Di serata dunia, agama dan kaum sering digunakan untuk memecahbelahkan masyarakat, dan Singapura tidak terkecuali daripada tekanan sedemikian, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, pada 10 Oktober.
Oleh itu, keharmonian agama yang dinikmati Singapura kini tidak boleh diambil mudah, kata Encik Shanmugam semasa majlis jamuan malam sempena ulang tahun ke-85 gereja Parish of Christ Church.
Melalui media sosial dan Internet, rakyat Singapura kini lebih terdedah kepada perkembangan di seluruh dunia, termasuk ketegangan agama.
Namun begitu, Singapura masih berjaya mengekalkan keamanan yang amat berharga, yang menurut Encik Shanmugam perlu dipelihara demi generasi akan datang.
“Adalah tanggungjawab kita semua sebagai rakyat Singapura untuk meneruskan usaha ini supaya generasi akan datang dapat mewarisi sebuah negara yang mengekalkan keharmonian agama dan kaum,” ujarnya.
Beliau turut menggariskan tiga prinsip yang membantu Singapura membina keharmonian agama, lapor The Straits Times (ST).
Pertama, meskipun negara ini bersifat sekular, agama merupakan satu kuasa yang amat berpengaruh, katanya.
“Kita tidak mencampuradukkan agama dalam politik, atau politik dalam agama, secara nyata.
“Namun pada masa yang sama, disebabkan pengaruh besar agama, kita juga mengiktiraf perkara baik yang boleh dilaksanakan melaluinya,” kata Encik Shanmugam.
Kepercayaan dan nilai agama seseorang sudah tentu juga akan mempengaruhi pandangan politik serta cara individu itu berinteraksi dalam masyarakat, tambah beliau.
Namun, cabaran timbul apabila prinsip agama seseorang mungkin tidak sesuai dengan prinsip agama orang lain, ujarnya.
“Jika kita membenarkan agama digunakan secara bebas dalam politik, maka kumpulan lebih besar akan menang, manakala kumpulan lebih kecil mungkin terpaksa menggunakan keganasan – seperti yang kita lihat di tempat lain,” kata Encik Shanmugam.
Oleh itu, masyarakat perlu berpegang kepada rangka nilai sekular untuk menyemai rasa kesamaan antara rakyat, dan tidak membandingkan antara agama, tambah beliau.
Kedua, menurut Encik Shanmugam, ialah prinsip kesaksamaan antara agama.
“Sekiranya kita mengatakan satu prinsip agama lebih utama daripada yang lain, anda tahu apa yang akan berlaku,” kata beliau.
Inilah sebab mengapa bahasa Inggeris dijadikan bahasa utama di Singapura, meskipun 74 peratus penduduknya berbangsa Cina, jelas Encik Shanmugam.
Di negara lain yang mempunyai satu kaum majoriti, biasanya mereka mempunyai hanya satu bahasa rasmi, iaitu bahasa kaum majoriti itu, seperti Perancis (bahasa Perancis) dan Malaysia (bahasa Melayu), tambahnya.
“Keadaannya berbeza di Singapura kerana melalui bahasa Inggeris, kita semua rasa setara,” ujarnya.
Ketiga, Singapura telah mewujudkan ruang bersama tanpa mengira kaum dan agama, di mana masyarakat pelbagai agama saling menghormati kepercayaan dan amalan masing-masing.
“Kita menyokong prinsip ini melalui undang-undang, supaya jika terdapat batasan yang dilanggar, kita boleh campur tangan melalui dasar dan penguatkuasaan,” kata Encik Shanmugam, sambil menambah bahawa pendekatan ini membolehkan Singapura mencapai tahap toleransi dan keharmonian yang amat tinggi.
Namun, walaupun undang-undang sedemikian dapat mengekalkan keamanan, ia tidak mampu mewujudkan keharmonian atau semangat persaudaraan, tambah beliau.
Atas sebab itu, pemimpin masyarakat dan agama memainkan peranan penting.
“Anda menetapkan hala tuju… anda menunjukkan melalui teladan bagaimana kepercayaan dapat memperkasa individu dan masyarakat secara keseluruhan,” kata Encik Shanmugam.
Beliau menambah, perasaan muhibah dipupuk apabila setiap anggota masyarakat berusaha untuk berbakti kepada yang lain, dan tindakan itu akan memperkukuh pemahaman serta membina infrastruktur sosial yang kukuh.
“Infrastruktur bukan sekadar bangunan dan jalan raya. Infrastruktur ialah ikatan yang wujud antara kaum, agama dan dalam masyarakat, dan infrastruktur ini hanya dapat dibina melalui kepercayaan, saling berhubung dan saling membantu, dengan institusi agama memainkan peranan yang amat penting,” jelas Encik Shanmugam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg