Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) telah mula menghantar laporan terkait dengan isu alat radar cuaca bagi semua pesawat jenis Boeing 777-300ER yang digunakannya kepada syarikat pengeluar alat tersebut bagi susulan lanjut.

Tindakan itu sejajar dengan perkara yang diusulkan Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan (TSIB) dalam laporan hasil siasatan terbitan biro itu pada 19 Mei.

Laporan setebal lebih 60 halaman itu diterbitkan berikutan gelora udara mendadak yang berlaku ke atas penerbangan SQ321 pada 21 Mei 2024, mengakibatkan seorang penumpang terkorban dan 79 lain cedera.

Pesawat itu sedang menuju ke Singapura dan melalui ruang udara di barat daya Myanmar, kira-kira 10 jam setelah berlepas dari London, apabila gelora udara berlaku.

Menurut biro siasatan itu, maklumat yang dikesan alat radar cuaca menjejas bagaimana skrin paparan bagi mengemudi di kokpit pesawat memaparkan imej kepada juruterbang.

Juruterbang menggunakan maklumat daripada skrin paparan mengemudi pesawat untuk mengetahui corak cuaca dalam laluan penerbangan, dan membuat penyesuaian pada hala tuju laluan berdasarkan maklumat yang dipaparkan.

Corak cuaca dipaparkan pada skrin menerusi imej berwarna hijau, kuning dan merah.

Menurut TSIB, pengendali syarikat penerbangan sebelum ini tidak perlu menghantar laporan terkait dengan isu alat radar cuaca kepada pengeluar alat tersebut, sekiranya ia lulus ujian sistem, sepertimana termaktub dalam Manual Penyelenggaraan Pesawat (AMM) pengeluar pesawat.

Dengan langkah SIA yang terkini, semua isu berkaitan alat radar cuaca akan dihantar kepada pengeluar alat tersebut, meskipun ia lulus ujian sistem.

Di samping menghantar laporan bersangkutan isu radar cuaca pesawat, biro itu menyatakan SIA telah meningkatkan pemantauan dan kesedaran berhubung gelora udara melalui pemasangan alat dalam peranti elektronik mudah alih yang dibawa kru penerbangan.

Ia samping melatih semula kru penerbangan bagi semua jenis pesawat berkaitan alat radar cuaca dari Julai hingga Disember 2024.

TSIB menambah, SIA juga telah meningkatkan prosedur penerbangan, yang tertumpu pada peringatan untuk memakai tali pinggang keledar, walau penumpang berada di tempat duduk.

Berkenaan saranan keselamatan yang dibentangkan biro itu pula, laporan itu menyarankan pihak pengeluar pesawat membangunkan bimbingan bagi kru penerbangan memastikan sama ada radar cuaca mengesan corak cuaca, dan mengambil sebarang tindakan yang wajar sekiranya perkara sebaliknya berlaku.

Biro itu turut menyarankan agar pengeluar alat radar cuaca membangunkan kaedah untuk merakam imej berkenaan maklumat cuaca yang dipaparkan kepada kru penerbangan bagi menangani isu terkait dengan imej corak cuaca di skrin paparan kemudi.

Pada hari kejadian, pesawat SQ321 membawa 18 anak kapal dan 211 penumpang.

Susulan gelora udara, juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat itu ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, sebelum ia berlepas kembali ke Singapura pada 26 Mei tanpa penumpang.