Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Asatizah: Fatwa ujian saringan pembawa penyakit genetik serius penting demi kemaslahatan

Pendekatan progresif fatwa baru bantu asatizah beri panduan jelas kepada pasangan Islam
Aug 18, 2025 | 8:44 PM
Sekitar 112 asatizah menghadiri sesi Pendidikan Profesional Berterusan (CPE) pada 18 Ogos di Masjid Al-Ansar membincangkan mengenai fatwa terbaru yang membolehkan ujian saringan pembawa bagi penyakit genetik serius.
Sekitar 112 asatizah menghadiri sesi Pendidikan Profesional Berterusan (CPE) pada 18 Ogos di Masjid Al-Ansar membincangkan mengenai fatwa terbaru yang membolehkan ujian saringan pembawa bagi penyakit genetik serius. - Foto BH oleh KHALID BABA

Fatwa yang membolehkan ujian saringan pembawa bagi penyakit genetik serius merupakan sesuatu yang baru, mendorong asatizah membuat kajian lebih mendalam mengenainya.

Ia juga merupakan langkah ke hadapan dalam meneliti isu yang timbul pada masa ini, kerana ia bukan sahaja terikat dengan isu berkaitan hukum-hakam bahkan berkait rapat dengan perihal menjaga kemaslahatan keturunan.

Demikian menurut beberapa asatizah yang ditemui Berita Harian (BH) selepas menghadiri sesi Pendidikan Profesional Berterusan (CPE) pada 18 Ogos di Masjid Al-Ansar. 

Salah seorang daripada 112 asatizah yang menghadiri sesi tersebut, Ustaz Jazair Jumat, memberitahu BH selepas acara itu bahawa ia merupakan pendedahan yang baik, terutama bagi asatizah lebih senior sepertinya.

“Kami melihatnya sebagai satu kajian yang menunjukkan langkah ke hadapan, satu tindakan progresif.

“Ia merupakan satu pendedahan yang mungkin bagi sesetengah asatizah ialah sesuatu yang amat baru, yang akhirnya mendorong kami untuk membuat kajian lebih mendalam,” kata Konsultan Dakwah di Masjid Kampung Siglap itu.

Konsultan Dakwah di Masjid Kampung Siglap, Ustaz Jazair Jumat.
Konsultan Dakwah di Masjid Kampung Siglap, Ustaz Jazair Jumat. - Foto BH oleh KHALID BABA

Melalui CPE tersebut, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah menerangkan kepada asatizah mengenai fatwa yang membolehkan pasangan Islam menjalani ujian saringan tersebut. 

Dalam satu kenyataan Muis pada 18 Ogos, ia berkata Pejabat Mufti sedang membangunkan pendekatan menyeluruh untuk memastikan masyarakat Islam di sini memahami sepenuhnya fatwa tersebut serta pelbagai pilihan yang tersedia bagi pasangan yang sudah berkahwin.

Bermula dengan Simposium Fatwa Lab yang menghimpunkan lebih 300 asatizah dan rakan kongsi untuk membincangkan perspektif agama dan perubatan pada Jun lalu, mereka kini mengadakan kursus CPE secara berkala di pelbagai masjid.

“Sesi berterusan ini memastikan asatizah dilengkapi dengan pengetahuan tepat mengenai saringan genetik, membolehkan mereka memberikan panduan jelas apabila masyarakat mendapatkan nasihat,” ujar kenyataan itu.

Di samping itu, Timbalan Mufti, Dr Izal Mustafa Kamar, berkata sesi seperti itu sering diadakan bersama asatizah sebelum fatwa diumumkan Jawatankuasa Fatwa agar mereka memahami keputusan tersebut dan dapat menyampaikannya kepada masyarakat.

“Kami ingin pastikan bahawa asatizah memahami keputusan fatwa, kemudian mereka boleh mengajukan sebarang pertanyaan tentang keputusan fatwa itu.

“Dalam erti kata lain, sekiranya ada pertanyaan daripada masyarakat tentang fatwa ini, asatizah boleh membantu untuk sama-sama menghuraikan masalah tersebut,” ujar beliau.

Sentimen itu turut dikongsi seorang lagi hadirin, Pegawai Dakwah Masjid Al-Iman, Ustaz Amir Amri Alfian, yang berkata:

“Asatizah dapat berikan jawapan atau pun bantuan dari segi istilah fiqah dan sebagainya, agar lebih yakin terhadap soalan yang diajukan oleh jemaah.”

Beliau akur fatwa yang disampaikan sudah diteliti dan dibincangkan oleh para ulama dan asatizah untuk tempoh yang lama, dan ini menjadikannya lebih jelas untuk disampaikan kepada masyarakat.

Pegawai Dakwah Masjid Al-Iman ,Ustaz Amir Amri Alfian.
Pegawai Dakwah Masjid Al-Iman ,Ustaz Amir Amri Alfian. - Foto BH oleh KHALID BABA

Bagi pendakwah bebas, Ustazah Kurniawati Ahmad Kassim, beliau berkata setakat ini, beliau perlu mendalami lagi isu tersebut dan menambah sesi sedemikian yang dapat memberinya lebih banyak pengetahuan mengenai isu itu.

“Fatwa hari ni sebenarnya memberi banyak maklumat dan juga mencelikkan mata sebab ia sesuatu yang baru dari segi teknologi,” ujar beliau.

Ustazah Kurniawati menambah, fatwa tersebut memberikan satu lagi pilihan untuk masyarakat berusaha memperbaiki kehidupan mereka dan ini harus mereka pertimbangkan.

“Qadak dan qadar Allah itu telah ditentukan, tetapi dari segi usaha sebagai manusia, kita tetap mempunyai pelbagai pilihan di depan mata.

“Pertama, kita boleh memilih untuk menghadapi sesuatu dengan doa, harapan dan permintaan kepada Allah.

“Selain itu, terdapat jalan lain melalui teknologi dan ilmu yang Allah kurniakan kepada manusia untuk membuat penemuan sebegini, yang boleh membantu kita mengelak risiko tersebut,” tambahnya.

Pendakwah bebas, Ustazah Kurniawati Ahmad Kassim.
Pendakwah bebas, Ustazah Kurniawati Ahmad Kassim. - Foto BH oleh KHALID BABA

Ujian saringan pembawa bagi penyakit genetik serius dibolehkan atas sebab berikut:

– Saringan ini ialah ujian genetik melalui darah untuk menentukan status pembawa pasangan, agar mereka peka sekiranya berisiko mendapat anak yang mempunyai penyakit genetik.

– Penyakit genetik yang serius boleh mengakibatkan jangka hayat yang pendek, masalah intelektual, serta masalah kesihatan serius yang lain.

– Membantu pasangan membuat keputusan dalam perancangan keluarga.

– Empat daripada 1,000 – 0.4 peratus – pasangan di Singapura berisiko tinggi menjadi pembawa bagi penyakit genetik serius.

– Ujian itu terbuka kepada pasangan yang telah berkahwin dan akan dilakukan untuk mengesan sekitar 80 penyakit genetik yang paling kerap berlaku dalam kalangan penduduk Singapura.

– Pasangan yang menjalani proses saringan akan melalui sesi kaunseling genetik sebelum dan selepasnya.

Kami ingin pastikan bahawa asatizah memahami keputusan fatwa, kemudian mereka boleh mengajukan sebarang pertanyaan tentang keputusan fatwa itu.  Dalam erti kata lain, sekiranya ada pertanyaan daripada masyarakat tentang fatwa ini, asatizah boleh membantu untuk sama-sama menghuraikan masalah tersebut.
Dr Izal Mustafa Kamar, Timbalan Mufti.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg