KUALA LUMPUR: Polis Malaysia telah menahan lebih 20 orang disyaki pengganas dalam tindakan tegas di seluruh negara terhadap ahli dan penyokong kumpulan pengganas ISIS.
Bahagian Anti Pengganas Bukit Aman dilapor telah menangkap sebilangan lelaki dan wanita itu dalam beberapa siri operasi khas yang dilaksanakan sejak pertengahan Mei lalu, menurut sumber.
Difahamkan bahawa operasi itu dipertingkatkan selepas serangan pengganas mengakibatkan dua konstabel polis terbunuh, manakala seorang lagi cedera parah dalam satu tragedi berdarah pada 17 Mei di Balai Polis Ulu Tiram, Johor.
Menurut sumber, mereka yang ditahan termasuk beberapa individu yang disyaki ahli sel pengganas dan mempunyai hubungan dengan seorang pembuat bom yang didakwa pihak berkuasa di mahkamah pada awal Jun lalu.
“Semalam (23 Jun), pegawai bahagian antikeganasan telah menangkap lebih ramai suspek. Lebih daripada enam orang.
“Mereka telah ditangkap dalam operasi serentak di beberapa lokasi di seluruh negara, atas kecurigaan terlibat dengan ISIS dan berpotensi mengancam keselamatan awam.
“Siasatan awal mendedahkan bahawa individu ini mempunyai kaitan dengan suspek kes Bagan Serai (Perak),” dakwa sumber, lapor Malaysiakini.
Kes Bagan Serai yang dimaksudkan ialah penahanan seorang operator kilang pada 11 Jun lalu, yang kemudian didakwa di Mahkamah Sesyen Taiping, Perak, dengan tiga tuduhan jenayah berkaitan pengganasan, antaranya membantu ISIS dengan menyimpan bahan letupan untuk kegiatan kumpulan tersebut.
Dua hari kemudian, pihak berkuasa mendakwa seorang lagi lelaki – tukang kebun di Muar, Johor – yang dikaitkan dengan ISIS, kerana memiliki barangan berkaitan kumpulan tersebut dan menyokong ISIS. Suspek pernah dipenjarakan dua kali atas kesalahan berkaitan pengganasan.
Sumber juga mendakwa bahawa operator kilang dan tukang kebun tersebut mengenali antara satu sama lain dan polis telah menahan enam individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan mereka, termasuk seorang wanita, beberapa minggu lalu untuk membantu siasatan.
Menurut sumber, semua suspek didakwa terpengaruh dengan ideologi ISIS dan merancang serangan di beberapa lokasi dalam negara. Enam suspek tersebut dijangka didakwa di mahkamah pada 25 Jun.
“Tiga daripada mereka termasuk wanita tersebut akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, manakala selebihnya akan didakwa di Kuala Lumpur, Kuala Kubu Bharu (Selangor) dan Segamat (Johor),” katanya.
Pada 17 Mei lalu, dua konstabel polis terbunuh apabila seorang lelaki bersenjatakan parang yang dikaitkan dengan fahaman dan ideologi IS menyerang Balai Polis Ulu Tiram pada 2.30 pagi.
Polis mulanya mengesyaki penyerang itu telah dipengaruhi Jemaah Islamiyah (JI), yang mana bapanya adalah bekas ahli, tetapi kemudian dia mendakwa telah diindoktrinasi oleh ideologi ISIS.
Kali terakhir ISIS melakukan serangan di Malaysia adalah pada 2016 apabila suspek ahli kumpulan tersebut meletupkan bom tangan di Movida Bar di Puchong, Selangor.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg