Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SIA sertai platform global kongsi data gelora udara masa nyata

Beri juruterbang akses kepada data untuk rancang laluan penerbangan optimum, elak kawasan ada gelora udara
Dec 11, 2024 | 2:18 PM
Singapore Airlines (SIA) mengesahkan ia mula menggunakan platform Turbulence Aware Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata) pada November.
Singapore Airlines (SIA) mengesahkan ia mula menggunakan platform Turbulence Aware Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata) pada November. - Foto fail

GENEVA: Singapore Airlines (SIA) telah menyertai sebuah platform global melibatkan lebih 25 syarikat penerbangan untuk berkongsi data masa nyata mengenai gelora udara, sekali gus memberi juruterbang alat tambahan untuk mengelak terbang melalui kawasan udara bergelora. 

Langkah itu diambil sekitar lima bulan selepas penerbangan SIA dari London ke Singapura mengalami gelora udara teruk di ruang udara Myanmar, mengakibatkan seorang penumpang maut dan puluhan cedera.

SIA, bersama anak syarikat bajetnya, Scoot, adalah antara empat syarikat penerbangan yang baru-baru ini menyertai platform Turbulence Aware yang dikendalikan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata), umum badan itu pada 10 Disember.

Asiana Airlines dari Korea Selatan dan British Airways juga menyertai platform tersebut, menurut Iata pada hari media globalnya di Geneva, Switzerland.

Taklimat tahunan itu dihadiri lebih 100 wartawan dari seluruh dunia.

Setakat 2024, enam syarikat penerbangan telah menyertai Turbulence Aware.

Cathay Pacific dari Hong Kong dan Emirates dari Dubai mendaftar lebih awal pada 2024. 

Sebagai respons kepada pertanyaan The Straits Times, jurucakap SIA mengesahkan syarikat penerbangan itu menggunakan Turbulence Aware sejak 1 November. 

Ia memberi juruterbangnya akses kepada data masa nyata untuk merancang laluan penerbangan yang optimum dan mengelakkan kawasan yang mempunyai gelora udara.

Beliau berkata syarikat penerbangan itu sudah menggunakan pelbagai teknologi dan alat untuk menguruskan keadaan cuaca dan gelora udara sebelum kejadian melibatkan Penerbangan SQ321 pada 21 Mei itu. 

Penerbangan tersebut mengalami gelora udara teruk di atas Lembangan Irrawaddy di Myanmar dan terpaksa dialihkan ke Bangkok.

Turbulence Aware, yang bermula dengan hanya dua syarikat penerbangan pada 2019, kini melibatkan lebih 25 syarikat penerbangan dengan lebih 2,600 pesawat melaporkan kejadian gelora udara.

Ini membentuk sekitar 7 peratus daripada jumlah pesawat global yang sebanyak 35,000. 

Iata berkata lebih 180 juta laporan gelora udara telah diterima di platform itu setakat ini.

Data tersebut dikongsi hampir serta-merta dengan syarikat penerbangan yang menyertai program tersebut.

Sebelum ini, syarikat penerbangan hanya bergantung pada alat konvensional seperti laporan daripada juruterbang semasa atau selepas penerbangan, serta peta ramalan cuaca yang tidak selalu boleh dipercayai.

Bagaimanapun, Pengarah Operasi Penerbangan dan Teknikal Iata, Encik Stuart Fox, berkata tiada “huraian sempurna” bagi mengelak gelora udara secara mutlak, dan platform itu berfungsi sebagai “lapisan mitigasi” yang boleh digunakan oleh syarikat penerbangan. 

Langkah mitigasi utama untuk mengelak kesan gelora udara ialah dengan memakai tali pinggang keselamatan sepanjang penerbangan, kata Encik Fox.

Pada acara media itu, Pengarah Agung Iata, Encik Willie Walsh, ditanya mengenai apa yang menghalang pemulihan trafik penumpang Lapangan Terbang Changi ke tahap pra-Covid-19.

Lapangan Changi dijangka gagal mencapai sasaran pemulihan sepenuhnya menjelang hujung 2024, sekalipun dengan lonjakan penumpang semasa cuti hujung tahun. 

Antara Januari dengan November, sekitar 61.2 juta penumpang melalui lapangan terbang itu – 98.9 peratus daripada tahap 2019.

Pada 2019, sekitar 68.3 juta penumpang menggunakan lapangan terbang itu.

Pada awal Disember, Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata beliau yakin jumlah trafik penumpang di Lapangan Terbang Changi akan melebihi tahap prapandemik pada 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg