang memohon jawatan yang memerlukan mereka berhubung secara berterusan dengan kanak-kanak dan golongan muda.
Encik Shanmugam berkata pendekatan tersebut mengimbangi keperluan melindungi kanak-kanak dengan usaha pemulihan dan penyepaduan semula bekas pesalah ke dalam masyarakat.
Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, pula berkata di Parlimen pada 8 September bahawa pemerintah sedang mempertimbangkan untuk memperluas pemeriksaan rekod jenayah terhadap bakal pekerja yang memohon jawatan yang melibatkan hubungan berterusan dengan kanak-kanak dan golongan muda, termasuk dalam sektor yang tidak dikawal selia.
Langkah itu menyusuli kes dua kanak-kanak kecil yang didera secara seksual oleh seorang individu yang menggelarkan dirinya sebagai “pempengaruh agama” dan mengendalikan kelas agama di sebuah masjid tanpa kebenaran.
Encik Shanmugam berkata butiran lanjut mengenai kemungkinan peluasan pemeriksaan tersebut akan dikongsi apabila sudah tersedia.
