Topik diikuti
Pergi ke BHkuSiasatan jerebu: Lima syarikat berdaftar di S’pura setuju lantik pentaksir
Siasatan jerebu: Lima syarikat berdaftar di S’pura setuju lantik pentaksir
Lima syarikat yang berdaftar di Singapura dan berpotensi mempunyai kaitan dengan kebakaran di rantau ini bersetuju bekerjasama dengan proses penilaian yang dijalankan oleh panel pakar khas.
Langkah tersebut membolehkan panel terbabit menyiasat dan memastikan firma-firma berkenaan memikul tanggungjawab atas kebakaran yang mencetuskan jerebu rentas sempadan.
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam satu kenyataan pada 31 Oktober menyatakan bahawa pihaknya telah bertemu dengan wakil daripada Wilmar International, Golden Agri-Resources, APP Company, APP Company (China) dan Indofood Agri Resources.
Menurut badan berkanun itu, kesemua syarikat berkenaan telah bersetuju melantik pentaksir dan memberi kerjasama penuh sepanjang proses penilaian dijalankan.
NEA menambah bahawa pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan syarikat keenam, Kencana Agri, yang menyatakan kesediaan secara sukarela melantik pentaksir.
Badan berkanun itu turut mengalu-alukan kenyataan awam yang dikeluarkan oleh syarikat First Resources.
Syarikat tersebut menyatakan kesediaannya melantik sebuah firma penyiasatan dan sebuah firma guaman bagi menilai sebarang kaitan yang mungkin ada dengan kebakaran di Indonesia.
“Kami menantikan pengesahan bertulis daripada syarikat itu mengenai penyertaannya dalam proses penilaian berkenaan,” kata NEA.
Menurut agensi itu lagi, penyertaan secara sukarela firma-firma terbabit akan membantu menentukan fakta sebenar kes tersebut.
“Ini termasuk memastikan sama ada syarikat-syarikat ini mempunyai sebarang penglibatan atau kaitan dengan kebakaran di Indonesia yang mengakibatkan atau menyumbang kepada jerebu rentas sempadan yang menjejas Singapura,” jelas NEA.
Perkembangan ini menyusuli tindakan pihak berkuasa mengeluarkan notis di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan kepada wakil 10 firma tempatan.
Kesemua wakil syarikat itu sebelum ini dipanggil menghadiri satu pertemuan tertutup pada 28 Oktober bersama Menteri Kanan, Encik K. Shanmugam; Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong; dan Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.
Sepuluh syarikat yang terlibat ialah:
* APP Company
* APP Company (China)
* Bumitama Agri
* Golden Agri International
* First Resources
* Indofood Agri Resources
* Kencana Agri
* TSH Global Plantation
*TSH Oversea
* Wilmar International
Dalam pertemuan tertutup tersebut, Encik Shanmugam menegaskan bahawa syarikat-syarikat terbabit perlu melantik firma daripada panel pakar khas.
Pelantikan itu bertujuan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi, rangkaian korporat serta rantaian bekalan masing-masing.
Hasil pengauditan berkenaan kemudian mesti diserahkan terus kepada pihak berkuasa.
Penubuhan panel pakar itu pertama kali diumumkan pada 23 Oktober oleh Kementerian Undang-Undang (MinLaw).
MinLaw menjelaskan bahawa panel berkenaan dibarisi pakar yang berpengalaman mengendalikan siasatan rentas sempadan, menjejaki hubungan korporat yang rumit dan memeriksa rantaian bekalan dalam pelbagai bidang kuasa.
Pada 30 Oktober, MinLaw dan NEA mengumumkan pelantikan enam firma serta seorang peguam kanan bagi menganggotai panel tersebut.
Sementara itu, dalam makluman kepada Bursa Singapura (SGX) pada 29 Oktober, Golden Agri-Resources yang memiliki Golden Agri International menyatakan komitmennya untuk memberi kerjasama penuh dan telus dalam menyediakan maklumat yang diminta oleh NEA.