PARIS: Ia adalah perlumbaan yang dinanti-nantikan beliau selama tiga tahun.
Pada penampilan sulung Olimpiknya, perenang Singapura Gan Ching Hwee menemui ketenangan untuk menangani rasa gementar dan gangguan lain.
Sambil menunggu di bilik panggilan bagi perlumbaan 1,500 meter gaya bebas wanita pada 30 Julai, beliau berasa gementar menantikan perlumbaan pertama dan dapat mendengar sorakan hebat daripada penonton di Arena Paris La Defense.
Namun, sebaik sahaja Gan memulakan perlumbaan dan berada di dalam air, beliau sudah bersedia untuk bersaing.
Sorakan dan tepukan penonton ‘ditenggelami’ bunyi air di keliling telinganya, yang menurut beliau memberikannya “semacam ketenangan”.
Atlet berusia 21 tahun itu penuh tumpuan untuk memberi prestasi terbaik dengan Gan akhirnya berjaya mencatatkan masa 16 minit 10.13 saat, sekali gus memecahkan rekod nasional yang juga dicatatkan beliau – 16 minit 10.61 saat – di Kejohanan Renang Nasional Singapura pada Jun.
Keputusan itu sekali gus meletakkan beliau di tempat pertama dalam pusingan saringan awal.
Secara keseluruhan, Gan menduduki tempat kesembilan dalam acara yang menampilkan 16 perenang – bermakna beliau nyaris terlepas beraksi di final lapan perenang terpantas. Masa catatannya hanya kurang dua saat memisahkan beliau daripada perenang Jerman, Leonie Martens (16 minit 8.69 saat) yang tampil sebagai perenang kelapan terpantas bagi perlumbaan final acara itu.
Gan kini merupakan perenang simpanan pertama untuk final pada 31 Julai. Perenang Amerika Syarikat berusia 18 tahun, Katie Grimes, adalah simpanan kedua dengan mencatatkan masa 16 minit 12.11 saat.
Juara bertahan, Katie Ledecky, mencatatkan masa terpantas dalam pusingan kelayakan dengan catatan masa 15 minit 47.43 saat.
Gan berkata kepada The Straits Times (ST): “Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata, sebenarnya. Ia berbeza dan pada masa yang sama ia seperti biasa... hanya sebuah kolam renang dengan lebih banyak cahaya, kamera di sekeliling, bunyi dan lain-lainnya.
“Saya cuma tiba ke sini untuk bebas berenang, tidak berasa terikat kepada apa-apa dan gembira. Saya menikmati setiap minit di sini dan saya gembira dengan keputusannya.”
Pada 30 Julai, Gan bukan sahaja mencapai matlamatnya untuk mendahului saringan beliau, yang turut menampilkan Sasha Gatt dari Malta dan Kristel Kobrich dari Chile. Bahkan ia juga melebihi jangkaannya dengan mencatatkan rekod nasional yang baru.
Memandangkan beliau baru sahaja memecahkan rekod itu pada Jun lalu, Gan tidak menjangka dapat mengulangi apabila beraksi di Olimpik Paris ini, namun kejayaan memperbaiki masa peribadi terbaiknya itu ganjaran wajar segala pengorbanan semasa latihan.
“Saya memang tidak sabar menantikan hari ini (beraksi di Sukan Olimpik). Saya rasa saya tidak boleh menggelarkan diri saya sebagai seorang peserta Olimpik sehinggalah saya benar-benar berenang dalam perlumbaan kegemaran saya, jadi ia sangat istimewa sekali.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg