Kemasukan pendakwah Bangladesh Hamza Md Amir @ Amir Hamza ke Singapura pada 9 Ogos tidak dapat dikesan kerana Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) tidak mempunyai data biometriknya.
Namun, kemasukan semula Amir Hamza ke Singapura pada masa hadapan akan dikesan, tidak kira nama atau pasport yang digunakan kerana ICA kini mempunyai data biometriknya, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.
Amir Hamza telah memohon visa untuk memasuki Singapura menggunakan pasport yang mengandungi nama yang berbeza daripada apa yang ada dalam pangkalan data, dan dia menggunakan pasport yang sama semasa kedatangannya.
Bercakap di Parlimen pada 9 September, Encik Shanmugam berkata semua orang yang memasuki Singapura tertakluk kepada pemeriksaan, termasuk pemeriksaan dokumen perjalanan dan pengesahan identiti.
“Namun, tidak mungkin dan tidak boleh dilaksanakan untuk memeriksa dengan ketat dan menemu bual setiap pelawat dengan terperinci,” kata beliau yang menambah ICA melepaskan kira-kira 600,000 pelawat setiap hari, merentasi semua pusat pemeriksaan.
Encik Shanmugam bercakap di Parlimen dan menjawab beberapa soalan yang dikemukakan beberapa Anggota Parlimen (AP), termasuk Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang) yang bertanya tentang penerokaan teknologi baru untuk membantu pegawai ICA di sempadan.
Dalam jawapannya, Encik Shanmugam berkata imbasan muka, iris dan cap jari pelawat kali pertama akan dirakam sewaktu pelepasan imigresen, yang membolehkan pemerintah mengesan pelawat berulang yang menggunakan pelbagai identiti atau identiti yang ditiru, dengan lebih baik.
Bagi pelawat asing, ini merupakan kali pertama untuk merakam data biometrik mereka, jelas beliau.
Tambahan, pintu pagar automatik turut dilengkapi dengan kemudahan pemalsuan untuk mengesan pasport palsu secara umum, berikutan pengenalan Sistem Biometrik Pelbagai Modal pada Julai 2020.
“Sejak 2022, setiap bulan, kira-kira 30 pelawat dengan pasport sah yang mengandungi identiti berbeza daripada rekod ICA telah dikesan dan kemasukannya ditolak,” kata Encik Shanmugam.
Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh (GRC Aljunied), turut bertanya jika Amir Hamza berada di dalam senarai pantau.
Encik Shanmugam, dalam jawapannya, berkata:
“Tiada negara, dan sudah tentu bukan Singapura, mempunyai pangkalan data yang komprehensif bagi setiap penjenayah atau orang yang menimbulkan kebimbangan keselamatan di seluruh dunia.
“ISD telah meletakkannya dalam senarai pemerhatian menggunakan namanya, kerana kenyataan masa lalunya yang mempromosikan sikap tidak toleransi agama, dan laporan bahawa dia terlibat dalam organisasi pro-Al-Qaeda di Bangladesh.”
Encik Zhulkarnain turut bertanya tentang peraturan dalam mengawal penggunaan dormitori pekerja asing untuk acara yang melibatkan penceramah atau pendakwah agama.
Encik Shanmugam berkata Akta Dormitori Pekerja Asing (Feda) mengenakan syarat lesen yang memerlukan pengendali menyimpan rekod kemas kini mereka yang bukan penduduk seperti pelawat atau kontraktor yang memasuki kawasan kediaman dormitori.
Beliau menambah warga asing yang ingin menyampaikan ceramah di majlis awam yang bersifat keagamaan, berasaskan sebab atau bersifat politik dikehendaki mendapatkan Pas Kerja Rencam di bawah Akta Penggajian Tenaga Kerja Asing.
“MOM berunding dengan agensi berkaitan, termasuk Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD), dalam menilai aplikasi tersebut.
“Dalam kes ini, tiada tangkapan dibuat kerana siasatan sedang dijalankan.
“Pihak berkuasa sedang menyiasat kesalahan termasuk penyertaan dalam perhimpunan yang tidak sah di bawah Akta Peraturan Keselamatan Awam, dan tidak memperoleh Permit Kerja Rencam yang diperlukan di bawah Akta Penggajian Tenaga Kerja Asing,” ujar Encik Shanmugam.
“
“Tiada negara, dan sudah tentu bukan Singapura, mempunyai pangkalan data yang komprehensif bagi setiap penjenayah atau orang yang menimbulkan kebimbangan keselamatan di seluruh dunia. ISD telah meletakkan (Amir Hamza) dalam senarai pemerhatian menggunakan namanya, kerana kenyataan masa lalunya yang mempromosikan sikap tidak toleransi agama, dan laporan bahawa dia terlibat dalam organisasi pro-Al-Qaeda di Bangladesh.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg