Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SIA tawar pampasan AS$10,000 kepada penumpang SQ321 yang cedera ringan

Jun 11, 2024 | 6:38 PM
SIA menyatakan ia akan menawarkan bayaran balik penuh tambang penerbangan kepada semua penumpang pesawat SQ321.
SIA menyatakan ia akan menawarkan bayaran balik penuh tambang penerbangan kepada semua penumpang pesawat SQ321. - Foto ST

Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) telah menawarkan pampasan kepada penumpang SQ321 yang menempuh gelora udara pada 21 Mei lalu.

Mereka yang mengalami kecederaan ringan berikutan insiden tersebut ditawarkan ganti rugi sebanyak AS$10,000 ($13,500).

Syarikat penerbangan Singapura itu menyatakan dalam satu catatan Facebook pada 11 Jun bahawa penumpang yang mengalami kecederaan lebih serius dipelawa membincangkan tawaran pampasan yang sesuai dengan keadaan mereka.

SIA menambah bahawa penumpang yang mengalami kecederaan serius dan memerlukan rawatan perubatan jangka panjang, serta memerlukan bantuan kewangan, ditawarkan AS$25,000 sebagai bayaran awal.

Bayaran tersebut akan memenuhi keperluan segera mereka dan membentuk sebahagian daripada jumlah wang pampasan yang akan diterima oleh penumpang berkenaan, tambahnya.

Selain pampasan, SIA menyatakan ia akan memberi bayaran balik penuh tambang penerbangan kepada semua penumpang yang menaiki pesawat tersebut.

Pesawat SQ321 sedang dalam perjalanan dari London ke Singapura apabila ia menempuh “gelora udara secara tiba-tiba” semasa melalui Lembangan Irrawaddy di Myanmar.

Juruterbang kemudian mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat yang membawa 211 penumpang dan 18 kru itu ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok.

Insiden tersebut menyebabkan seorang penumpang warga Britain, Encik Geoffrey Kitchen, 73 tahun, meninggal dunia dan lebih 30 penumpang lain cedera.

Penumpang yang cedera dibawa ke Hospital Samitivej Srinakarin, Hospital Samitivej Sukhumvit, dan Hospital Bangkok untuk mendapat rawatan.

Bayaran balik penuh tambang penerbangan akan ditawarkan kepada semua penumpang pesawat, termasuk mereka yang tidak mengalami kecederaan.

Penumpang juga akan menerima “pampasan kelewatan” mengikut peraturan Kesatuan Eropah atau Britain, menurut SIA.

Semua penumpang juga telah diberikan wang $1,000 setiap seorang apabila mereka berlepas dari Bangkok, di mana pesawat tersebut melakukan pendaratan kecemasan.

Bayaran tersebut bertujuan menampung perbelanjaan segera mereka.

Menurut SIA, ia kini menampung perbelanjaan perubatan bagi penumpang yang cedera.

Selain itu, aturan dibuat untuk anggota keluarga dan orang tersayang mereka terbang ke Bangkok atas permintaan.

“Semua penumpang yang terjejas harus sudah pun menerima tawaran pampasan mereka menerusi e-mel, di samping maklumat mengenai cara mereka boleh menguruskan tuntutan mereka,” menurut SIA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg