oleh HANNEEYZAH BAHARIN
Koresponden dari Kuala Lumpur
Selepas sebulan tragedi serangan maut di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, yang mengorbankan dua konstabel polis, lima ahli keluarga suspek – ibu bapa dan tiga adik-beradiknya – didakwa atas sembilan tuduhan berasingan berkait ideologi pengganasan IS (Islamic State), atau ISIS.
Lima tertuduh itu didakwa pada 19 Jun di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Dua daripada mereka ialah Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62 tahun, dan Rosna Jantan, 59 tahun, yang juga warga Singapura. Mereka ialah bapa dan ibu suspek serangan itu, Radin Luqman, 21 tahun, yang ditembak mati.
Tiga adik-beradik suspek yang dituduh ialah Radin Romyullah Radin Imran, 34 tahun; Farhah Sobrina Radin Imran, 23 tahun; dan Mariah Radin Imran, 19 tahun.
Radin Imran berdepan empat tuduhan berasingan, iaitu menanam ideologi pengganasan berkaitan IS, menyimpan empat senapang angin buatan sendiri, berbaiah kepada pemimpin kumpulan IS, iaitu Abu Bakar Al-Baghdadi, dan memiliki buku berkaitan IS.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, antara akhir 2014 hingga 17 Mei lalu.
Prosiding pendakwaan yang bermula dengan Radin Imran sebagai tertuduh pertama berlangsung dalam suasana tegang, berikutan dia beberapa kali menyanggah tuduhan dengan memberi alasan keluarganya sudah lama hidup mengasingkan diri dan tidak memiliki senjata api.
Bagaimanapun, tertuduh ditenangkan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, yang memberi penjelasan bahawa prosiding itu hanyalah sebutan tuduhan dan tertuduh boleh membela diri pada perbicaraan yang akan dilangsungkan pada tarikh lain.
Radin Romyullah, abang sulung suspek, menghadapi dua tuduhan, iaitu berbaiah kepada Abu Bakar Al-Baghdadi dan memiliki cakera keras mengandungi bahan berkaitan IS dan kegiatan kumpulan itu.
Rosna serta dua anak perempuannya, Farhah Sobrina dan Mariah, masing-masing didakwa atas satu tuduhan sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat berkenaan kesalahan berkaitan ideologi pengganasan antara April 2017 hingga 17 Mei lalu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh, dan Datuk Che Wan Zaidi tidak membenarkan ikat jamin bagi semua tertuduh, yang ditahan mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Mahkamah menetapkan 31 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, kelima-lima tertuduh tiba di mahkamah pada 9 pagi dengan kawalan ketat hampir 30 anggota polis bersenjata.
Dalam serangan kira-kira 2.30 pagi pada 17 Mei itu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun, terkorban akibat dipercayai ditembak dan ditetak dengan parang oleh Radin Luqman.
Seorang lagi anggota polis, Koperal Mohd Hasif Roslan, yang turut cedera, dapat menembak mati Radin Luqman di tempat kejadian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg