Mendedahkan belia Melayu/Islam kepada industri yang sedang pesat membangun adalah sesuatu yang akan diteruskan Encik Sharael Taha jika beliau dipilih sebagai Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Changi pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Semasa sidang media di Vidacity, bekas tapak Sekolah Rendah Loyang di Pasir Ris, pada 21 April, Encik Sharael, berkata program seperti perjalanan pembelajaran di syarikat, serta inisiatif #HashTech dan Kelas Matematika, memberi peluang untuk meningkatkan kemahiran belia Melayu/Islam.
Inisiatif #HashTech dianjurkan M Kuasa Tiga (M³) dan disokong kumpulan Melayu Islam dalam Teknologi (MMiT), sementara Kelas Matemika dianjurkan Yayasan Mendaki.
“Ini supaya mereka mengenal dengan lebih lanjut lagi kemahiran dan peluang yang ada dalam industri berkembang. Saya sangat berbesar hati kerana belia kita penuh dengan semangat, dan apabila kami memberi mereka peluang itu, mereka merebutnya,” jelasnya.
Encik Sharael, 43 tahun, merupakan salah seorang anggota daripada pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang akan bertanding di GRC Pasir Ris-Changi dalam GE2025.
Di samping Encik Sharael, pasukan itu diketuai Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, dan dianggotai Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Desmond Tan; Encik Sharael Taha; dan muka baru PAP, Cik Valerie Lee.
Bercakap kepada Berita Harian (BH) selepas sidang media itu, Encik Sharael, yang juga Naib Presiden di Singapore Aero Engine Services Pte Ltd (SAESL), berkata:
“Pada zaman sekarang, di mana industri sedang berkembang dengan pekerjaan baru yang tidak wujud dahulu, yang menggunakan kemahiran baru seperti kecerdasan buatan (AI) dan analisis data, ini adalah satu peluang terbaik untuk belia Melayu/Islam menceburi bidang-bidang baru ini yang sungguh kompetitif di seluruh dunia.”
Encik Sharael, yang dibesarkan di Pasir Ris, mengakui ia satu kelebihan untuk beliau mendekati penduduk di kawasan itu, dan disebabkan hubungan itu, beliau dapat lebih memahami apa diperlukan penduduk di sana ketika berkhidmat sebagai AP GRC Pasir Ris-Punggol.
“Pembinaan stesen MRT adalah sesuatu yang penduduk di kawasan itu sedang nantikan selama bertahun lamanya, jadi mereka sangat gembira apabila mengetahui akan adanya bukan satu tetapi empat stesen MRT di bawah Laluan Rentas Pulau (CRL),” ujar Encik Sharael.
Selain pembinaan stesen MRT baru, beliau juga berkata sebanyak $2 bilion telah dibelanjakan untuk menambah baik taman dan memperbaiki ketersambungan di GRC Pasir Ris-Changi.
“Saya percaya tugas seorang AP mesti melangkaui Parlimen.
“Pasir Ris-Changi adalah lebih daripada sekadar rumah, ia adalah tempat di mana kita mengambil berat tentang orang lain.
“Ia adalah tempat kita berkembang, dan ia adalah tempat kita membina masa depan yang penuh dengan harapan dan tujuan,” luahnya.
Semasa sidang media itu, Encik Sharael, yang menceburi bidang politik buat kali pertama pada GE2020, berkata beliau juga telah mendorong untuk perumahan yang lebih adil untuk keluarga muda, menyokong perlindungan yang lebih baik untuk pekerja gig dan pekerja bergaji rendah, serta menyokong amalan tempat kerja anti-diskriminasi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg