Khidmat pengeluaran wang tunai melalui PayNow di mesin tunai mudah ($TM) Sheng Siong terpaksa digantung buat sementara waktu mulai 19 Jun, selepas disalahgunakan dalam satu skim pengubahan wang haram.
Ini memandangkan khidmat yang kembali beroperasi pada 23 Jun, membolehkan pengguna mengimbas kod QR PayNow, bagi mengeluarkan sehingga $1,000, telah dieksploitasi empat individu yang didakwa terlibat sebagai keldai wang, bagi satu sindiket jenayah.
Kegiatan sindiket ini ditemui setelah Sheng Siong mendapati wang tunai yang banyak dikeluarkan serentak dari beberapa mesin $TM merata Singapura dengan menggunakan akaun PayNow yang sama pada 18 Jun.
Terdapat lebih 60 mesin $TM di cawangan Sheng Siong merata Singapura.
Apabila akaun yang sama digunakan bagi mengeluarkan lebih banyak wang pada 19 Jun, kakitangan Sheng Siong menahan mereka yang disyaki mengambil wang tersebut di samping menghubungi polis.
Empat individu terbabit, yang berusia antara 16 dengan 23 tahun, telah didakwa di mahkamah pada 21 Jun lalu.
Salah seorang daripada mereka, Muhammad Noraidilsahiq Muhammad Norasif, 20 tahun, didakwa mengeluarkan $8,000 dari mesin tersebut pada 19 Jun, di cawangan Sheng Siong di Sengkang West Avenue.
Muhammad Izz Iryan Mod Ali, 23 tahun, pula didakwa memiliki $20,300 yang dipercayai hasil daripada kegiatan jenayah.
Dia dibawa ke mesin $TM di cawangan Sheng Siong di Tampines Street 86 pada 26 Jun dan menghadapi satu tuduhan di bawah Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Berat Lain (Rampasan Faedah).
Adiknya, Muhammad Izz Irshad Mod Ali, 18 tahun, dan seorang lagi remaja, Avivrizal Zulfikar Mohamad Suhaimi, 16 tahun, turut menghadapi tuduhan yang sama.
Mereka dipercayai bertindak selepas melihat iklan kerja untuk raih ‘duit segera’ menerusi aplikasi Telegram.
Mereka telah diarah untuk menjana kod QR PayNow di mesin $TM, mengambil gambar kod tersebut, dan menghantarnya kembali kepada kumpulan Telegram yang tertera.
Kod QR berkenaan kemudian digunakan oleh individu lain untuk memindahkan dana dari mesin tersebut dan mengeluarkan wang secara fizikal.
Muhammad Izz Irshad dikatakan telah mengeluarkan wang tunai $4,000 dari mesin $TM di cawangan Sheng Siong di Jurong West Street 42, antara 9 dengan 13 Jun.
Avivrizal pula didakwa mengeluarkan $19,500 dari mesin $TM di cawangan Sheng Siong di Serangoon North Avenue 5, pada 18 dan 19 Jun.
Sebagai langkah pencegahan, Pengarah Khidmat Pelanggan dan Operasi Sheng Siong, Encik Lin Zikai, berkata pihaknya telah memperkenalkan ciri keselamatan tambahan, termasuk mengehadkan jumlah maksimum pengeluaran daripada satu akaun PayNow sebanyak lima kali sehari, dan dihadkan kepada $1,000 dalam satu transaksi.
Sebelum ini, pengguna boleh mengeluarkan sehingga $1,000 tanpa had bilangan transaksi selagi dalam had akaun PayNow mereka.
“Kami bekerjasama rapat dengan pihak bank dan pihak berkuasa untuk menyokong siasatan.
“Kami juga telah mempertingkat sistem pemantauan bagi mengesan sebarang kegiatan luar kebiasaan,” kata Encik Lin.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg