Singapore Airlines (SIA) mengumumkan kerjasama dengan Mandai Wildlife Group, yang menguruskan taman hidupan liar Singapura, bagi mencipta pengalaman pelanggan dan meningkatkan tawaran syarikat penerbangan nasional tersebut.
Di bawah perkongsian strategik selama tiga tahun, pelanggan SIA akan mendapat akses kepada pengalaman hidupan liar yang unik, koleksi barangan eksklusif dan pelbagai manfaat untuk lawatan ke Mandai Wildlife Reserve, yang diuruskan oleh Mandai Wildlife Group, kata kedua-dua syarikat dalam kenyataan pada 10 Julai, lapor The Business Times (BT).
Kerjasama ini sejajar dengan visi Singapura untuk menjadi sebuah bandar dalam alam semula jadi, kata mereka.
Melalui wadah pengalaman pelancongan SIA, Pelago, pengunjung ke Singapura boleh mendapatkan promosi dan pengalaman di taman-taman hidupan liar di Mandai Wildlife Reserve.
Ini termasuk Taman Haiwan Singapura, Night Safari, River Wonders, Bird Paradise, dan Rainforest Wild Asia.
Mereka juga akan memperoleh akses kepada barangan jenama bersama yang boleh dibeli secara dalam talian di KrisShop, kedai runcit utama SIA, serta kedai-kedai terpilih di Mandai Wildlife Reserve.
Ahli program pengguna penerbangan kerap, atau frequent flyer, KrisFlyer SIA akan menikmati manfaat tambahan seperti menebus bonus (miles) apabila membeli tiket masuk melalui Pelago.
Mereka juga boleh menebus jarak perjalanan untuk pengalaman seperti Colugo Camp – pengalaman berkhemah yang akan dilancarkan pada suku ketiga 2025, yang datang dengan hadiah misteri.
Kedua-dua syarikat juga akan bekerjasama dalam usaha pemuliharaan hidupan liar di bawah perkongsian ini, dengan SIA menyediakan tajaan perjalanan udara dan sokongan logistik lain.
Ini termasuk bantuan dalam pemindahan haiwan antara taman hidupan liar Singapura dan zoo yang diiktiraf di seluruh dunia, serta pemulangan hidupan liar ke habitat asal mereka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg