Rangkaian pasar raya Sheng Siong memulakan kerja pembinaan pada 13 Julai untuk sebuah kompleks ibu pejabat dan pusat pengedaran bersepadu baharu bernilai $520 juta di Sungei Kadut.

Ia merupakan pelaburan terbesar rangkaian pasar raya tersebut setakat ini.

Kemudahan baharu itu akan dibina di atas tapak yang sekitar dua setengah kali lebih besar berbanding pusat pengedaran sedia ada Sheng Siong di Mandai Link.

Merentasi lebih 61,000 meter persegi, iaitu seluas sembilan padang bola sepak, bangunan tujuh tingkat itu dijangka siap sepenuhnya pada 2029 dan dapat menyokong lebih 120 cawangan.

Sheng Siong kini mempunyai 90 cawangan.

Ketika berucap pada majlis pecah tanah itu, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, berkata ketegangan geopolitik, perubahan iklim, kenaikan harga tenaga dan gangguan rantaian bekalan menyebabkan harga makanan menjadi tidak menentu secara sejagat.

Oleh itu, Singapura amat terjejas dengan keadaan tersebut kerana negara ini mengimport 90 peratus daripada keperluan makanannya.

“Majlis pecah tanah hari ini menunjukkan usaha Sheng Siong untuk meningkatkan kecekapan operasi dan mengukuhkan perkongsian dengan pembekal, bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggannya.

“Pendekatan berwawasan seperti ini mengekalkan daya saing perniagaan dan daya tahan Singapura,” kata Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

Disokong oleh syarikat JTC dan Enterprise Singapore (EnterpriseSG), kemudahan itu akan dilengkapi dengan sistem penyimpanan dan pengambilan automatik, robotik, sistem pengurusan gudang pintar, serta zon penyimpanan pelbagai suhu. 

Encik Gan berkata automasi itu akan membebaskan tenaga kerja daripada tugas berulang dan manual, membolehkan kakitangan gudang dilatih semula untuk mengendalikan sistem automasi dan menjalankan penyelenggaraan teknikal.

Tenaga kerja yang lain pula akan dilatih untuk memenuhi keperluan e-dagang dan peranan runcit barisan hadapan, manakala jawatan teknikal baharu akan diwujudkan untuk menyokong sistem baharu itu.

Encik Gan menambah kemudahan baharu itu turut mengukuhkan rangkaian pembekal Sheng Siong dengan membolehkan penghantaran digabungkan menerusi satu platform berpusat. 

Ini membolehkan jadual yang lebih senang diramal, ramalan permintaan yang lebih baik, serta pengendalian automatik yang mengurangkan kesilapan dan kerosakan produk.

Encik Gan menyatakan Sheng Siong telah berkembang bersama lebih 900 pembekal tempatan sepanjang empat dekad yang lalu, dan menggalakkan pembekal untuk terus meningkatkan daya penghasilan dalam operasi mereka sendiri. 

Beliau menambah pemerintah akan terus menyokong inovasi produk, daya tahan rantaian bekalan dan transformasi perusahaan.

Encik Gan turut berterima kasih kepada Sheng Siong kerana “membantu rakyat Singapura sepanjang tempoh ini, menerusi diskaun untuk pemegang kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) dan promosi khas untuk pengguna baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), bagi membantu isi rumah menangani kos yang lebih tinggi akibat konflik Timur Tengah”.

Ketika berucap pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sheng Siong, Encik Lim Hock Chee, berkata: “Seiring perkembangan kami, kami perlu membina asas yang membolehkan kami memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan, menyokong pembekal kami dan mewujudkan pekerjaan yang lebih baik untuk pekerja kami.”