Bahan ekstremis dalam talian santapan harian belia ketika pemutus rantaian Covid-19
Bahan ekstremis dalam talian santapan harian belia ketika pemutus rantaian Covid-19
Pengasingan jerat belia di ceruk gelap dunia siber, dedah kepada kandungan berbaur benci
Sebelum pandemik Covid-19 melanda, gelanggang bola keranjang ialah 'syurga' buat Encik Dylan (bukan nama sebenar).
Ia merupakan tempat utama bagi remaja sekolah menengah itu ‘lari’ daripada segala masalah kehidupan.
Tetapi dalam sekelip mata, bunyi lantunan bola di gelanggang itu digantikan dengan bunyi klik tetikus yang memenuhi segenap ruang waktunya.
Encik Dylan membesar seperti anak Singapura yang lain – mudah bergaul, mempunyai ramai kawan daripada pelbagai bangsa dan agama, serta mengikuti keluarganya ke gereja setiap minggu.
Namun, apabila melalui satu fasa mencabar, yang sukar diceritakannya, serta pelaksanaan pemutus rantaian semasa Covid-19 pada April 2020, segalanya berubah.
Pengasingan tersebut menjerat beliau di ceruk gelap dunia siber setiap hari, sehingga membawanya ke kancah kebencian terhadap Islam.
Beliau melihat peningkatan kadar kelahiran penganut Islam di Singapura sebagai satu ancaman, sekali gus dihantui ketakutan satu hari nanti, hukum syariah akan dikuatkuasakan ke atas semua lapisan masyarakat.
Rentetan itu, kandungan ekstremis dan video keganasan mula menjadi 'santapan' hariannya.
Di samping itu, beliau turut terpengaruh dengan fahaman pelampau sayap kanan Brenton Harrison Tarrant, pengganas di sebalik serangan masjid di Christchurch, New Zealand, pada Mac 2019.
Encik Dylan kemudian mula merancang serangan ke atas dua buah masjid di Singapura pada Mac 2021, pada ulang tahun kedua serangan itu.
Namun, belum sempat serangan itu dibuat, Encik Dylan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2020, ketika usianya 16 tahun, menjadikannya individu termuda yang ditahan atas kegiatan berkaitan keganasan ketika itu dan yang pertama dipengaruhi oleh ideologi fahaman pelampau sayap kanan.
Menceritakan pengalamannya, Encik Dylan berkata:
“Sewaktu pemutus rantaian Covid-19, saya temui video pengganasan dalam talian dan menjadi taksub dengan kandungan ganas.
“Saya kemudian temui maklumat mengenai serangan di Christchurch dan mula membacanya dengan mendalam.
“Kandungan ideologi pelampau dan sayap kanan dalam talian bahkan menjadi ‘makanan ruji’ untuk saya, kerana ia beri makna kehidupan ketika saya hadapi masalah.”
Encik Dylan berkongsi bahawa beliau sedang melalui fasa sukar dalam hidupnya dan ‘cuba mencari rasa kebersamaan’ yang tidak ditemui di sekolah mahupun dalam kehidupan seharian.
Ideologi ekstremis sayap kanan memberikannya ‘perasaan pencapaian diri yang palsu, serta tujuan hidup yang palsu’ (iaitu, perasaan bahawa diri lebih hebat daripada keadaan sebenar) — sesuatu yang sangat menarik minatnya sebagai seorang remaja.
Encik Dylan menambah sentimen kebencian terhadap Islam mula tertanam dalam dirinya sejak 2015 – menerusi serangan pengganas di Paris – dan menjadi lebih teruk ketika beliau melayari Internet sehari suntuk, saban hari, mulai April 2020.
Beliau membaca manifesto Tarrant dan melihat menyerang Islam itu “ialah kebenaran dan masyarakat bukan berada pada pihak yang betul.”
Encik Dylan membuat keputusan menyerang dua masjid di sekitar rumahnya – Masjid Assyafaah di Sembawang dan Masjid Yusof Ishak di Woodlands, dan berjaya mendapatkan ves taktikal serta cuba membeli parang sebagai alat serangan.
Beliau juga ingin merakam serangannya, seperti yang dilakukan Tarrant di Christchurch.
Apabila ditanya wartawan sama ada beliau memikirkan akibat bagi kelakuannya, beliau menjawab:
“Saya tidak kisah mengenai akibatnya... ia cuma ada dua kesudahan; sama ada saya lakukan serangan itu dan terbunuh, ataupun ditangkap.
“Tiada kemuliaan yang lebih besar daripada itu,” katanya.
Belum sempat melakukan serangan itu pada Mac 2021, Encik Dylan ditahan di bawah ISA pada Disember 2020.
Remaja beragama Kristian Protestan itu merupakan salah seorang belia berusia 20 tahun dan ke bawah, yang dikenakan tindakan ISA.
Belia terjerumus dalam fanatisme lebih cepat
Kisah bagaimana seorang belia di Singapura boleh menjadi radikal di bawah pengawasan ahli keluarganya sendiri amat membimbangkan, terutamanya apabila belia menjadi radikal dengan lebih cepat.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) berkata purata masa yang diambil untuk belia radikal sendiri semakin cepat, iaitu hampir separuh – kurang daripada lapan bulan antara 2020 dengan 2025, berbanding 14 bulan antara 2015 dengan 2019.
“Walau demikian, ada yang telah menjadi radikal dalam tempoh beberapa minggu sahaja,” tambah ISD.
Menurut data terkini ISD, seramai 14 belia (berusia 20 tahun ke bawah) telah dikenakan tindakan di bawah ISA sejak 2020.
Apa yang membimbangkan, jumlah itu merangkumi sebahagian besar daripada keseluruhan 19 belia yang ditahan sejak 2015.
Berikut, Berita Minggu (BM) menelusuri perjalanan radikalisasi individu lain, dengan identiti mereka dirahsiakan, serta jalan mereka menuju pemulihan.
Keinginan mencari hakikat yang berakhir dengan salah faham ideologi
Bagi Encik Farhan, perasaan amarah mula membara selepas menonton sebuah video yang memaparkan orang awam Palestin dibom jet pejuang Israel sekitar 2014.
Tujuannya adalah satu, untuk membantu mereka dan berjuang untuk Palestin.
Berkongsi kepada BM, Encik Farhan berkata ketika itulah, perasaan empati terus berubah menjadi ekstrem.
“Segalanya bermula apabila kebencian yang amat dalam terhadap Israel mula tercetus di hati saya, sehingga timbul tekad untuk turun berjuang demi rakyat Palestin,” katanya, yang kini berusia pertengahan 20-an tahun.
Menerusi kajiannya di alam maya, ia telah menyemarakkan lagi api kebencian, sehingga beliau nekad merancang untuk ke Gaza, bagi menyertai sayap tentera Hamas, Briged Al-Qassam (AQB), dalam perjuangan menentang Israel.
Berbeza dengan Encik Dylan, Encik Farhan pula ingin melancarkan serangan pisau di Sinagog Maghain Aboth di Waterloo Street, selepas tamat waktu ibadah berjemaah bagi masyarakat Yahudi pada Sabtu.
Sasaran beliau ialah untuk membunuh tiga lelaki Yahudi atas andaian mereka pernah berkhidmat dalam tentera Israel dan terlibat dalam kekejaman terhadap rakyat Palestin.
Beliau merancang untuk menggunakan sebilah pisau Smith & Wesson, yang pada asalnya dibeli pada 2016 untuk aktiviti pengakapnya.
Encik Farhan telah melakukan persediaan taktikal yang terperinci.
Antaranya, mengkaji sistem vaskular manusia bagi tikaman maut, berlatih menggunakan pisau replika di rumah, serta menjalankan tinjauan fizikal sebanyak dua kali pada 2019 untuk merancang serang hendap di Sinagog tersebut.
Sementara itu, perjalanan Encik Hamzah menjadi radikal bermula sekitar 2015 di mana beliau akan menghabiskan masa berjam-jam setiap hari bermain permainan video ‘Grand Theft Auto V’.
Beliau, yang ketika itu berusia 18 tahun, akan membentuk sebuah ‘kumpulan’ atau clan dengan bendera ISIS.
“Kami akan berjalan-jalan di sekitar ruang menunggu (lobi) dan suka-suka menembak orang dalam permainan tersebut, sambil berlakon kononnya sedang berjihad,” katanya.
Bagi Encik Hamzah yang kini mencecah usia lewat 20-an tahun, beliau bukanlah seorang individu yang cenderung kepada keganasan.
Sebaliknya, beliau dibesarkan dalam persekitaran keluarga Muslim yang taat mengerjakan ibadah serta mempunyai hubungan persahabatan yang rapat sewaktu di sekolah.
Namun, apabila beliau berada di lewat usia remajanya, Encik Hamzah mula mempunyai keinginan yang mendalam untuk tahu mengenai ISIS selepas menemui satu dokumentari mengenai mereka dalam talian.
Beranggapan keganasan yang dilakukan mereka selari dengan ajaran Islam, beliau mula menonton video pancung dan tebusan yang dibakar hidup-hidup – untuk melalikan diri sebelum membuat keputusan ingin ke Syria untuk menyertai ISIS.
Encik Farhan ditahan di bawah ISA pada Mac 2021, ketika berusia 20 tahun.
Manakala Encik Hamzah, beliau ditahan ketika usianya 18 tahun pada 2015.
Dekan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Profesor Kumar Ramakrishna, menjelaskan sebagai remaja, pusat pertimbangan eksekutif pada otak mereka hanya akan matang sepenuhnya apabila mereka menjangkau usia lewat 20-an tahun.
Namun, bahagian emosi otak mereka lebih berkembang berbanding bahagian lain, sekali gus memberi kesan kepada keputusan yang dilakukan mereka.
“Inilah sebabnya mengapa mereka cenderung bertindak mengikut perasaan, melihat sesuatu perkara secara hitam putih, antara baik dengan jahat, serta sentiasa mencari matlamat yang besar, mengujakan dan bermakna untuk disertai.”
Beliau, yang juga merupakan Penasihat Penyelidik dengan Pusat Antarabangsa untuk Keganasan Politik dan Penyelidikan Keganasan (ICPVTR), menambah belia juga akan mencari penerimaan dalam kumpulan rakan sebaya yang dilihat berstatus tinggi.
Antaranya, ekstremis eksklusif yang mendakwa mengetahui ‘kebenaran sebenar’ tentang apa yang berlaku di dunia, serta menekankan keperluan untuk berjuang bagi memperbetulkan segala kezaliman, ujarnya.
Dunia digital; ruang terbuka yang membawa bahaya
Individu seterusnya, Encik Khalid, pada 2008, sedang mengalami fasa masalah kurang keyakinan diri dan sedang mencari makna tujuan hidup yang lebih besar.
Namun, ketika itulah juga gejolak konflik di Timur Tengah, antaranya konflik Gaza-Israel, hangat disiarkan di YouTube.
Didorong kerapuhan emosi pada waktu itu, Encik Khalid mudah terpengaruh dengan ideologi Al-Qaeda.
Beliau terpedaya dengan konsep jihad dan syahid, yang menariknya untuk melihat ia sebagai perjuangan suci yang penuh kemuliaan.
Encik Khalid berkata kepada BM kemudahan digital yang dimilikinya terus membawanya untuk mengenali penceramah ekstrem dalam talian.
“Saya sering menggunakan komputer riba dan mempunyai akses Internet tanpa had.
“Kemudahan menonton ceramah agama di komputer riba membuatkan saya lebih cenderung kepada mereka (penceramah ekstrem),” ujar Encik Khalid.
Menurutnya, populariti yang dimiliki penceramah ini membuatkannya percaya kandungan tersebut diterima umum.
“Ceramah dalam bahasa Inggeris pula lebih menarik minat saya, ditambah pula dengan perwatakan penceramah yang berkarisma.
“Saya percaya ideologi ekstremis itu benar kerana tokoh seperti Anwar Al-Awlaki mengagung-agungkan kumpulan militan seperti Hamas, Taliban, dan pejuang Iraq sebagai pejuang kebebasan, serta melabel mereka sebagai mujahidin dan syuhada,” tambahnya, yang ditangani di bawah ISA ketika berusia 20 tahun.
Kaunselor agama dan mentor belia, Pastor Joachim Lee Tai Loong, akur dengan cabaran digital hari ini dan menambah antara kebimbangan belia masa kini ialah mereka tidak tahu bagaimana untuk bersosial dan akhirnya akan mencari ‘teman’ di internet.
Jika seseorang itu semakin terasing, semakin mudah untuk mereka menjadi radikal kerana tidak dapat memahami kepelbagaian yang ada.
“Semakin menjadi terasing, pemikiran kita akan menjadi semakin kurang fleksibel dan kurang terangkum.
“Bersosial dan bergaul dengan kaum lain dan kenali antara satu sama lain.
“Apabila bersosial menjadi tabiat, kita akan memecahkan benteng yang menghalang kita daripada bercakap dengan orang asing,” katanya.
Presiden PPIS, Profesor Madya Dr Razwana Begum Abdul Rahim, menjelaskan ramai anak muda tidak didekati secara langsung oleh kumpulan ekstremis.
Sebaliknya, mereka menemui ideologi tersebut di alam maya dan secara beransur-ansur menyerapnya ke dalam diri.
Beliau berkata: “Individu yang terlibat (jadi radikal) seringkali sangat muda, adakalanya pada awal usia belasan tahun.
“Ini mencerminkan penemuan sejagat yang lebih luas bahawa proses radikalisasi kini semakin bersilang dengan persekitaran digital harian kita.”
Pendidikan salah satu jalan keluar
Dalam membawa belia kepada pemulihan, ia tidak cukup dengan mereka hanya menerima kaunseling daripada kaunselor Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), kata pendidik dan kaunselor RRG, Dr Muhammad Mubarak Habib Mohamed.
Bahkan, beliau menambah ia memerlukan seluruh masyarakat serta pembelajaran akademik.
Pembelajaran merupakan aspek penting dalam pemulihan kerana ia mengajak seseorang itu untuk mengikuti sesuatu rutin dan juga disiplin, katanya.
“Ideologi radikal sering menawarkan jalan pintas atau hasil segera tanpa memerlukan usaha yang gigih, sebaliknya, dunia akademik menuntut ketabahan yang tinggi.
“Ia mengajar mereka ‘kamu tidak akan dapatkan sesuatu jika berusaha gigih’,” katanya.
Hal itu turut dipersetujui pendidik dan mentor RRG, Encik Salim Mohamed Nasir, yang menambah pembelajaran akademik membantu tahanan berhubung semula dengan diri sendiri, di samping mengenali emosi, batasan, dan kekuatan peribadi.
“Proses pembelajaran mengajar erti kesabaran, kawal emosi, serta keupayaan untuk berhadapan dengan rasa tidak selesa tanpa bertindak mengikut perasaan.
“Lama-kelamaan, individu akan mula menguruskan rasa kecewa dengan lebih baik, berfikir dengan lebih jelas, dan membuat pilihan yang lebih bertanggungjawab,” ujar beliau.
Perjalanan panjang menuju pemulihan
Kisah keempat-empat belia itu bukan sahaja memberi kesan kepada diri mereka, namun bagi orang yang tersayang.
Bagi ibu Encik Farhan, Cik Latifa, apabila kali pertama mengetahui anak lelakinya itu ditahan, hatinya hancur lebur.
“Ia adalah sesuatu yang tidak pernah saya sangka akan lalui dalam hidup ini,” katanya.
Bagi kakak Encik Farhan pula, Cik Sofia, perasaan bingung dan tidak percaya menyelubungi dirinya pada awal penahanan adiknya itu.
Namun, sebaik sahaja mendengar pengakuan langsung daripada mulut Encik Farhan di penjara, barulah beliau tersentak dan benar-benar menerima hakikat yang pahit itu.
“Bukan mudah untuk kami menerima kenyataan ini.
“Lama-kelamaan, kami terpaksa akur perbuatannya membawa kesan yang serius, dan beliau amat memerlukan bantuan,” kata beliau.
Menurut Cik Sofia, mereka melihat perubahan Encik Farhan seperti ingin pergi ke Palestin serta menunjukkan minat terhadap senjata dan senapang, namun menyangka ia hanya sifat simpati semula jadi atau hobi biasa.
Encik Farhan menyifatkan keluarganya, terutama sekali ibu dan kakak-kakaknya, sebagai tonggak sokongannya ketika beliau menjalani pemulihan.
Encik Farhan kini telah menamatkan diploma secara sambilan dan kini sedang menceburi kerjaya dalam industri kulinari.
Encik Hamzah pula berjaya meraih ijazah Sarjana Muda pada awal 2026 dan kini bekerja sebagai eksekutif pemasaran.
Bagi Encik Khalid, beliau berjaya menduduki peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘A’ semasa dalam tahanan dan kini ingin memajukan kerjaya, melanjutkan pengajian, dan “menjadi anak, bapa, suami, serta saudara” yang terbaik bagi mereka di sekeliling saya,” ujarnya.
Keceriaan Dylan belum pudar
Berbalik kepada Encik Dylan, ibu bapa beliau meluahkan rasa kesal kerana tidak lebih peka terhadap apa yang berlaku dalam hidup anaknya, apabila mengimbau kembali perjalanan awal beliau menjadi radikal.
Mereka gagal menyedari lebih awal apabila ada sesuatu yang tidak kena dengan Encik Dylan.
Bapa Encik Dylan berkata: “Jika saya tahu beliau sedang berhubung dengan pengaruh ekstremis, saya pasti akan berbincang dengannya dan cuba memahami dengan lebih mendalam apa yang sedang dilaluinya.”
Mereka juga terkilan kerana tidak dapat mendalami dunia Encik Dylan.
Lebih daripada sekadar memberi nasihat, ibu bapa Encik Dylan kemudian membantunya untuk membina kemahiran kesejahteraan siber, agar lebih berdaya tahan terhadap pengaruh memudaratkan dalam talian.
Mereka menyifatkan Encik Dylan kini lebih ceria dan matang selepas proses pemulihan, serta lebih selesa berkongsi perihal peribadinya serta meluahkan perasaan kepada mereka.
Namun, segala kejayaan itu menuntut Encik Dylan untuk bangkit dan cekal mengharungi setiap sesi pemulihan yang dilaluinya.
Encik Dylan menceritakan bulan-bulan awal dalam tahanan adalah sukar; beliau bergelut dengan rasa kesunyian walaupun kerap bertemu dengan pegawai kes, pakar psikologi, kaunselor agama, tutor, dan mentor.
Titik perubahannya berlaku semasa sesi kaunseling bersama kaunselor RRG, Ustaz Ahmad Saiful Rijal Hassan dan kaunselor agama dan mentor belia, Pastor Joachim Lee Tai Loong; kedua-duanya merupakan pakar agama serta rakan kongsi pemulihan ISD.
Dalam pertemuan tersebut, Ustaz Saiful Rijal menjelaskan kepadanya mengenai peranan undang-undang Syariah di Singapura.
Encik Dylan belajar bahawa undang-undang Syariah secara utamanya, mengawal selia urusan perkahwinan dan harta pusaka masyarakat Muslim, serta beroperasi seiring dengan sistem perundangan sekular.
“Sesi itu membuatkan saya lebih memahami dakwaan kononnya umat Islam suatu hari nanti akan memaksa undang-undang Syariah ke atas semua rakyat Singapura adalah tidak benar,” katanya.
Encik Dylan menduduki peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘N’ dan ‘O’ semasa dalam tahanan dan mencapai keputusan yang cemerlang.
Beliau dibebaskan daripada tahanan pada Januari 2024 apabila disifatkan menunjukkan “kemajuan yang baik” sepanjang proses pemulihan beliau, kata ISD.
Encik Dylan kini berada dalam Arahan Sekatan (RO) dan sedang melanjutkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi.

