Lebih banyak penerbangan Singapore Airlines (SIA) yang menuju ke Dubai dari Singapura atau dari Dubai ke Singapura telah dibatalkan di tengah konflik berterusan di Timur Tengah.

Dalam satu hantaran di Facebook pada 6 Mei, SIA memaklumkan penerbangan SQ494 (Singapura ke Dubai) dan SQ495 (Dubai ke Singapura) akan dibatalkan sehingga 2 Ogos.

Kedua-dua penerbangan tersebut sebelum ini dijadualkan dibatalkan sehingga 31 Mei.

SIA turut menambah penerbangan lain mungkin turut terjejas memandangkan keadaan masih tidak menentu.

Penumpang yang terjejas akibat pembatalan penerbangan akan ditempatkan semula pada penerbangan gantian atau boleh memohon bayaran balik penuh bagi bahagian tiket yang tidak digunakan, jelas SIA.

Pelanggan yang membuat tempahan melalui ejen pelancongan atau syarikat penerbangan rakan kongsi dinasihatkan supaya menghubungi ejen atau syarikat penerbangan di mana mereka membuat tempahan untuk mendapatkan bantuan lanjut.

“SIA memohon maaf kepada semua pelanggan yang terjejas atas kesulitan yang berlaku,” kata syarikat penerbangan negara itu lagi.