Kes saman fitnah yang difailkan terhadap Bloomberg bukan tentang kebebasan media, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam dan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.

Sebaliknya, ia menyentuh persoalan sama ada sesebuah organisasi berita boleh dengan niat jahat menyasarkan individu serta menerbitkan “tuduhan serius yang berasaskan kepalsuan”.

Menerusi catatan Facebook pada 17 Julai, kedua-dua menteri berkata mereka menerima beberapa pertanyaan daripada pihak media susulan keputusan mahkamah dan ingin menjelaskan beberapa isu yang dibangkitkan.

Mahkamah Tinggi pada 14 Julai telah memerintah penyedia berita antarabangsa, Bloomberg, membayar ganti rugi sebanyak $230,000 setiap seorang kepada kedua-dua menteri.

In selepas ia memutuskan bahawa kedua-dua menteri itu telah difitnah dengan niat jahat oleh penyedia berita kewangan itu serta wartawannya.

“Kes ini bukan mengenai kebebasan media. Ia mengenai sama ada sesebuah organisasi berita boleh dengan niat jahat menyasarkan individu, menerbitkan tuduhan serius yang berasaskan kepalsuan, dan menafikan mereka yang dituduh peluang yang adil untuk memberi jawapan.

“Mahkamah telah memutuskan bahawa perkara itu tidak boleh dilakukan,” kata mereka.

Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, dan Dr Tan memfailkan saman fitnah terhadap Bloomberg berhubung satu artikel mengenai urus niaga melibatkan ‘Good Class Bungalows (GCB)’ atau banglo mewah di Singapura.

Artikel yang diterbitkan pada 12 Disember 2024 itu menyentuh mengenai urus niaga hartanah kedua-dua menteri pada 2023.

Ia merangkumi penjualan bekas kediaman Encik Shanmugam di kawasan Queen Astrid Park kepada UBS Trustees pada harga $88 juta, serta pembelian sebuah banglo oleh Dr Tan di Brizay Park pada harga hampir $27.3 juta, tanpa sebarang caveat, atau syarat pengecualian didaftarkan.

Dalam penghakimannya, Hakim Audrey Lim mendapati wartawan Bloomberg, Encik Low De Wei, yang menulis artikel tersebut mengetahui bahawa sebahagian maklumat yang digunakan adalah palsu, atau menerbitkannya tanpa mengambil berat sama ada maklumat itu benar atau tidak.

Dalam catatan mereka pada 17 Julai, Encik Shanmugam dan Dr Tan berkata terdapat pengulas, ‘terutamanya dalam media Barat’, yang berpendapat saman fitnah boleh memberi kesan mengekang kebebasan bersuara, atau chilling effect.

Mereka merujuk kepada sebuah artikel bertajuk ‘Bloomberg Loses Landmark Libel Case in Singapore’ yang diterbitkan The New York Times, yang memetik pandangan seorang ahli akademik bahawa keputusan mahkamah itu mungkin memberi kesan sedemikian terhadap kebebasan bersuara.

Bagaimanapun, kedua-dua menteri berkata pengalaman Singapura tidak menunjukkan perkara tersebut berlaku.

“Singapura menyokong kewartawanan yang teguh dan perbahasan awam yang rancak. Namun, kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab.

“Ia tidak meliputi penerbitan tuduhan palsu dan berunsur fitnah tanpa asas. Itulah prinsip yang ditegaskan semula oleh Mahkamah dalam kes ini,” kata mereka.

Menurut mereka lagi, dapatan Mahkamah Tinggi adalah menyeluruh dan tidak memberi ruang kepada sebarang keraguan.

“Mahkamah turut mendapati Bloomberg gagal memenuhi piawaian kewartawanan yang bertanggungjawab. Artikel itu mengandungi pelbagai kepalsuan, membuat tuduhan serius tanpa asas, dan menafikan kami peluang yang adil untuk memberi respons,” kata mereka.

“Dapatan ini menjadi asas kepada keputusan mahkamah, termasuk pemberian ganti rugi tambahan.”

Dalam kenyataan pada 14 Julai sebagai respons kepada keputusan mahkamah, Ketua Pengarang Bloomberg, Encik John Micklethwait, berkata organisasinya amat kecewa dengan keputusan tersebut, namun akan menghormatinya.

Encik Micklethwait menambah: “Kami berhujah semasa perbicaraan bahawa laporan kami adalah tepat dan memenuhi kepentingan awam yang penting.

“Kami juga terus percaya bahawa kedua-dua menteri telah memberikan tafsiran yang terlalu dipaksakan terhadap apa yang sebenarnya merupakan sebuah laporan yang kukuh.”

“Bilik berita kami, termasuk wartawan kami, telah menjalankan tugas dengan penuh integriti dan mematuhi semua piawaian editorial kami dalam menghasilkan laporan yang menjadi fokus perbicaraan ini. Kami terus berdiri teguh di belakang mereka,” tambahnya.