Penumpang Singapore Airlines (SIA) bakal menikmati pelbagai barangan keselesaan baharu dalam penerbangan bagi semua kelas kabin, termasuk pakaian tidur, produk penjagaan kulit mewah serta barangan bertemakan watak animasi, Toy Story, keluaran Disney.

Dalam satu kenyataan media pada 14 Oktober, SIA mengumumkan bahawa barangan keselesaan tersebut akan diperkenalkan secara berperingkat mulai November.

Langkah berkenaan dilaksanakan seiring peningkatan kabin, termasuk tempat duduk baharu dan menu hidangan yang diubah.

Buat julung-julung kalinya, penumpang kelas perniagaan SIA akan menerima pijama secara percuma.

Diperbuat daripada fabrik campuran poliester dan kapas berwarna biru tua, pakaian tidur itu disediakan dalam dua saiz dan dilengkapi dengan sepasang selipar berwarna kelabu.

Dengan penaikan taraf ini, SIA menyertai beberapa syarikat penerbangan antarabangsa terkemuka lain – termasuk Qatar Airways, Emirates dan Etihad Airways – yang menyediakan pijama bagi penumpang kelas perniagaan.

Pelanggan kelas pertama dan suite pula akan menerima pakaian tidur yang mutunya ditambah baik.

Pakaian tidur berwarna kelabu gelap itu diperbuat daripada 100 peratus kapas dan disediakan dalam empat saiz, dilengkapi selipar yang diperbuat daripada bahan coral fleece lembut.

Pijama dan kasut berkenaan akan ditawarkan bagi penerbangan malam jarak sederhana terpilih yang melebihi enam jam, serta bagi semua penerbangan jarak jauh.

Selain pakaian dan kasut, syarikat penerbangan itu turut memperkenalkan produk penjagaan kulit dan penjagaan diri yang mewah.

Penumpang suite dan kelas pertama akan menerima produk daripada jenama kosmetik mewah Perancis, Sisley, termasuk produk antipenuaan utamanya seperti losen, masker muka berkrim, krim mata dan bibir, krim tangan serta minyak wangi.

Penumpang kelas perniagaan pula akan menerima set barangan penjagaan diri yang menampilkan minyak wangi ikonik, Blanche Eau de Parfum keluaran jenama Byredo, krim tangan dan pelembap bibir, di samping keperluan perjalanan lain seperti penutup mata, stoking dan set pembersihan gigi.

Penumpang kelas ekonomi premium akan menerima pelembap bibir beraroma teh putih di dalam beg berzip baharu bersulamkan motif batik ikonik SIA, serta keperluan perjalanan asas. 

Penumpang kelas ekonomi pula akan menerima beg uncang bertali dengan motif batik yang mengandungi barangan keperluan perjalanan asas.

Set barangan ini akan diperkenalkan secara berperingkat dalam penerbangan yang mengambil masa lebih enam jam.

Penumpang cilik boleh menantikan barangan bertema filem, Toy Story, bagi semua penerbangan, termasuk lapik dada bayi, beg uncang bertali bagi kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun, serta buku nota kegiatan bagi kanak-kanak yang lebih besar.

Di samping itu, penumpang cilik di kelas suite, kelas pertama dan kelas perniagaan akan menerima versi terbaharu patung beruang mainan, Beary, dalam penerbangan melebihi lima jam.

Naib Presiden Kanan, Pengalaman Pelanggan SIA, Encik Yeoh Phee Teik, berkata set barangan baharu itu bertujuan menyokong keselesaan, mutu rehat dan kesejahteraan para pelanggan syarikat penerbangan berkenaan sepanjang perjalanan mereka.

“Singapore Airlines sentiasa mencari jalan untuk mempertingkat detik-detik berharga buat para pelanggan kami dalam setiap kelas kabin,” katanya.