Terdapat kemungkinan akan wujud laluan penerbangan baru antara Singapura dengan tiga destinasi di Indonesia – iaitu, Semarang di Jawa Tengah, Palembang di Sumatera Selatan, dan Pulau Belitung di timur pantai Sumatera.
Pengendali lapangan terbang, Changi Airport Group (CAG), memaklumkan The Straits Times (ST) pada 20 Jun, bahawa mereka sedang berbincang dengan syarikat penerbangan mengenai kemungkinan mewujudkan laluan baru ke tiga destinasi tersebut.
Ini menyusuli kelulusan terbaru yang membolehkan lapangan terbang di Semarang, Palembang dan Belitung, mengendalikan penerbangan antarabangsa.
“CAG sentiasa mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan bagi meneroka peluang untuk memperluaskan keterhubungan (udara) antara Singapura dengan Indonesia,” jelas CAG.
Perkembangan itu berlaku selepas Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, menyatakan hasratnya untuk menambah lebih laluan penerbangan antara Singapura dengan Indonesia semasa lawatan negara pada 16 Jun.
Encik Prabowo juga telah mengarahkan kementerian berkaitan agar memperluas akses lapangan terbang Indonesia kepada penerbangan langsung dari luar negara.
“Sudah tentu kita perlu memperbaiki prasarana dan mekanisme keselamatan (lapangan negara), tetapi secara dasarnya, saya mahu melihat akses yang lebih mudah dan pantas ke lapangan terbang kami,” kata Encik Prabowo pada 16 Jun.
Baru-baru ini, syarikat penerbangan tambang rendah Scoot melancarkan laluan penerbangan dari Singapura ke dua bandar di Indonesia – Kertajati bermula September 2024, dan Padang bermula Disember 2024.
Pihak berkuasa Indonesia pada April 2024, mengurangkan bilangan lapangan terbang yang dibenarkan mengendalikan penerbangan antarabangsa daripada 34 kepada 17, sebagai langkah mengoptimumkan operasi penerbangan tempatan.
Manakala pada Mei, pihak berkuasa memberi kelulusan semula kepada tiga lapangan terbang – Semarang, Palembang dan Belitung – untuk mengendalikan penerbangan antarabangsa, menjadikan jumlah lapangan terbang antarabangsa di negara itu sebanyak 20.
Kota pelabuhan Semarang terkenal dengan seni bina kolonial Belanda dan kepelbagaian budaya.
Ia juga berhampiran dengan salah satu tarikan pelancongan popular di Indonesia, dan kuil Buddha terbesar di dunia, Candi Borobudur.
Palembang pula ialah kota tertua kedua di Asia Tenggara yang terkenal dengan kepelbagaian makanan dan tarikan tradisional.
Sementara itu, Belitung merupakan destinasi percutian dengan pantai berpasir putih, sesuai untuk kegiatan selam snorkel dan penjelajahan pulau.
Buat masa ini, kerana tiada penerbangan langsung antara Singapura dengan tiga lokasi tersebut, pelancong perlu singgah selepas penerbangan transit ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, untuk menaiki penerbangan sambungan ke Semarang, Palembang atau Belitung.
Tempoh menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta bagi laluan itu boleh mengambil masa antara 2½ dengan sembilan jam, lapor ST.
Ketua Asia di firma perunding data penerbangan OAG Aviation, Encik Mayur Patel, berkata hubungan penerbangan yang dipertingkatkan itu akan meningkatkan trafik transit, aliran pelancongan serta peluang pertumbuhan untuk Singapore Airlines (SIA) dan anak syarikat tambang rendahnya, Scoot.
Encik Patel menambah bahawa pesawat serantau, Embraer E190-E2, milik Scoot yang mempunyai 112 tempat duduk sangat sesuai untuk laluan sebegini.
“Mewujudkan hubungan langsung dengan bandar ini akan mengukuhkan kedudukan Changi sebagai hab serantau, mempelbagaikan rangkaiannya, serta membuka peluang di pasaran Indonesia yang masih kurang diterokai tetapi sedang berkembang,” ujarnya.
Pada masa akan datang, adalah bermanfaat jika Changi dapat menarik syarikat penerbangan Indonesia mengendalikan perkhidmatan dari lebih banyak bandar baru memandangkan laluan itu berpotensi merangsang permintaan dalam segmen tambang rendah, kata Encik Patel.
Ini penting dalam memastikan Changi kekal berdaya saing dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, yang terkenal dengan kos operasi lebih rendah.
Pada 19 Jun, Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) berkata sehingga 15 Jun, Singapura terhubung dengan 13 lokasi di Indonesia melalui lebih 480 penerbangan mingguan yang dikendalikan oleh 10 syarikat penerbangan.
Destinasi tersebut ialah Balikpapan, Jakarta, Bali (Denpasar), Kertajati, Medan, Labuan Bajo, Lombok, Manado, Padang, Pekanbaru, Surabaya, Makassar dan Jogjakarta.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg