Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SIA: Insurans dijangka tanggung belanja, pampasan insiden SQ321

Jul 29, 2024 | 6:37 PM
Insiden SQ321 pada 21 Mei yang menyebabkan seorang penumpang maut dan ramai lagi cedera, dijangka mendatangkan kesan kewangan yang minimum kerana syarikat insurans akan menanggung kebanyakan perbelanjaan yang berkaitan.
Insiden SQ321 pada 21 Mei yang menyebabkan seorang penumpang maut dan ramai lagi cedera, dijangka mendatangkan kesan kewangan yang minimum kerana syarikat insurans akan menanggung kebanyakan perbelanjaan yang berkaitan. - Foto BT

Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) menjangka syarikat insuransnya akan menanggung “sebahagian besar, jika tidak semua” perbelanjaan, termasuk pampasan, yang timbul daripada penerbangannya yang mengalami gelora udara teruk hingga menyebabkan seorang penumpang maut dan berpuluh-puluh yang lain cedera.

Ketua eksekutifnya, Encik Goh Choon Phong, berkata demikian sebagai respons kepada seorang pemegang saham yang bertanya pada mesyuarat agung tahunan SIA pada 29 Julai mengenai pendedahan kewangan syarikat penerbangan itu terhadap insiden tersebut, lapor The Business Times.

“Betul kata anda bahawa kami dilindungi insurans, dan kami menjangkakan bahawa kebanyakan, jika tidak semua, perbelanjaan berkaitan SQ321, termasuk pampasan, akan ditanggung oleh syarikat insurans,” kata Encik Goh, yang tidak memberikan angka perbelanjaan itu dan tidak menamakan syarikat insurans berkenaan.

Penerbangan SQ321 mengalami gelora udara dalam perjalanan ke Singapura dari London ketika pesawat itu melintasi Myanmar pada 21 Mei, mengakibatkan seorang maut dan ramai cedera. Pesawat itu melakukan pendaratan cemas di Bangkok.

SIA menawarkan penumpang yang mengalami kecederaan ringan AS$10,000 ($13,500) setiap seorang. Mereka yang cedera parah ditawarkan AS$25,000 setiap seorang untuk “memenuhi keperluan segera mereka” sementara pihak-pihak berkenaan mencari penyelesaian bagi sebarang pampasan selanjutnya.

SIA sebelum ini berkata ia juga akan memulangkan sepenuhnya tambang penerbangan – bersama-sama dengan pampasan kelewatan selaras dengan peraturan Kesatuan Eropah atau United Kingdom yang berkaitan – kepada semua penumpang yang menaiki pesawat itu. Ini termasuk mereka yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Setiap penumpang kemudian diberikan sebanyak $1,000 untuk menampung perbelanjaan segera mereka selepas berlepas dari Bangkok.

Kepada pemegang saham yang meminta dividen skrip (pilihan mendapatkan saham tambahan bagi menggantikan bayaran dividen), pengerusi, Encik Peter Seah, berkata lembaga itu akan mempertimbangkan cadangan itu.

Namun beliau menegaskan bahawa sesetengah pemegang saham – terutama warga emas – lebih suka mengambil pembayaran secara tunai daripada dividen yang dilaburkan semula dalam lebih banyak saham SIA.

Kesemua 11 resolusi, termasuk dividen akhir sebanyak $0.38 sesaham, telah diluluskan semasa prosiding satu jam yang diadakan di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands itu.

SIA mencatatkan pendapatan $2.7 bilion – tahap tertinggi dalam sejarah – untuk tahun berakhir 31 Mac, meningkat 24 peratus daripada tahun sebelumnya. Untung bersihnya juga meningkat sebanyak 7 peratus tahun ke tahun pada rekod tertinggi $19 bilion.

Saham dalam syarikat penerbangan itu didagangkan tidak berubah pada $6.97 pada 1.50 tengah hari 29 Julai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg