Singapore Airlines (SIA) dan Malaysia Airlines (MAS) telah diberi kelulusan bersyarat bagi kerjasama yang disarankan Suruhanjaya Persaingan dan Pelanggan Singapura (CCCS) pada 7 Julai, selepas kedua-dua syarikat penerbangan tersebut menangani kebimbangan berhubung persaingan.
Usaha sama itu merupakan satu kemas kini kepada perjanjian yang kali pertama dimeterai oleh kedua-dua syarikat penerbangan pada Oktober 2019 untuk bekerjasama dalam aspek seperti penjadualan, penetapan harga, jualan dan pemasaran, serta peluasan perkongsian kod – iaitu penjualan tempat duduk dalam penerbangan masing-masing – bagi meningkatkan jumlah penumpang antara kedua-dua negara dan pasaran seperti Eropah.
CCCS telah memberikan kelulusan bersyarat terhadap cadangan kerjasama asal pada Mei 2022, berdasarkan keadaan pasaran semasa pandemik Covid-19, lapor The Straits Times (ST).
Salah satu syarat utama ialah kedua-dua syarikat penerbangan perlu mengemukakan sekali lagi cadangan itu untuk disemak semula apabila perjalanan udara kembali pulih.
Kedua-dua syarikat penerbangan telah mengemukakan permohonan yang dikemas kini pada Mac 2023, diikuti dengan pindaan pada November 2023 untuk mengecualikan Scoot milik SIA, dan Firefly milik MAS, daripada perjanjian tersebut.
Syarikat penerbangan tambang rendah tersebut sebelum ini termasuk di bawah syarat perjanjian 2019.
Dalam penilaiannya, CCCS mendapati penyelarasan antara kedua-dua syarikat penerbangan dalam menetapkan harga dan kapasiti penerbangan boleh menyekat persaingan bagi laluan bertindih antara Singapura dengan Kuala Lumpur.
Bagi menangani kebimbangan pihak berkuasa tersebut, syarikat penerbangan itu berikrar mengekalkan kapasiti tempat duduk mingguan seperti sebelum kerjasama dicadangkan; mengusulkan peningkatan kapasiti selepas mencapai sasaran prestasi tertentu; dan melaporkan data operasi syarikat penerbangan tambang rendah mereka bagi laluan Singapura-Kuala Lumpur.
Kedua-dua pihak turut menyarankan pelantikan juruaudit bebas untuk memantau pematuhan terhadap komitmen yang dicadangkan.
CCCS telah mengadakan sesi rundingan dengan pihak berkepentingan industri dari 11 Februari hingga 4 Mac 2025, dan tiada kebimbangan dibangkitkan.
Dalam memberi kelulusan bersyarat terhadap kerjasama yang disemak semula pada 7 Julai, CCCS menyatakan ia mengambil kira perkembangan pasaran, termasuk penutupan Jetstar Asia, dalam menerima komitmen kedua-dua syarikat penerbangan sebagai mencukupi bagi menangani kebimbangan persaingan.
Jetstar Asia sebelum ini mengumumkan ia akan menamatkan operasinya pada 31 Julai sebagai sebahagian daripada “penyusunan semula strategik” oleh syarikat induknya, Qantas, syarikat penerbangan nasional Australia.
CCCS menambah kedua-dua syarikat penerbangan menjangkakan kerjasama yang dicadangkan akan membawa manfaat kepada pengguna dan ekonomi, termasuk penambahbaikan produk perjalanan udara bagi perkhidmatan antara Singapura dengan Malaysia, peningkatan pilihan perkhidmatan untuk penumpang, serta tambang yang lebih berdaya saing.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg