Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shanmugam tolak rayuan SDP untuk tukar arahan Pofma

Perintah Pofma bagi kenyataan parti itu di media sosial pada Jun 2024
Apr 11, 2025 | 6:25 PM
Ekoran terlibat dalam menganjurkan perarakan tanpa permit pada 2 Februari 2024, di kawasan luar Istana, yang merupakan kawasan larangan, (dari kiri) Siti Amirah Mohamed Asrori, Annamalai Kokila Parvathi and Mossammad Sobikun Nahar, didakwa.
Ekoran terlibat dalam menganjurkan perarakan tanpa permit pada 2 Februari 2024, di kawasan luar Istana, yang merupakan kawasan larangan, (dari kiri) Siti Amirah Mohamed Asrori, Annamalai Kokila Parvathi and Mossammad Sobikun Nahar, didakwa. - Foto ST

Rayuan oleh Parti Demokratik Singapura (SDP) terhadap satu perintah pembetulan bagi kenyataan yang dibuatnya pada Jun 2024, telah ditolak oleh Menteri Dalam Negeri merangkap Undang-undang, Encik K. Shanmugam, kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan pada 11 April.

Kenyataan MHA dibuat selepas SDP berkata pada 8 April bahawa ia telah memohon untuk menukar satu arahan pembetulan pada 29 Jun 2024 yang dikeluarkan oleh pemerintah di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (Pofma).

Perintah Pofma itu adalah berhubung satu kenyataan yang SDP letakkan di akaun media sosialnya pada 27 Jun dan 28 Jun 2024.

Ia mengenai pertuduhan yang dikenakan terhadap tiga wanita yang didakwa terlibat dalam menganjurkan perarakan tanpa permit di sepanjang kawasan luar Istana, yang merupakan kawasan larangan.

Dalam kenyataannya itu, SDP berkata tiga wanita itu – Mossammad Sobikun Nahar, 25 tahun; Siti Amirah Mohamed Asrori, 29 tahun; dan Annamalai Kokila Parvathi, 35 tahun – telah didakwa kerana menganjurkan sokongan untuk rakyat Palestin dalam perang Gaza yang sedang berlangsung, lapor The Straits Times.

Menurut SDP, pendakwaan itu menunjukkan ketidakupayaan pemerintah untuk bertolak ansur dengan pandangan dan tindakan yang tidak dipersetujuinya.

MHA berkata pada 29 Jun bahawa dakwaan SDP itu adalah tidak benar, kerana keputusan untuk mendakwa ketiga-tiga wanita itu bukan sebagai tindak balas kepada pandangan yang mereka nyatakan, atau sama ada pandangan itu sejajar dengan kedudukan pemerintah.

SDP juga telah diberi notis pembetulan pada kenyataannya itu.

Pada 11 April, MHA dapati SDP telah mematuhi arahan pembetulan pada 29 Jun, tetapi lebih sembilan bulan kemudian, telah mengemukakan permohonannya berhubung perintah Pofma itu disertai dengan satu kenyataan bahawa ia berbuat demikian “untuk menjelaskan beberapa isu utama menjelang Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025)”.

SDP menyatakan dalam satu hantaran Facebook pada 8 April bahawa jika Encik Shanmugam tidak mengubah arahan pembetulan Pofma yang dikeluarkan terhadap parti itu, ia akan “membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi”.

Parti itu berkata ia tidak membuat kenyataan bahawa tiga wanita itu didakwa kerana mereka telah menganjurkan sokongan untuk rakyat Palestin, dan adalah hak perlembagaan warga Singapura untuk secara aman menyatakan pandangan mereka secara terbuka.

SDP juga mendakwa bahawa undang-undang berita palsu itu “digunakan pada kadar yang tidak pernah berlaku sebelum ini” semasa GE2020.

Parti itu berkata adalah kritikal bahawa individu tidak dihukum atas kenyataan yang mereka tidak buat, dan ia berharap “perkara ini akan menjadi lebih jelas melalui proses rayuan ini”.

Dalam kenyataannya pada 11 April, MHA mengulangi bahawa kenyataan SDP itu adalah palsu, dan ketiga-tiga wanita itu didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Ketenteraman Awam (POA) kerana menganjurkan perarakan di sekitar Istana.

“Istana adalah kawasan larangan yang ditetapkan di bawah Seksyen 12 POA dan Perintah Ketenteraman Awam (Kawasan Larangan). Perarakan tidak dibenarkan di tempat tersebut,” katanya.

MHA berkata SDP telah merayu untuk mengubah arahan pembetulan itu atas dasar hantaran parti itu tidak mengandungi kenyataan bahawa ketiga-tiga wanita itu didakwa kerana menganjurkan sokongan untuk tujuan tertentu.

Ia menyatakan bahawa SDP tidak merayu terhadap bahagian kedua arahan pembetulan itu, berhubung kenyataan palsu bahawa tiga wanita itu telah didakwa kerana mereka telah menyatakan pandangan yang tidak dipersetujui oleh pemerintah.

Ini nampaknya menunjukkan SDP bersetuju bahawa kenyataan yang dibuatnya adalah palsu, kata kementerian itu.

“Setelah mempertimbangkan permohonan itu dengan teliti, Menteri Ehwal Dalam Negeri dan Undang-undang telah menilai bahawa tidak ada merit kepada permohonan itu, dan telah menolaknya,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg