Penyanyi dan penulis lagu tempatan, Shareefa Aminah Abdul Shariff, 24 tahun, atau lebih dikenali sebagai Shazza, menjadi ‘wajah’ personaliti Berita Harian (BH) dalam usaha mendekati generasi muda menerusi kempen terbaru SPH Media, ‘Tahu Apa Yang Mereka Tahu’.
Bagi Shazza, berita bukan sekadar laporan harian, malah ia merupakan sumber inspirasi yang membentuk perspektif dan kerjayanya dalam dunia muzik.
Tambahan pula, beliau pernah menyatakan dalam sesi temu duga bersama BH bahawa akhbar ini ialah media pertama yang melaporkan tentang kerja seninya.
“Berita tentang seni dan hiburan sangat dekat di hati saya kerana ia terkait dengan kerja yang saya lakukan.
“Ia memberitahu saya bagaimana persada seni berkembang dan mendapatkan inspirasi daripada rakan masyarakat yang lain.
“Selain itu, berita tentang masyarakat juga mendorong saya untuk terus peka dengan masalah yang dihadapi orang sekeliling dan memahami bagaimana individu lain menangani isu tersebut dengan huraian inovatif,” ujar pemenang Anugerah Jauhari Harapan 2023 yang disampaikan BH itu.
Shazza, yang gemar mengikuti kandungan BH melalui media sosial, berkongsi bagaimana kandungan berita dalam bahasa ibunda membantu beliau kekal terhubung dengan masyarakat Melayu/Islam dan memberi keyakinan kepadanya untuk menempuh fasa kehidupan dewasanya.
“Saya sangat menghargai kandungan yang dihasilkan oleh BH terutama sekali kandungan di pelbagai wadah media sosial mereka kerana ia membuatkan berita dan hal ehwal semasa lebih mudah dihadam oleh generasi muda.
“Malah, kandungan tersebut banyak membantu saya memperkukuhkan kemahiran bahasa Melayu saya.
“Saya juga percaya, adalah penting untuk golongan muda seperti saya untuk sekurang-kurangnya tahu apa yang berlaku di sekeliling mereka, sama ada di Singapura atau di luar negara, kerana kesedaran inilah yang memacu inovasi dan mengekalkan nilai kemanusiaan kita,” kata Shazza.
Beliau gemar membaca pandangan yang berbeza di ruang komen untuk meluaskan perspektifnya dan mempertimbangkan motivasi dan pengalaman orang lain.
Bermula dari 26 Disember hingga 16 Februari 2026, kempen SPH Media, yang dianjurkan buat julung kalinya itu, bertujuan mengubah cara golongan muda berusia 15 hingga 34 tahun berinteraksi dengan berita.
Editor Berita Harian, Encik Nazry Mokhtar berkata:
“Berita Harian telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendekati pembaca baru sejak menjalani transformasi pada 2023 dan ini termasuk mendekati orang muda menerusi produk dan strategi baru.
“Usaha terbaru ini sebahagian usaha tersebut dan ia diharapkan dapat menarik perhatian dan mendorong orang muda untuk berinteraksi dengan berita di wadah pelbagai media yang kini ditawarkan kami.”
Sementara itu, kempen ini menekankan tabiat membaca berita, terutama sekali bagi golongan muda supaya ia dijadikan sebahagian daripada gaya hidup bermakna yang menyokong kehidupan harian, selain aspek kerjaya dan kewangan serta kesihatan dan penglibatan masyarakat.
Kempen ini sejajar dengan misi SPH Media untuk memaklumkan, berhubung dan memberi inspirasi.
Ia juga mengukuhkan peranan media jenama itu bukan hanya sebagai sumber maklumat, bahkan sebagai sesuatu yang terus ada untuk membantu para pembaca memahami dunia di sekeliling mereka.
Sebagai syarikat berita nasional yang dipercayai ramai, SPH Media memainkan peranan utama demi membina sebuah masyarakat yang peka, terhubung dan berdaya tahan melalui kewartawanan yang bermutu tinggi dan seimbang merentasi pelbagai bahasa dan wadah.
Menjelaskan tentang peranan BH dalam kempen ini, Editor Audiens dan Perkembangan BH, Cik Norhaiza Hashim, berkata:
“Bilik berita vernakular SPH Media seperti BH juga memainkan peranan yang penting dan mencerminkan komitmen syarikat ini untuk memastikan setiap masyarakat mempunyai akses kepada berita dalam bahasa dan format yang memenuhi setiap cita rasa dan suara hati para pembaca.”
Selain Shazza, kempen ini turut menampilkan barisan personaliti hebat daripada wadah berita SPH Media yang mencerminkan kepelbagaian bidang yang diminati golongan muda hari ini:
– The Straits Times: Pencipta kandungan @justkeepthinking, Kong Man Jing (Biogirl MJ)
– The Business Times: Ketua Pegawai Pelaburan, Bank HSBC, Encik James Cheo
– Lianhe Zaobao: Pelakon, Kevin Tan
– Tamil Murasu: Doktor perubatan, Dr. M. Premikha
“
“Saya sangat menghargai kandungan yang dihasilkan oleh BH terutama sekali kandungan di pelbagai wadah media sosial mereka kerana ia membuatkan berita dan hal ehwal semasa lebih mudah dihadam oleh generasi muda. Malah, kandungan tersebut banyak membantu saya memperkukuhkan kemahiran bahasa Melayu saya.“
“Berita Harian telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendekati pembaca baru sejak menjalani transformasi pada 2023 dan ini termasuk mendekati orang muda menerusi produk dan strategi baru. Usaha terbaru ini sebahagian usaha tersebut dan ia diharapkan dapat menarik perhatian dan mendorong orang muda untuk berinteraksi dengan berita di wadah pelbagai media yang kini ditawarkan kami.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg